“SEDIAKAN payung sebelum hujan”.... Inilah pegangan positif dan proaktif diambil oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dalam menghadapi pandemik penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19 dan mengekang penularannya. Apatah lagi, KKM menjangkakan gelombang ketiga COVID-19 yang lebih besar pada April 2020. : KitaReporters
Lawatan kerja Menteri Kesihatan bagi melihat kerja-kerja pengubahsuaian MAEPS di Serdang bagi menjadi hospital sementara bagi kuarantin dan rawatan pesakit CIVID-19. - Kredit foto: FB Kementerian Kesihatan Malaysia (https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/)
Walaupun katil hospital di seluruh negara ketika ini masih mencukupi untuk menampung pesakit, pihak KKM telah menyediakan pelan kontigensi untuk menyediakan lebih banyak katil tambahan di luar dari hospital dengan mewujudkan hospital sementara.
Untuk tujuan itu, seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya 28 Mac 2020, sebuah hospital sementara akan diwujudkan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, Selangor.
Kredit foto: FB Kementerian Kesihatan Malaysia
Jika selama ini kita mengenali MAEPS sebagai tempat penganjuran acara besar seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA), seminar dan persidangan serta venue perkahwinan, kali ini dewan MAEPS akan mengambil peranan yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Dewan-dewan yang sebelum ini dipenuhi dengan kerusi, meja atau pentas, bertukar pemandangan dengan dipenuhi katil-katil pesakit serta bilik-bilik rawatan sementara.
Hospital sementara ini sebenarnya sudah hampir sedia untuk berfungsi.
Memetik laporan media, hospital sementara ini diubah suai menjadi pusat kuarantin dan rawatan pesakit COVID-19.
Difahamkan untuk waktu ini, dua dewan sahaja diubah suai iaitu Dewan A dan Dewan B.
Dewan A dianggar boleh memuatkan 400 katil pesakit, manakala Dewan B dimuatkan pula 200 katil pada satu-satu masa.
Hospital sementara ini diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama KKM.
PEMANDANGAN MAEPS Serdang di mana dua dewan di dalamnya sedang diubah suai menjadi hospital sementara bagi merawat pesakit yang disahkan positif COVID-19. - Kredit foto: FB MAEPS Serdang (https://www.facebook.com/maepsserdang/)
Langkah menjadikan MAEPS hospital sementara adalah persediaan bijak KKM atas andaian kemungkinan pada pertengahan April akan berlaku pertambahan kes positif COVID-19 yang mendadak, atau disebut juga sebagai gelombang ketiga.
Kerana itulah persediaan dibuat sebelum ia berlaku!!
Jika jumlah pesakit bertambah, maka tempat sudah pun disediakan.
Namun jika ia tidak sampai ke peringkat mendesak, dan katil hospital masih mencukupi, sekurangnya-kurangnya hospital sementara di MAEPS menampakkan usaha serius negara mendepani COVID-19.
Kedudukan MAEPS juga strategik kerana berhampiran Hospital Serdang serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara pengubahsuaian dewan MAEPS menjadi hospital adalah sesuatu yang baharu bagi negara ini, ia menggmbarkan ketelitian negara dalam merangka tindakan perlu menghadapi suasana belum pasti.
Di Wuhan, China, di mana kes pertama COVID-19 dikesan, beberapa tempat kemudahan awam seperti dewan pameran dan gimnasium, diubah suai menjadi hospital sementara.
Ini kerana hospital yang ada tidak mempunyai katil mencukupi menampung jumah pesakit yang terus meningkat.
Malah
terdapat laporan ada pesakit yang terpaksa disuruh balik tanpa mendapat rawatan kerana hospital sudah ketiadaan katil, selain kekurangan kakitangan perkhidmatan
perubatan dan ubat-ubatan.
Beberapa tempat kemudahan awam hanya diubah suai menjadi hospital sementara setelah keadaan meruncing dan jumlah pesakit meningkat dengan mendadak.
Langkah kuarantin dan rawatan perlu dilaksanakan bagi mengekang penyebaran wabak, sedangkan katil hospital tidak mencukupi.
Justeru apabila pihak berkuasa Wuhan mengambil keputusan mewujudkan hospital sementara ia adalah langkah selepas kejadian, bukan langkah yang difikirkan dari awal.
Oleh itu, kita memuji langkah pintar dan ke hadapan KKM dalam menyediakan hospital sementara di MAEPS, Serdang, walaupun keadaan masih belum memerlukan pada peringkat ini.
Tahniah KKM!! Tahniah Dr Noor Hisham Abdullah! - KitaReporters.com
Kredit foto: FB Kementerian Kesihatan Malaysia (https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/)