Alam & Sains 01 May, 2021

Berita Terkini| Tiada solat Aidilfitiri, aktiviti keagamaan! Di mukim zon merah Kedah - JHEAIK!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

EMPAT mukim dikenal pasti berada dalam zon merah iaitu di Kota Setar melibatkan mukim Mergong dan Derga, mukim Sungai Petani di daerah Kuala Muda serta Relau di Bandar Baharu. - Kredit foto: Kedahgazette.


SEMUA aktiviti keagamaan di masjid seperti majlis berbuka puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran, qiamullail dan sahur tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di zon merah di negeri Kedah berkuat kuasa serta merta.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud berkata, solat Aidilfitri pada 1 Syawal (dijangka 13 Mei 2021) juga tidak dibenarkan dilaksanakan di masjid kawasan berkenaan, sebaliknya meminta penduduk terlibat menunaikannya di rumah masing-masing.

“Setakat ini, empat mukim dikenal pasti berada dalam zon merah iaitu di Kota Setar melibatkan mukim Mergong dan Derga, mukim Sungai Petani di daerah Kuala Muda serta Relau di Bandar Baharu.

"Zon ini akan berubah berdasarkan kes aktif semasa sehingga tamat tempoh PKP,” katanya dalam satu kenyataan media di Alor Setar pada Sabtu, 1 Mei 2021.

Mohd Yusri berkata, bagi jemaah di zon hijau, kuning dan jingga pula aktiviti berkenaan dibenarkan mengikut kaedah ketetapan solat Jumaat.

“Program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau di zon hijau, kuning dan jingga terhad kepada kuliah maghrib, majlis bacaan Yasin pada malam Khamis dalam skala kecil, namun tidak melebihi 45 minit melibatkan anak kariah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Pelaksanaan itu berkuat kuasa sehingga tempoh PKP yang dijadualkan berakhir pada 14 Mei depan.

Malah, program keagamaan dan majlis ilmu berskala besar serta melibatkan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan.

“Ini termasuk aktiviti kemasyarakatan di masjid dan surau seperti jamuan, kenduri dan gotong-royong.

"Aktiviti Ramadan di zon hijau, kuning dan jingga dibenarkan dengan had masa minimum. Masjid dan surau hendaklah ditutup setelah selesai solat Jumaat, solat fardu dan tarawih yang dihadkan sehingga 10.30 malam sahaja,” katanya.

Menurutnya, program berbuka puasa, moreh, sahur di tiga zon berkenaan boleh dilaksanakan dengan kaedah mengedarkan makanan siap dibungkus, bagaimanapun jamuan dalam premis masjid tidak dibenarkan.

“Program qiamullail di masjid tidak digalakkan, namun jika dilaksanakan hendaklah bermula pada 4.30 pagi dengan pematuhan SOP ketat, sementara program tadarus al-Quran hendaklah dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan masjid yang tidak mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan termasuk kebenaran mengadakan aktiviti keagamaan ditarik serta-merta. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

AKTIVITI keagamaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa serta-merta. Kredit Foto ismaweb.net

0
1
5
0
0
You will be interested