Gunung Baling di Kedah. - Kredit foto-foto: Che Saad Noordin
POKOK Paku Aji atau Bogak yang terdapat di Gunung Baling, Kedah menjadi idaman setiap peminatnya untuk meletakkan pokok itu di halaman rumah mereka. Pokok Paku Aji, yang terdapat di Gunung Baling mempunyai berbagai bentuk menarik terutama di bahagian perdunya.
Bagi peminat pokok yang hidup di atas gunung ini, mereka sanggup bergadai nyawa untuk mendapatkannya dan bagi mereka yang ingin membelinya sanggup membayar pada harga yang tinggi sehingga mencapai ribuan ringgit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pokok-pokok
Zulkifli Hussein menunjukkan pokok Paku Aji yang dibawa turun dari puncak Gunung Baling sejak 30 tahun lalu yang kini tumbuh subur di halaman rumahnya di Kampung Bawah Gunung, Mukim Bongor Baling.
Zulkifli Hussein, 52 dari Kampung Bawah Gunung, mukim Bongor Baling sanggup memanjat Gunung Baling seawal pagi dan turun lewat petang.
Menurutnya, untuk mendapatkan pokok Paku Aji yang cantik agak sukar dan berbahaya kerana pokok ini tumbuh di celah-celah batu di atas gunung.
Jelasnya, ketika mencari pokok Paku Aji di lereng-lereng gunung terutama di celah-celah batu amat berbahaya sekiranya tergelincir.
Tegasnya, untuk menarik pokok Paku Aji dari celah-celah batu memerlukan kesabaran
"Pinggang perlu diikat dengan tali yang diikat pada pokok ketika usaha menarik perdu pokok Paku Aji daripada himpitan batu-batu untuk dibawa turun," katanya.
Jelas Zulkifli lagi, ramai penduduk berhampiran gunung Baling menghiasi lama rumah mareka dengan tumbuhan gunung ini yang berbagai bentuk menarik yang tidak terdapat di gunung-gunung lain kecuali di Perlis sahaja.
Tegas Zulkifli, ramai peminat pokok Paku Aji ini dari seluruh Semenanjung berkunjung ke rumahnya untuk membeli tumbuhan hiasan ini, namun setengahnya kecewa kerana harganya yang mahal.
"Jika ada yang berminat saya menjualnya walaupun saya memiliki dan menjaga tumbuhan ini lebih 30 tahun di halaman rumah saya," Jelasnya.
Ketika ditanya pengalamannya mencari tumbuhan itu dari puncak gunung Baling dan membawanya turun, katanya dia terpaksa bergadai nyawa untuk menurunkan sepokok Paku Aji seberat lebih 50 kilogram dengan mengalas tumbuhan itu di bahunya sehingga sampai ke bawah untuk sekurang-kurangnya empat hingga lima jam.
Jelasnya lagi, kerana minat dengan tumbuhan ini masalah keselamatan tidak dipedulikan, namun bersyukur sejak lebih 30 tahun menjadi pengemar dan pencari pokok ini di atas Gunung Baling belum pernah berlaku kejadian yang tidak diingini.
"Kami sesama rakan pencari tumbuhan ini sentiasa mematuhi pantang larang yang dipesankan oleh warga warga emas pencari pokok ini sebelum kami ketika berada di atas gunung tidak melakukan perbuatan biadab termasuk mengeluarkan perkataan perkataan lucah dan mencarut," katanya.
Perbagai bentuk hidup subur di halaman rumah Zulkifli. Ada antaranya berusia lebih 80 tahun.
Di halaman rumahnya terdapat lebih 50 perdu pokok Paku Aji berbagai bentuk dan ketinggian yang dijadikan hiasan halaman rumahnya sejak lebih 30 tahun lalu.
Beliau kini tidak lagi aktif memanjat Gunung Baling untuk mencari tumbuhan Paku Aji kerana mengalami sejenis penyakit yang tidak membolehkan dia mendaki dan menanggung beban berat di bahunya lagi.
Ketika ditanya adakah dia bersedia menjualnya kepada pembeli jika ada yang mahu membelinya, Zulkufli berkata dia sedia menjualnya jika pembeli bersetuju dengan harga yang diletakkan kerana tidak mudah dan terpaksa bergadai nyawa untuk mendapat sepokok tumbuhan ini di puncak gunung dan mengalasnya turun beberapa jam dari puncak hingga ke halaman rumah.
"Pernah ada pembeli yang sanggup membayar lebih RM5,000 seperdu Paku Aji kerana amat berminat dengan bentuk tumbuhan itu yang amat bernilai pada pandangan mareka," katanya. - KitaReporters
Zulkifli menunjukkan salah satu keindahan Pokok Paku Aji. - Kredit foto: Che Saad Noordin