Alam & Sains 22 Aug, 2020

Susu segar Farm Fresh! Cara moden perah susu lembu! 10 minit

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

LAWATAN ke Kompleks Tenusu Muadzam @ Farm Fresh Milk Sdn Bhd (Farm Fresh)  di Muadzam Shah, Rompin memang satu pengalamam yang mengujakan. Seronok dapat melihat sendiri proses perahan susu cara moden dan melawat kandang serta ladang tenusu. Barulah tahu kenapa harga susu mahal. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan susu:

https://kitareporters.com/search?search=susu


Semua orang minum susu. Dari bayi sehingga dewasa waima warga emas sekalipun. Susu memang banyak khasiatnya dan macam-macam produk minuman kesihatan yang dihasilkan dengan bahan asasnya susu lembu!

Dan apabila disebut sahaja jenama susu Farm Fresh, semua orang termasuk kanak-kanak kecil pun tahu. Pengeluar produk tenusu yang semakin popular dan menjadi pilihan rakyat Malaysia. 

Siapa yang tidak mengenali jenama Farm Fresh ini seperti ketinggalan zaman gayanya. 

Ingat susu ingat Farm Fresh! Betul betul betul!



Penulis berpeluang melihat sendiri bagaimana proses perahan susu dilakukan menggunakan kaedah moden dan terkini ini ketika menyertai Familiarisation (Fam) Trip Tourism Pahang bersama media dan ejen ke beberapa lokasi yang menawarkan produk pelancongan baharu dan menarik untuk dilawati di Rompin.


Berikutan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, sesi lawatan kami yang seramai 65 orang itu perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

Mengambil suhu badan, sanitize tangan dan merendamkan kasut (tapak kasut je) untuk mematikan kuman sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan kompleks tenusu dan ladang ternakan. 

Kita jaga kita.


Ladang ternakan lembu tenusu milik The Holstein Milk Sdn Bhd adalah yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 240 hektar. Disebabkan keluasannya itu jugalah, kami mengambil masa yang agak lama untuk ke kawasan yang hendak dilawati. Tapi kami tidaklah sampai masuk ke ladang ternakan itu. 

Berdiri tepi pagar sahaja untuk bergambar.


Penolong Pengurus Ladang Farm Fresh Muazam Shah, Dr Khirrul Nizam Abdul Wahab berkata terdapat lebih 3,000 ekor lembu diternak dan daripada jumlah itu, 1,000 ekor akan menjalani proses perahan dua kali sehari iaitu pada jam 5.50 pagi dan 5.30 petang menggunakan teknologi moden dengan menghasilkan kira-kira 16,000 liter susu segar. 

Bukan macam mak ayah kita buat dulu-dulu ye perah susu guna tangan. Penat!




Menurut Dr Khirrul Nizam, pada satu-satu masa sebanyak 72 ekor lembu akan memasuki 'milking parlour' untuk proses perahan dan setiap seekor mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja dengan bantuan mesin sepenuhnya. 

Sangat berdisiplin ketika proses perahan dilakukan. 

"Lembu-lembu akan diberi makan dan dimandikan terlebih dahulu bagi memastikan kebersihannya selain mengelak berlakunya pencemaran terhadap susu ketika proses perahan," katanya.

Lembu di sini adalah baka Australian Ferisian Sahiwal (AFS) iaitu kacukan baka Ferisian dan baka lembu tenusu Sahiwal dari Pakistan selain Jersey Cross


Antara produk popular Farm Fresh ialah susu segar susu kurma, minuman yogurt (original, manga, strawberry, peach), yogurt (markisa, peach) dan air caffe latte

Farm Fresh. Barulah susu segar!!!


Syarikat Farm Fresh menyediakan 100 peratus susu segar yang tiada bahan pengawet, pewarna atau bahan bahan asing lain. Bermula daripada saat susu lembu diperah sehinggalah produk tenusu tersedia di pasar raya tempatan semuanya siap dalam tempoh 48 jam. 

Wow...cepatnya proses berjalan!

Produk tenusu terbaik datangnya daripada susu segar yang diperah daripada lembu sihat. Hanya lembu yang sihat sahaja dibenarkan untuk menjalani proses perahan dan mana yang sakit akan segera diberi rawatan. 

Patutlah susu dihasilkan betul-betul rasa segar.


Kandang anak lembu. Mana yang baru lahir disediakan satu kandang seekor. Boleh rileks tak perlu bergaduh.



Di unit anak lembu pula, tugas pemantauan dilakukan Syahira Ahmad Daud yang tugas hariannya ialah memastikan anak lembu yang dipindahkan ke situ berada dalam keadaan sihat.

Selepas dua bulan anak lembu akan dipindahkan ke kandang lembu dara dan melalui proses tumbesaran sebelum dibuntingkan selepas mencapai usia satu setengah tahun. 

Mudanya dah bunting!

Umur dua tahun dah boleh lahirkan anak


Berada di kawasan yang sangat luas dengan penjagaan yang bersistematik, berkualiti, kawalan keselamatan dan pengawasan yang sangat baik membolehkan ternakan ini menghasilkan susu bermutu tinggi, sekali gus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. 

Lembu diberi makan rumput napier

Lembu di sini diberi makan rumput napier yang ditanam sendiri dan organik sebagai sumber makanan dan dijaga daripada setiap sudut kebersihan, kesihatan dan keselamatan untuk mengelak daripada sebarang penyakit.


Lembu di sini siap ada kipas dan automatic shower lagi. Ada benda berbulu macam berus untuk digeselkan di bahagian badan atau kepala kalau gatal. 


Yang besar sikit boleh kongsi kandang dan makan serta tidur sama-sama.


Info:

Syarikat Farm Fresh yang mula beroperasi pada 2009 kini mempunyai lima ladang ternakan lembu yang diusahakan di Kota Tinggi dan Desaru, Johor; Muadzam Shah, Pahang; Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor dan di Pondok Tanjung, Perak. 

Selain itu, syarikat ini juga telah berjaya melahirkan hampir 600 usahawan yang menjual produk Farm Fresh. Syabas dan tahniah kepada usahawan semua yang terus menjenamakan produk ini dalam kalangan masyarakat setempat.

Produk Farm Fresh yang dikeluarkan pada 2009 oleh pengasasnya, Loi Tuan Ee dilihat mampu memberikan pilihan kepada penduduk tempatan untuk menikmati susu segar dan membantu mengurangkan kes kebergantungan produk tenusu yang diimport dari luar negara. : KitaReporters

11
6
2
1
1
You will be interested