Alam & Sains 19 Jul, 2020

Pertembungan monsun! Punca sebab hujan lebat, banjir kilat?

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
MUNGKINKAH pertembungan angin Tenggara dan angin Barat Daya di utara serta selatan Semenanjung yang berlaku sekarang dijangka berterusan hingga akhir Julai ini antara punca terjadinya hujan lebat dan ribut petir sehingga berlakunya banjir kilat terutama di kawasan geografinya rendah lagi mudah dinaiki air, sekalipun hujan yang turut dalam masa singkat dan kuantiti peratusnya tidaklah begitu tinggi. : KitaReporters


Salah satu kawasan kediaman yang ditenggalami air dalam kejadian banjir kilat di daerah Hulu Langat, Selangor pada Sabtu 18 Julai 2020. - Kredit foto-foto: Nur Ain Airil dan Hazman Aroff Hamid.


Sehubungan itu, orang ramai perlu berhati-hati dan waspada terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah. 

Persiapan awal perlu dirancang untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah kerosakan barangan khususnya peralatan eletrik, perabut selain kehilangan dokumen-dokumen penting dengan meletakkannya di tempat selamat yang mudah diambil jika berlakunya musibah berkenaan.

Berikutan fenomena alam dengan kadar taburan hujan yang agak lebat dan tinggi peratusan curahannya, pada petang Sabtu 18 Julai 2020 beberapa kawasan di Selangor dilaporkan mengalami banjir kilat dan menenggelamkkan kawasan rendah hingga mencecah beberapa meter tingginya.

Menurut laporan media sosial Smart Selangor Command Centre (SSCC) yang dikemas kini sehingga jam 12.20 tengah malam (Ahad 19 Julai 2020), di Daerah Hulu Langat terdapat 13 lokasi terlibat banjir kilat, Hulu Selangor (4 lokasi), Sepang (2 lokasi) dan Gombak (1 lokasi).
Bagi Daerah Hulu Langat tempat-tempat terlibat Kampung Sungai Pening di Semenyih, Kampung Bukit Dukung, Kampung Sungai Sekamat, Kampung Batu 13, Sungai Balak, Kampung Sri Jambu, Kampung Sungai Jernih, Batu 10 Cheras, Sungai Raya Batu 9, Kampung Bangi, Taman Muhibbah, Kampung Sungai Kantan dan Kampung Batu 14.

Salah satu pandangan keadaan banjir yang berlaku di bandar Kajang pada Sabtu 18 Julai 2020 berikutan hujan lebat yang turun sejak lewat petang.

Manakala di Hulu Selangor tempat-tempat terlibat Kampung Sentosa di Batang Kali, Taman Seri Cahaya di Batang Kali, Taman Seri di Batang Kali dan Lorong 4B Taman Lembah Damai di Kerling. 

Bagi Daerah Gombak di Lorong ES, Kampung Melayu Sri Kundang, manakala di Sepang ialah di Taman Desa di Jenderam Hilir dan Jalan Salam di Sungai Merab.

Pihak SSCC juga membuka tiga pusat pemindahan sementara di Daerah Hulu Langat iaitu Di Dewan Sungai Sekamat, Balai Raya Batu 10 Cheras dan Balai Raya Kampung Batu 13, yang beroperasi bila-bila masa. 

SSCC akan terus memantau dan mengambil tindakan drastik kejadian banjir kilat ini.

Pihak SSCC akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa yang boleh dihubungi melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor melalui telefon 03 50350920/03 50350921, faksimili 03 5035940 atau emel pengurusan bencana@selangor.gov.my

Beginilah keadaan Bandar Kajang yang dilanda banjir kilat pada Sabtu 18 Julai 2020.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak lewat petang Sabtu, 18 Julai 2020 menyebabkan beberapa kawasan sekitar Kajang dan Hulu Langat dinaiki air hingga mencecah melebihi paras pinggang, malahan di tempat-tempat tertentu yang kedudukan kawasannya agak rendah mampu mencapai ke paras melebihi beberapa meter.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Balakong, Wong Siew Ki melalui media sosial beliau memberitahu maklumat yang diterimanya beberapa kawasan di daerah Hulu Langat mula dinaiki air sekitar jam 7.30 malam, bagaimanapun sehingga jam 8.30 malam sebahagian besar kawasan terlibat mulai surut.

Namun orang ramai dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga.

Pusat Khidmat ADUN dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ketua kumuniti akan berganding bahu bagi mengetahui keadaan banjir semasa. 

Malahan pihaknya juga akan menghubungi Pejabat Daerah Hulu Langat dan  Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebagai persediaan menghulurkan bantuan jika berlaku kecemasan. - KitaReporters

Dua wanita ini terpaksa meredah air melepasi paras pinggang untuk ketempat lebih selamat dalam kejadian banjir yang berlaku di daerah Hulu Langat, Selangor.

Air melimpah membanjiri sebahagian kawasan bandar Kajang berikutan hujan lebat yang turun pada Sabtu petang 18 Julai 2020.

Beberapa orang pemuda yang menawarkan khidmat membantu mereka yang terperangkap dalam banjir kilat di daerah Hulu Langat membuat tinjauan rondaan di salah satu lokasi utama berhampiran bandar Kajang. 

Salah satu kawasan perumahan berhampiran bandar Kajang ditenggelami air berikutan banjir kilat yang berlaku pada Sabtu 18 Julai 2020.

1
0
2
0
0
You will be interested