Alam & Sains 13 Sep, 2023

Premis zalim? Papan tanda Dilarang Beri Haiwan Makan! Canggahi Pelan Strategi Kebajikan Haiwan Negara?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this


Di bandar-bandar besar, konflik antara manusia dan haiwan-haiwan jalanan seperti anjing dan kucing semakin meruncing. Konflik ini mencetuskan rasa tidak puas hati dan perdebatan antara pelbagai pihak.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adakalanya berbelah bahagi sama ada mengambil tindakan ke atas haiwan-haiwan jalanan ini bagi memenuhi aduan orang ramai. Manakala pada satu pihak lagi iaitu pencinta haiwan, mahukan yang terbaik atau penyelesaian berperikemanusian daripada pelbagai pihak terutamanya PBT.

Tidak dinafikan kewujudan haiwan-haiwan jalanan ini adakalanya membuatkan orang ramai dan peniaga rasa tidak selamat atau mengganggu perniagaan mereka. Kes di mana ada haiwan-haiwan jalanan seperti anjing menyerang orang awam pernah dilaporkan dalam akhbar dan media sosial.


Anjing-anjing jalanan juga ada hak untuk hidup di muka bumi ini. - Kredit foto: Google Image


Namun dari sudut perikemanusiaan, haiwan-haiwan ini juga makhluk Allah SWT dan ada hak untuk hidup di muka bumi ini. Lagi pun, manusia sendiri juga yang sering membuang kucing dan anjing peliharaan mereka apabila sudah tidak memerlukannya lagi. 

Konflik yang berterusan tanpa penyelesaian yang mendamaikan kedua-dua pihak. Ada sesetengahnya mengambil langkah sendiri walaupun ia melanggar undang-undang.

Hal itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia menerusi laman sosial mereka. Tegas mereka, tindakan kebanyakan premis meletakkan papan tanda 'Dilarang Beri Haiwan Makan' di luar premis mereka adalah salah.



“Tindakan kebanyakan premis meletakkan papan tanda 'Dilarang Beri Haiwan Makan' di luar premis mereka tidak beretika, bercanggah dengan Pelan Strategi Kebajikan Haiwan Negara serta penting diri.

"Premis persendirian tiada hak meletakkan arahan larangan begini di luar kawasan premis yang bukan hak milik premis berkenaan,” tulis kenyataan tersebut.

Mereka juga menyarankan kepada premis-premis yang melakukan tindakan seperti itu mengubah kenyataan di papan tanda agar lebih berhemah dan mendidik.

Bagi adil kepada dua-dua pihak, mereka juga memberi teguran kepada pihak yang memberi makan kepada haiwan-haiwan jalanan supaya mematuhi undang-undang.

“Justeru adalah disarankan supaya setiap premis membantu supaya kenyataan larangan dan penting diri begini ditukar menjadi kanyataan bersifat pendidikan dan kemanusiaan.

Manakala pemberi makan haiwan (animal feeders) adalah diminta supaya mematuhi undang-undang kebersihan dan memelihara kebersihan selepas menyantuni haiwan jalanan untuk mengelakkan imej kebajikan haiwan tercemar. Tolak budaya diskriminasi terhadap haiwan jalanan,” ujar persatuan tersebut. - KitaReporters


Kepada yang memberi makan kepada haiwan-haiwan jalanan, pastikan tidak melanggar undang-undang dan jaga kebersihan. - Kredit Foto: Facebook Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia.

12
21
0
13
0
You will be interested