Tak rugi pun kita berkongsi ilmu atau tip kalau ia berguna dan bermanfaat untuk orang ramai. Semakin kita berkongsi, semakin banyak manfaat yang kita dapat.
Yelah, ada sesetengah orang, mereka tak mahu berkongsi kerana khuatir akan rugi terutama dalam bidang perniagaan. Rahsialah katakan!
Contohi sikap pempengaruh seperti Khairulaming yang sedikit pun tidak kedekut berkongsi ilmu dan rahsia perniagaannya. Oleh kerana itulah dia berjaya memikat hati orang ramai, sekali gus mengukuhkan jenamanya.
Justeru, andai anda ada ilmu, tip atau rahsia berguna, jangan simpan. Berkongsilah dengan masyarakat.
Begitulah yang dilakukan oleh seorang penternak ayam telur yang menggunakan TikTok untuk berkongsi ilmu penternakan ayam.
Menggunakan akaun TikTok bernama Hafiy Zain, dia berkongsi pelbagai video bermanfaat terutama untuk para penternak yang baharu dalam bidang tersebut.
Paling menarik perhatian, perkongsiannya mengenai cara menyahkan lalat dan mengurangkan bau reban ayam sehingga mendapat sebanyak 114 ribu jumlah tontonan.
“Pakai cara ni walaupun musim hujan, alhamdullilah tiada lalat dan memang kurang bau busuk dekat kandang,” tulisnya.
Menurut Hafiy dalam keterangan video tersebut, dia hanya menggunakan sekam padi yang disembur EM.
Mesti ramai yang tidak tahu apa itu EM. Hasil pencarian dalam Google, EM ialah singkatan daripada Effective Microorganism. Ia merupakan baja hasil campuran bakteria laktid asid, yis dan bakteria fototrofik.
“Reban ayam tak berlalat dan kurang bau (letak sekam padi dan sembur EM, nanti akan terhasil ulat (bfs) yang akan makan najis-najis ayam itu,” jelasnya.
Sementara itu ada juga netizen yang bertanya mengenai kekerapan penukaran sekam padi.
Menurut Hafiy, dia tidak menukarnya tetapi menambahnya apabila ia basah dan berbau.
Seorang lagi netizen pula mengucapkan tahniah kepada Hafiy atas perkongsian ilmu tersebut. Malah, dia turut mendoakan kejayaan buat Hafiy.
“Tahniah tuan kongsi ilmu. Saya doakan tuan berjaya sebagai usahawan yang berjaya dan beriman,” tulisnya.
Semoga perkongsian oleh Hafiy bermanfaat terutamanya kepada usahawan penternakan ayam yang baru berjinak dengan perniagaan ini. Juga berharap ramai lagi berkongsi ilmu dan tip seperti ini.
Tak susah pun apatah lagi banyak platform boleh digunakan seperti media sosial yang pantas dan efisien. - KitaReporters