Alam & Sains 01 Jan, 2026

Keselamatan Online| Demi lindungi pengguna! Khususnya kanak-kanak, keluarga! ONSA dikuatkuasakan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini, 1 Januari 2026, mengumumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), yang menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.



ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna.

ONSA juga terpakai terhadap pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP), atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP), di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998 atau Akta 588).

ONSA pula tidak terpakai terhadap pengguna individu. 



MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan ‘deeming’ di bawah Seksyen 46A, AKM 1998 juga berkuat kuasa hari ini (1 Januari 2026). 

Berikutan itu, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan akan tertakluk di bawah kerangka pelesenan sedia ada dan perlu mematuhi undang-undang Malaysia, termasuk ONSA.

Secara keseluruhan, langkah-langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang berstruktur dan berperingkat-peringkat bagi memastikan platform dalam talian berskala besar yang beroperasi di Malaysia tertakluk kepada pengawasan dan akauntabiliti yang bersesuaian.

Seiring dengan perkembangan ekosistem dalam talian di Malaysia, MCMC kekal komited untuk bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan, ibu bapa dan pendidik, agensi penguatkuasaan undang-undang, pertubuhan masyarakat sivil serta komuniti secara menyeluruh bagi menyokong persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.



Maklumat lanjut mengenai ONSA boleh didapati pada laman sesawang MCMC di

https://www.mcmc.gov.my/ms/media/press-releases/faq-the-online-safety-

act-2025-onsa. - KitaReporters/Kenyataan Media

0
0
0
0
0
You will be interested