Alam & Sains 12 Sep, 2025

SKMM vs Telegram, Edisi Siasat! Dapat injunksi sementara dalam kes sivil! Hormati perintah mahkamah!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 September 2025 berhubung permohonan SKMM untuk mendapatkan perintah injunksi sementara dalam kes sivil melibatkan penyedia platform media sosial Telegram. 



Sehubungan itu, SKMM akan terus memastikan ruang digital/siber di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan.

"Melalui keputusan tersebut, Mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi larangan sementara (interim prohibitory injunction) yang melarang pihak defendan termasuk pentadbir akaun Edisi Siasat, Edisi Khas, serta pihak Telegram daripada menerbitkan, menyebarkan atau mengulang siar kandungan yang dipertikaikan sebagaimana dinyatakan dalam tuntutan SKMM.

"Keputusan ini selaras dengan peranan SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan platform digital tidak disalahgunakan," jelasnya dalam satu kenyataan.



Terdahulu, SKMM mengambil tindakan terhadap dua saluran dalam platform Telegram iaitu 'Edisi Siasat' dan 'Edisi Khas', yang didakwa menyebarkan kandungan memudaratkan serta melanggar peruntukan undang-undang negara.

Menurut SKMM, pihaknya telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah injunksi interim terhadap kedua-dua saluran tersebut.

Katanya, ia bertujuan menghentikan penyebaran kandungan yang boleh menghakis kepercayaan terhadap institusi awam serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Seterusnya, SKMM menegaskan ia akan terus memantau pematuhan terhadap perintah ini, manakala isu-isu lain yang terkandung dalam tindakan undang-undang akan diputuskan pada perbicaraan penuh kelak.

"SKMM kekal komited untuk memastikan ruang digital di Malaysia lebih selamat agar rakyat tidak terdedah kepada penipuan, kandungan berbahaya dan ancaman penyalahgunaan," tegasnya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
18
0
8
0
You will be interested