Alam & Sains 24 Mar, 2020

BERHENTI! KENA PERIKSA SUHU BADAN DULU!!

@asliza musa
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang pernah berkhidmat di Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke cawangannya di Perak selama 10 tahun.

Share this
PENINGKATAN jumlah kes positif dan kematian akibat wabak Covid-19 di negara ini, maka beberapa langkah pemantuan dan pemeriksaan kini dilakukan terhadap mereka yang mengunjungi tempat-tempat awam seperti pasar awam untuk membeli barangan keperluan. : KitaReporters

Anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Manjung (MPM) melakukan pemeriksaan suhu badan ke atas pengunjung di Pasar Awam Seri Manjung di Perak pada 23 Mac 2020.
Keadaan pengunjung yang bersesak itu sebenarnya meningkatkan risiko penularan wabak Covid-19 kerana kita sendiri tidak tahu orang yang berada di sekeliling kita pada waktu itu mengalami simptom Covid-19 aau tidak.

Bagi pengunjung pasar awam di daerah Manjung, Perak, anda boleh menarik nafas lega apabila setiap orang yang mahu masuk ke dalam premis tersebut akan diperiksa suhu badan terlebih dahulu.

Langkah proaktif Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu dapat dilihat menerusi video berdurasi 46 saat yang dikongsi dalam laman Facebook pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Isnin, 23 Mac 2020.
Setakat ini, video yang turut memaparkan pengunjung beratur panjang kerana menjaga jarak diri masing-masing telah dikongsi oleh 558 pelayar dan menerima 578 tanda suka.

Video berdurasi 46 saat yang dikongsi MPM di laman Facebooknya (https://www.facebook.com/mpmanjung/) :


Kredit foto: FB Majlis Perbandaran Manjung (https://www.facebook.com/mpmanjung/)


Menurut Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh, operasi pemeriksaan suhu badan itu dilakukan di Pasar Awam Seri Manjung melibatkan kira-kira 400 pengunjung.
Katanya, tindakan itu sebagai usaha kawalan pihaknya dalam mengekang penularan wabak Covid-19 terutama di kawasan pasar yang masih menjadi tumpuan orang ramai. 
"Kita telah lama merancang untuk melakukan pemeriksaan suhu badan ke atas pengunjung, namun mengalami kekangan ekoran bekalan alat pengesan suhu yang sukar diperoleh di pasaran. 
"Setakat ini, kita membekalkan tiga unit alat pengesan suhu kepada anggota penguat kuasa yang menjalankan operasi di pasar awam terpilih," katanya.
Syamsul Hazeman berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya 10 lagi tambahan alat pengesan suhu untuk memudahkan operasi sama dilakukan di pasar awam lain seperti di Ayer Tawar, Sitiawan, Pantai Remis, Beruas dan Kampung Koh.
Dalam pada itu beliau berkata, MPM turut melaksanakan kawalan ketat dengan hanya membenarkan pengunjung yang memakai penutup muka masuk ke dalam pasar.

Orang ramai mengamalkan peraturan menjarakkan diri (social distancing) sementara menunggu giliran untuk masuk ke pasar di Manjung, Perak.
Menurutnya, setiap pengunjung diberikan tempoh berurus niaga selama 15 minit sahaja dengan kapasiti 30 orang dibenarkan masuk untuk satu-satu jangka masa. 
"Bagi memastikan kawalan ini dipatuhi, hanya satu pintu masuk dan keluar dibuka di semua pasar awam, pengunjung yang menanti giliran pula diwajibkan mengamalkan jarak selamat sekurang-kurangnya dua meter. 
"Semua langkah pematuhan ini digerakkan bagi memastikan tiada kes-kes penularan baharu berlaku di daerah ini," katanya. - KitaReporters

Laporan dan statistik terkini mengenai COVID-19 di https://kitareporters.com/coronavirus

1
0
0
0
0
You will be interested