Alam & Sains 03 Feb, 2020

'SARUNG TANGAN' PERSAHABATAN UNTUK WUHAN

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this
ADAT hidup, tolong menolong sekiranya ada yang berada dalam kesusahan. Itu yang dilakukan negara kita apabila turut berganding bahu dengan negara-negara di seluruh dunia membantu menangani wabak koronavirus yang ‘bergegar’ di Wuhan, China. : KitaReporters.com

MALAYSIA bersedia menghantar sarung tangan ke Wuhan dan penghantaran berkenaan akan dibuat secara berperingkat-peringkat. - Foto Bernama.


Atas dasar tanggungjawab bersama kerajaan akan menyumbangkan 18 juta sarung tangan perubatan ke China sebagai usaha untuk menangani wabak berkenaan.

Inikan amalan mulia… pada kala mereka susah kita kerana pada masa depan kita belum tentu lagi sentiasa sihat.

Keputusan menghantar sarung tangan itu juga bersesuaian kerana Malaysia yang juga merupakan pengeluar sarung tangan perubatan terbesar dunia dengan angka eksport mencecah kira-kira 180 bilion di seluruh dunia.

Malah ini bukan kali pertama Malaysia ringan tulang membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan yang serius.

Pada 2014, Malaysia telah menghantar lebih daripada 20 juta sarung tangan getah perubatan ke Liberia, Sierra Leone, Guinea, Nigeria dan Kongo semasa krisis virus Ebola.

Berita gembira mengenai penghantaran sarung tangan itu diumumkan sendiri oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok pada Jumaat, 31 Januari 2020.

Beliau mengumumkan Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC) dan pengeluar sarung tangan getah di Malaysia telah berjanji untuk menyumbangkan sebanyak 18 juta sarung tangan perubatan untuk dihantar ke Wuhan, China.

Dua syarikat gergasi sarung tangan bersedia menyumbang bagi membantu mereka yang memerlukan di Wuhan, China. - Gambar hiasan.


Penghantaran berkenaan akan dibuat secara berperingkat-peringkat dengan penghantaran pertama sudah dalam perjalanan ke Wuhan.

Malah dua syarikat gergasi sarung tangan di negara ini juga bersedia untuk menyumbang.

"Dua syarikat Malaysia, Top Glove dan Supermax, telah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan melalui pejabat dan pengedar tempatan mereka di Wuhan.

"Selain itu, syarikat-syarikat lain yang turut sama menyumbang ialah Smart Glove, Hartalega, Kossan, YTY, Brightway dan Koon Seng,” kata Teresa yang dipetik oleh Selangorkini.my.

Tahniah Malaysia!!

Menteri Industri Utama, Teresa Kok menyaksikan penyerahan sarung tangan perubatan oleh wakil syarikat terlibat kepada Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian. - Foto Bernama.


Sementara itu, memetik laporan South China Morning Post, jumlah kes positif jangkitan 2019 Novel Koronavirus atau Koronavirus Baru 2019 (2019-nCoV) ialah 17,205 kes dengan 361 kematian sehingga Isnin, 3 Februari 2020.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China dipetik sebagai berkata, 2,829 kes baru dan 57 kematian dilaporkan di China pada Isnin, 3 Februari 2020 berbanding 2,590 kes baru dan 45 kematian pada Ahad, 2 Februari 2020.

Daripada jumlah kematian yang baru dilaporkan, 56 adalah di wilayah Hubei - pusat kejadian wabak koronavirus itu dan satu di Chongqing. KitaReporter.Com

 

4
25
0
0
0
You will be interested