ANGKA korban akibat pandemik penyakit Koronavirus-2019 (Covid-19) di United Kingdom (UK) pada Rabu, 25 Mac 2020, melepasi 422 orang dengan 9,529 orang disahkan positif, yang mana 1,542 adalah kes baharu termasuk pewaris takhta British, Putera Charles. : KitaReporters
Sumber grafik: theguardian.com
Kalau ikut pecahan kes positif berdasarkan negeri, sebanyak 7,973 kes dilaporkan di England, manakala Scotland (719), Wales (628) dan Ireland Utara (209).
Putera Charles, 71, disahkan positif COVID-19 tetapi beliau dilaporkan hanya menunjukkan simptom ringan dan dalam keadaan baik.
Menurut laporan BBC News, putera sulung Ratu Elizabeth dan bapa kepada Putera William itu kini kuarantin di kediaman mereka di Scotland dan masih melakukan rutin kerjanya.
Baginda mengasingkan diri daripada isterinya, Duchess Cornwall, 72 yang sudah disahkan negatif virus.
Sumber Instagram royalfamilygb
Istana Buckingham menerusi kenyataannya berkata, kali akhir Ratu bertemu mereka adalah pada 12 Mac 2020 dan puterannya itu kelihatan sihat.
Menurut kenyataan itu, tidak diketahui punca jangkitan kerana baginda terbabit dalam banyak tugasan awam sejak beberapa minggu kebelakangan.
Wakil diraja, Nicholas Witchell, berkata pasangan itu tiba di Scotland pada Ahad, 22 Mac 2020.
"Charles menjalani ujian di NHS, Aberdeenshire pada Isnin (23 Mac 2020) dan keputusan keluar pada Selasa (24 Mac 2020) malam menunjukkan ia positif.
"Baginda masih bekerja dan kuat semangat, masih mengadakan mesyuarat secara atas talian," katanya.
Sementara itu, media Britain, Telegraph melaporkan, jumlah mereka yang disahkan positif Covid-19 meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan.
Malah, ada menyebut, angka tersebut itu bakal meningkat seperti mana yang kini berlaku di Itali kerana dari segi petunjuk data, Britian dilihat dua minggu di belakang Itali.
Setakat Rabu, 25 Mac 2020, sebanyak 7,503 orang maut akibat Covid-19 di Itali, dengan sebanyak 74,386 yang lain disahkan positif. - KitaReporters