Alam & Sains 19 Mar, 2020

TERBAIK!! MAKANAN UNTUK PETUGAS KESIHATAN

@asliza musa
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang pernah berkhidmat di Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke cawangannya di Perak selama 10 tahun.

Share this
SELEPAS tular rakaman video seorang jururawat berkongsi cara mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembersih (sanitizer) dengan betul, terbaru Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengambil pendekatan yang serupa. MB juga akan membiayai makanan untuk 1,500 petugas Kesihatan di Perak : KitaReporters 

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkongsi cara membersihkan tangan dengan betul melalui rakaman video yang dimuatnaik di Facebook rasminya (https://www.facebook.com/pejaofperak/).


Menerusi laman sosial Facebooknya (https://www.facebook.com/pejaofperak/), Ahmad Faizal berkongsi dua video masing-masing berdurasi 2.45 dan 1.23 minit berkaitan cara mencuci tangan dengan betul dan membersihkan rumah daripada ancaman wabak koronavirus (COVID-19).

Dalam postingnya ditulis: "Kita semua sedia maklum, salah satu kaedah untuk elakkan ancaman virus Covid-19 adalah dengan selalu bersihkan tangan. 

"Tapi macam mana cara cuci tangan yang betul? Moh tengok MB Peja kongsi kaedahnya. - Admin"


Dalam posting untuk video kedua pula, ditulis: "Lepas berkongsi cara cuci tangan yang betul, kali ni MB Peja berkongsi pulak kaedah nak bersihkan rumah kita daripada ancaman virus merbahaya. 

"Semoga kita semua dilindungi dari ancaman wabak yang boleh mengancam nyawa ni. Amen ya rabbal alamen.."


Menurut Ahmad Faizal, masa terluang yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu dapat dimanfaatkan dengan melakukan 'Spring Cleaning' bersama isteri dan anak-anak di rumah.

"Sementara ada di rumah ini, eloklah ambil masa untuk buat spring cleaning. 

"Saya dengan isteri buat spring cleaning, kita cuci rumah dan ambil peluang ini ajak anak dan isteri jaga kebersihan. 

"Kalau badan kita bersih, diri kita bersih, kita tidak bawa kuman kepada keluarga, jiran tetangga dan sahabat-sahabat. Insyaallah negara kita juga akan terus sihat," ujar beliau.


Rakaman video secara santai yang dilakukan di kediaman rasminya di Ipoh itu mendapat respons positif dalam kalangan pengikutnya dalam media sosial apabila rata-rata menyambut baik perkongsian berkenaan.

"Terbaik Dato, mari semua amalkan dan jaga kebersihan," ujar Chedet Chedet Butiknasha.
"Assallamualaikum. Syabas Boss, buat keja dan cuci sendiri.Terbaik Boss, dulu kini dan selamanye. Kekalkan seperti mane PEJA yg dikenali tidak pernah berubah. Aamiiiiinn3 Ya Rabball' Aalaamiiinn," komen Achu Achu Arz.
"Ini baru benor YB MB. Baru deme paham," ulas Zahid Al Beth.
"Terbaiklah Dato Seri," kata Je Bat.

Ahmad Faizal Azumu (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Negeri Perak. Mesyuarat berlangsung di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak, Ipoh pada 19 Mac 2020.


Sementara itu, dalam kekalutan menghadapi penularan COVID-19, kumpulan yang paling terkesan semestinya adalah petugas barisan hadapan yang sentiasa bersiap siaga dalam mendepani kesihatan dan keselamatan rakyat.
Tanggungjawab yang dipikul golongan itu bukan biasa-biasa kerana mereka sendiri mempertaruhkan diri bagi memastikan risiko jangkitan wabak berkenaan tidak terus meningkat.
Oleh itu, selain menghargai usaha dan pengorbanan mereka dengan duduk di rumah sepanjang tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan ini, tidak salah kiranya untuk kita memberi sumbangan lain kepada golongan tersebut.
Di Perak misalnya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM420,000 bagi membiayai makanan untuk 1,500 petugas Jabatan Kesihatan Perak dalam tempoh dua minggu ini.
Sumbangan makanan yang bermula pada Khamis, 19 Mac 2020 membabitkan makan tengah hari dan makan malam dan akan diagihkan kepada doktor, jururawat dan petugas kesihatan.


Menurut Ahmad Faizal, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan hadapan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan dalam menangani wabak COVID-19.
"Sumbangan makan tengah hari dan makan malam ini adalah untuk semua petugas Jabatan Kesihatan Perak untuk tempoh dua minggu melibatkan kos sebanyak RM420,000.
"Selain sumbangan makanan, peruntukan khas sebanyak RM160,000 untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan turut diberikan kepada Jabatan Kesihatan Perak," katanya.
Tahniah Perak, semoga dengan sumbangan ini dapat menaikkan lagi semangat petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus bekerja dalam persekitaran berisiko.
Terima kasih MB Perak!! Terima kasih petugas kesihatan!! Sesungguhnya anda semua adalah wira kami! - KitaReporters

1
0
0
2
0
You will be interested