Alam & Sains 22 Apr, 2021

Tangki besar gas di luar hospital bocor! Bekalan oksigen terputus! 22 pesakit Covid-19 meninggal

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

TANGKI-TANGKI oksigen di luar Hospital Zakir Hussain, Nashik, Maharashtra, India. Salah satu daripadanya bocor menyebabkan bekalan gas kepada pesakit Covid-19 terhenti sehingga mengakibatkan 22 daripada mereka mati. - Kredit m.economictimes.com


NASIB badan. Sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah derita menanggung jangkitan Covid-19, bekalan oksigen di Hospital Zakir Hussain, Nashik di Maharashtra, India, terputus menyebabkan 22 orang pesakit Covid-19 yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan meninggal dunia.  

Memetik laporan ndtv.com, dalam kejadian pada pagi Rabu 21 April 2021, salah satu tangki besar oksigen yang menyalurkan bekalan oksigen ke hospital, dikesan bocor ketika sedang diisi dengan bekalan oksigen tambahan. 

Ini menyebabkan bekalan gas kepada para pesakit terhenti selama setengah jamTangki-tangki oksigen ini terletak di luar hospital.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan India

ASAP putih memenuhi persekitaran apabila tangki oksigen di Hospital Zakir Hussain, bocor. -Kredit foto: ndtv.com


Menurut seorang pegawai perbandaran, Suraj Mandhare, 22 pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia akibat bekalan terputus itu. Difahamkan juga 31 daripada 80 pesakit yang memerlukan oksigen di hospital itu terpaksa dipindahkan ke hospital lain.

Kesemua 22 pesakit yang meninggal bergantung kepada alat bantuan pernafasan yang memerlukan bekalan oksigen sepanjang masa. 

Hospital Zakir Hussain merupakan hospital yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19. Seramai 150 pesakit memerlukan sama ada alat bantuan pernafasan atau bergantung kepada oksigen.

Menteri Kesihatan Negeri Maharashtra, Rajesh Tope, menyifatkan kejadian itu sebagai malang. Dia memberi jaminan kerajaan akan menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh untuk mencari punca kebocoran tangki oksigen itu.

Dia berjanji satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan kepada umum sebaik sahaja penyiasatan selesai dijalankan. 

Menurutnya, keadaan di hospital itu kini terkawal selepas kejadian tersebut.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, melahirkan simpati dengan kemalangan yang meragut nyawa tersebut dan menyifatkannya sangat menyayat hari. Dia mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban.

Jurucakap pejabat Ketua Menteri, Uddhav Thackeray pula memaklumkan keluarga pesakit yang meninggal akan menerima pampasan 5 lakh Rupee seorang (RM27,260).

Ramai menggesa agar mereka yang bersalah dikenakan hukuman berat. 


PEKERJA hospital kelam kabut dan cuba membantu pesakit yang tercungap-cungap bernafas apabila bekalan oksigen kepada pesakit Covid-19 Hospital Zakir Hussain terputus ekoran kebocoran pada tangki gas besar. - Kredit foto: ndtv.com


Gambar-gambar yang diambil di tempat kejadian menunjukkan oksigen yang bocor daripada tangki membentuk asap putih tebal dan berkepul-kepul menyelubungi kawasan berkenaan.

Suasana kelam kabut kelihatan sebaik bekalan oksigen terhenti. Pekerja hospital dan sanak saudara  menjadi panik sambil berusaha membantu pesakit yang tercungap-cungap cuba bernafas. Namun 22 pesakit tidak dapat diselamatkan.

Pasukan bomba juga dikejarkan ke tempat kejadian. Air disembur untuk cuba menutup kebocoran dengan anggota bomba memakai pakaian lengkap perlindungan diri.

Sebaik sahaja kebocoran dikesan, para pekerja perbandaran dengan segera memindahkan beberapa tangki oskigen daripada kawasan lain di mana keperluan oksigen tidak mendadak, selain memindahkan pesakit ke hospital lain. 

Untuk rekod, Hospital Zakir Hussain diberi sempena nama presiden ketiga India, Zakir Hussain Khan. Allahyarham menyandang jawatan mulai Mei 1967 sehingga meninggal dunia pada 3 Mei 1969.

Menurut Kementerian Kesihatan Maharashtra, dalam tempoh 24 jam sehingga 21 April 2021, sebanyak 58, 924 kes baharu Covid-19 dicatatkan di negeri itu. Sejumlah 52,412 sembuh dan 351 kematian. - KitaReporters.com


ASAP putih menyelebungi persekitaran Hosdpital Zakir Hussain apabila salah satu tangki utama oksigen bocor. - Kredit foto: ndtv.com

1
0
2
0
0
You will be interested