PERUBAHAN keadaan yang disebabkan pandemik Covid-19 telah memberi kesan terhadap pekerjaan dan para pekerja pada setiap peringkat dan industri. Sehubungan itu, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), buat julung kalinya, terus meningkatkan usaha dengan menganjurkan ACCA Virtual Career Fair 2020 (Pameran Maya Kerjaya ACCA) yang akan berlangsung pada Khamis, 23 Julai 2020 dari 8 pagi hingga 8 malam. : KitaReporters
Berpaksikan usaha sekian lama untuk menyokong perkembangan kerjaya ahli ACCA, ahli sekutu dan para pelajarnya, penyertaan pameran berkenaan dibuka kepada ahli ACCA, para profesional bidang perakaunan dan kewangan dan juga orang awam sebagai usaha untuk memberi pelbagai peluang pekerjaan kepada komuniti perakaunan Malaysia di peringkat tempatan dan global.
Kini dibuka untuk pendaftaran melalui laman sesawang, https://bit.ly/ACCAMY-VCF2020, ACCA Virtual Career Fair 2020 akan menyaksikan penyertaan daripada organisasi kewangan, konsultansi perakaunan dan korporasi-korporasi lain seperti Baker Tilly, Berjaya Group, CIMB, Maybank, Kimberly Clark, KPMG, Roche Asia Pacific, dan Shell BOKL antara yang lain yang bakal ‘bertemu’ dengan para profesional bidang perakaunan dan kewangan yang sesuai untuk mengisi pelbagai jawatan kosong dan peluang pekerjaan di firma-firma ini.
Peserta pameran ini boleh lawati bilik maya majikan, sertai ruang sembang, siaran web, webinar dan juga berkongsi maklumat lanjut dengan perekrut untuk peluang pekerjaan masa hadapan.
“Melalui ACCA Virtual Career Fair 2020 yang pertama dianjurkan di Malaysia, kami berharap untuk menyediakan peluang-peluang pertumbuhan, perkembangan dan peralihan kerjaya bagi komuniti perkaunan seraya memberi akses mudah buat organisasi kepada profesional perakaunan dan kewangan yang berkelayakan serta terlatih sekali gus dapat memberikan sumbangan penting terhadap pemulihan dan kejayaan syarikat,” kata Edward Ling, Ketua ACCA Malaysia dalam satu kenyataan kepada media.
“Ia merupakan salah satu cara yang penting untuk memberi sokongan kepada semua pihak berkepentingan pada masa yang mencabar dan tidak menentu sekarang.
"Lebih-lebih lagi, digitalisasi berterusan dalam ‘norma baharu’ menekankan betapa pentingnya bagi ACCA yang telah menyediakan bakat masa depan yang lebih bersedia iaitu generasi profesional perakaunan dan kewangan yang akan menggunakan teknologi sebagai mediummeningkatkan perkhidmatan perkembangan profesional mereka," tambah Edward dalam kenyataan tersebut.
ACCA Virtual Career Fair 2020 adalah sebahagian ACCA Careers yang merupakan laman pekerjaan proprietari ACCA yang dibangunkan untuk para profesional perakaunan dan kewangan di seluruh dunia.
Ia berfungsi sebagai satu sumber sehenti bagi organisasi-organisasi yang mencari bakat perakaunan yang dilengkapi dengan kecekapan teknikal, piawaian etika yang tinggi dan rangkaian kemahiran komprehensif, yang kini telah menjadi kriteria yang amat penting dalam pasaran kerja masa kini. - KitaReporters