RUMPUT di padang awam dan tempat beriadah di Danau Kota, Setapak, kering dengan daun berguguran akibat cuaca kering yang melanda sekarang.
DAUN-DAUN kering berguguran menutupi bumi. Rumput juga sudah bertukar warna daripada hijau kepada kuning kering, di samping tanah yang juga kering dan keras. Begitulah kesan cuaca panas di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, yang sudah tidak menerima curahan hujan untuk sekian lama.
Rumput di bahu jalan, padang permainan serta kawasan taman awam kering mati. Berbeza sekali dengan keadaan sebelum ini.
Sebelum panas melanda, hampir setiap hari hujan lebat. Curahan hujan menyejukkan suasana dan menyegarkan kehidupan pokok dan rumput rampai.
Lagi kisah-kisah menarik berkaita Danau Kota:
https://kitareporters.com/search?search=Danau+Kota
RUMPUT kering dan tanah gondol di padang permainan kanak-kanak Danau Kota.
Namun setelah berlalunya musim hujan dan panas mengambil alih, keadaan menjadi sebaliknya. Panas terik menggantikan suasana redup sejuk. Daun pokok kering dan gugur serta rumput mati menampakkan tanah yang kering gondol.
Bukan sahaja kepanasan terasa di luar, di dalam rumah pun terasa bahang, malah berpeluh. Kipas dan pendingin hawa pun ada kalanya tidak banyak membantu meredakan bahang di dalam rumah.
Keadaan sama juga dialami oleh taman di sekitar Danau Kota, seperti Taman Ibukota, Setapak Garden dan Setapak Indah.
Suasana panas ini dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Mac.
Fenomena ini sebenarnya bukan sahaja dirasai di Kuala Lumpur tetapi seluruh negara. Ia disebabkan oleh fenomena cuaca panas penghujung Monsun Timur Laut (MTL).
Memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.
Dalam tempoh ini, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutama di sebelah utara. Kerana itulah cuaca panas lebih dirasai di negeri-negeri utara Semenanjung.
Taburan hujan yang rendah dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan cuaca agak panas terutama pada waktu malam apabila terdapat litupan awan. Bagaimanapun Jabatan Meteorologi tidak menjangkakan panas luar biasa akan berlaku tahun ini.
RUMPUT di padang awam Danau Kota juga kering menampakkan tanah gersang.
Di Danau Kota, kerap kali nampak cuaca redup dan mendung yang dijangka menurunkan hujan. Namun mendung tidak membawa hujan. Jika ada pun hanya menitik sedikit untuk waktu yang pendek, tidak cukup untuk memberi kesegaran suasana atau menyiram pokok dan rumput yang layu.
Cuaca panas kini adalah fenomena biasa sepanjang Februari hingga April setiap tahun. Menurut MET Malaysia, sehingga kini suhu tertinggi bagi bulan Februari adalah lebih rendah berbanding tahun lalu.
Menurut rekod, suhu tertinggi bagi bulan Februari ialah 36.2 Celcius berbanding tahun lalu 37.4 Celcius, dicerap di Stesen Meteorologi Kuala Kangsar, Perak.
Cuaca panas yang dirasai di kebanyakan kawasan dalam negara waktu ini dijangka mula reda pada pertengahan April.
RUMPUT di bahu jalan juga mati akibat cuaca panas yang melanda Danau Kota, Setapak.
MET Malaysia akan sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara. Orang ramai pula dinasihat supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia.
Dalam keadaan cuaca panas juga orang ramai tidak digalakkan terlalu banyak membuat aktiviti luar kerana ia boleh menyebabkan keletihan dan berbahaya kepada kesihatan. Mereka juga digalakkan minum air secukupnya. Bagi penduduk Danau Kota sendiri sentiasa beringat dan tidak melakukan aktiviti luar yang tidak perlu.
Dalam cuaca panas ini orang ramai diingat tidak melakukan pembakaran terbuka kerana risiko berlaku kebakaran besar. Daun dan rumput kering memang mudah dimakan api dan boleh merebak dengan cepat membahayakan persekitaran.
Selain itu perlu menjimatkan air kerana cuaca panas menyebabkan bekalan air di empangan cepat berkurangan. Jika langkah penjimatan tidak dilakukan, risikonya ialah bekalan air terputus yang akan menyebabkan kesusahan kepada orang ramai sendiri. - KItaReporters
DAUN kering bertaburan, rumput kering mati dan tanah gondol di padang permainan kanak-kanak Danau Kota, Setapak.