Pencemaran dasar laut jarang dapat dikesan. Namun apabila ia terjadi dan manusia tidak mengambil inisiatif membersihkan kembali dasar laut, ia mungkin mengancam spesis dalam laut dan meracuni sumber makanan laut yang menjadi makanan manusia.
Pencemaran laut juga boleh menyebabkan ancaman pada kehidupan laut dan keharmonian serta kelestarian alam sekitar khususnya dasar laut.
Sehubungan itu, sejumlah 12.1 tan sampah dasar laut telah berjaya dikutip melalui program Jetama Underwater Cleanup 2024 yang julung kali diadakan pada 23 hingga 26 Mac 2024 yang lalu oleh Jetama Sdn Bhd (Jetama) iaitu sebuah anak syarikat kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Jetama juga adalah pemegang konsesi air untuk Pantai Barat Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Ahmad Naim Uddang, memberitahu program tersebut telah berjaya dilaksanakan di tiga lokasi berbeza, iaitu Pulau Mabul, Semporna; Pulau Sepanggar, Kota Kinabalu; dan Kampung Serusup, Tuaran .
Ini katanya adalah sebagai usaha mencapai sasaran plastik sifar sambil menjaga alam sekitar, terutama di dasar laut di mana 90 peratus daripada bahan buangan adalah plastik.
"Program ini diatur dengan tujuan memastikan arah haluan syarikat selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah kerangka Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Jetama dan selari dengan arah tuju Sabah Maju Jaya" katanya.
"Komitmen Jetama terhadap kelestarian alam sekitar bukan sekadar usaha pembersihan semata-mata, tetapi keterlibatan syarikat dalam program sebegini juga berkait rapat dengan inisiatif untuk menangani pencemaran plastik dan mempromosikan kelestarian melalui konsep kredit plastik," katanya lagi.
"Kebanyakan plastik akan mengalir ke laut, oleh itu matlamat awal kami adalah untuk mengumpul 10 tan plastik di dasar laut yang akan menjadikan sasaran plastic sifar kami.
"Tetapi hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah mencapai lebihan 2 tan bahan buangan plastik.
"Sebagai perbandingan, Jetama menghasilkan dan mengedarkan 25,000 karton air botol minum tahun lalu (2023) melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat yang bersamaan dengan 10 tan plastik yang dihasilkan pada tahun 2023," katanya.
Ahmad Naim turut menambah bahawa Jetama akan meneruskan program serupa dengan memastikan Sasaran Plastik Sifar dicapai setiap tahun, bersama dengan konsep Karbon Sifar Bersih Net dan Kredit Tenaga Boleh Diperbaharui. Ini selari dengan matlamat yang lebih luas dalam kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar.
Program empat hari tersebut melibatkan 60 penyelam, penduduk kampung, dan agensi kerajaan dan swasta termasuk media, Pejabat Daerah Semporna, Persatuan Pelancongan Semporna, Persatuan Master Selam Semporna, Mari-Mari Sepanggar dan pengendali selam tempatan. - KitaReporters