Alam & Sains 17 Jan, 2023

Siapa kata anggur tak boleh ditanam secara komersial di Malaysia? Ada tumbuh subur di Simpang Empat!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke [email protected]

Share this


SIAPA menyangka di sebuah pekan kecil bandar raya Alor Setar ini seorang lelaki mampu mengusahakan lebih 50 jenis spesies anggur dari seluruh dunia yang kini tumbuh subur dan merimbun.  

Mohd. Hisham Md Isa, 49, dari Simpang Empat, Alor Setar yang juga seorang pengusaha nurseri mula menanam pelbagai jenis anggur itu sejak hampir setahun itu untuk dimakan oleh keluarga serta kenalannya sahaja.

Beliau memberitahu, setakat ini lebih 100 kilogram anggur tersebut sudah dipetik untuk dijadikan hidangan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tanaman buah-buahan

ENAK… Mohd. Hisham Md. Isa memetik buah anggur yang diusaha di tapak semaian di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah.


Benih anggur berkenaan kata Mohd Hisham, dibeli dari Indonesia yang varietinya datang dari Amerika Syarikat, India dan Jepun.

“Mula-mula dua tiga jenis sahaja tetapi kini sudah ada lebih 50 jenis anggur. Saya tanam untuk suka-suka sahaja sekarang bukan untuk jual. Untuk keluarga dan saudara makan-makan. 

"Tengok mungkin masa ke depan saja akan komersialkan,” katanya ketika ditemui di premis tapak semaiannya.

Antara spesies anggur yang terdapat di situ ialah Red Globe, Casanova, Arra, Halloween, My Heart, Sunny Dolce, Red Romance, Angelica, Nina Queen dan Carnival.

Pohon anggur berkenaan bukan sahaja tumbuh subur malah buahnya sangat juicy dan enak sekali gus membuktikan iklim di negara ini juga sesuai untuk tanaman itu.

“Banyak yang menganggap Malaysia tak sesuai untuk tanam anggur tetapi sebenar itu salah kerana Indonesia dan Thailand misalannya sudah menjadi penanam anggur secara komersial.

“Malah negara Asia ini sesuai sangat untuk tanam anggur kerana cuaca panas sepanjang tahun tidak seperti di negara Barat yang ada musim sejuk,” katanya.



Bercerita lanjut tentang cabaran utama mengusahakan tanaman anggur itu, katanya, ia melibatkan faktor cuaca hujan dan serangga termasuk burung.

“Kalau hujan berterusan tak sesuai akan sebabkan buah jadi tawar sebab itu anggur perlu ditanam di rumah hijau. Selain itu kena balut buatnya supaya tidak dimakan burung atau serangga. Itu sahaja kena jaga, sebenarnya tak susah pun,” katanya.

Katanya, apa yang menarik tanaman itu akan berbuah sepanjang masa selagi pokoknya subur dan tidak mereput.

Mengusaha tanaman itu di tapak semaian Sharm Fertigasi, Simpang Empat, kata beliau, tanaman anggurnya itu seringkali menjadi perhatian pelanggan yang mengunjunginya.

“Banyak pelanggan yang datang ke sini seronok bila tengok pokok anggur ini macam-macam jenis dan bentuk malah yang tak ada dijual di kedai atau pasar raya pun. Ada yang nak minta beli tapi saya tak jual cuma sedekah sahaja,” katanya. - KitaReporters


Mohd Hisham Md Isa buktikan anggur mampu tumbuh subur di Simpang Empat Alor Setar Kedah
11
15
0
14
0
You will be interested