Alam & Sains 25 Sep, 2025

Pelik dan misteri! Gempa bumi Segamat dikaitkan dengan meriam Tok Mengkudu! Terdengar dentuman kuat!

Share this

Setiap kali bunyi dentuman kuat yang mengejutkan dan mencetuskan tanda tanya penduduk terutama kawasan perkampungan sekitar Segamat, ia pasti dikaitkan dengan petanda banjir besar akan melanda daerah itu.


Asiah M. Isa serta suaminya Abdul Jalil Osman menyimpan meriam Tok Mengkudu di kediaman mereka di Kampung Mengkudu, Segamat


Gegaran gempa bumi lemah yang menggegarkan Segamat baru-baru ini rancak menjadi bualan penduduk setempat didapati mengembali kisah mitos bunyi meriam Tok Mengkudu yang masih kekal misteri sehingga kini.

Bunyi kuat akibat gempa seolah-olah tembakan meriam itu turut menjadi spekulasi dan pelbagai pandangan daripada warga maya antaranya mendakwa petanda banjir besar akan terjadi di Segamat dan ia pasti tular setiap kali ketibaan musim tengkujuh.

Bagi seorang penduduk di Segamat, Asiah M. Isa, 72, dia mengakui ada penyimpan sebuah meriam Tok Mengkudu, di mana dia dan penduduk akan terdengar dentuman kuat beberapa das daripada meriam Tok Mengkudu tersebut yang diwarisinya beberapa generasi sejak ratusan tahun lalu.

"Pada tahun 2006, bunyi dentuman meriam yang berturutan itu jelas terdengar kerana meriam Tok Mengkudu itu saya diletakkan di bahagian dapur rumah.

"Ada yang mendakwa bunyi dentuman datang dari kuari tetapi sudah pasti bukan letupan dari kuari kerana kedudukan kuari itu jauh dari sini.

"Cuaca baik ketika itu dan sukar juga mengaitkannya dengan bunyi guruh atau petir mahupun kilat sewaktu hujan.

"Meriam misteri Tok Mengkudu yang dikaitkan dengan kisah bunyi letupan ini yang saya letakkan menghala tingkap dapur dan dikatakan akan berbunyi dentuman dengan sendirinya sebelum banjir melanda.

"Apabila saya lihat meriam itu dia sudah berhenti berbunyi tetapi langsir tingkap saya yang ada kesan terbakar selepas itu menguatkan lagi bukti yang meriam itu baru lepas diletupkan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Mengkudu.


Meriam Tok Mengkudu


Tambah Asiah, sehingga ke hari ini ia kekal misteri siapa yang meletupkan meriam tersebut dan bagaimana ia diletupkan juga masih kekal tinggal tanda tanya.

"Kisah misteri meriam Tok Mengkudu ini diceritakan sejak turun-temurun. Orang lama atau warga emas di Segamat tentunya sudah biasa mendengar kisah mitos bunyi letupan meriam misteri Tok Mengkudu ini.

"Sekiranya terdengar bunyi dentuman meriam itu, mereka bersiap sedia kerana ia petanda banjir bakal melanda dan kebetulan ia berlaku pada 2006 dan beberapa siri bah besar yang lain.

"Meriam Tok Mengkudu ini tidak akan saya dijual walaupun pernah ditawarkan dengan harga yang tinggi dan jika saya meninggal dunia, saya mahu waris saya menjaganya dengan baik," kongsi.

Suami Asiah, Abdul Jalil Osman, 75, pula berkata, sebelum ini ada rakan mereka yang meminjam meriam Tok Mengkudu ini dan dibawa pulang ke rumahnya namun sesuatu yang aneh berlaku kepada rakannya itu.

"Rakan saya mengalami mimpi didatangi suara yang dipercayai dari arah meriam Tok Mengkudu meminta supaya dibawa pulang meriam itu ke rumah kami semula.

"Meriam Tok Mengkudu ini diwarisi ratusan tahun sejak datuk saya dan kami kerap membersihkan meriam ini bagi mengelakkan meriam berkarat dan dimamah usia.

"Saya tidak akan memberi kebenaran mana-mana pihak yang ingin melakukan upacara ritual menggunakan meriam Tok Mengkudu ini yang boleh menimbulkan khurafat. Kejadian misteri meriam Tok Mengkudu itu dengan izin Allah Yang Maha Esa. Hanya Allah yang mengetahuinya," katanya lagi.


Meriam Tok Mengkudu sepanjang kira-kira 1.3 meter dan seberat kira-kira 20 kilogram itu diletakkan di ruang dapur rumah mereka bagi mengelakkan dicuri atau disalah guna oleh pihak tertentu.


Sementara itu salah seorang penduduk Kampung Mengkudu, Mohamad Md, Tahir, 56, berkata, tidak mungkin bunyi letupan itu daripada aktiviti meletup batu kerana ia hanya dibenarkan dilakukan pada waktu siang sahaja.

"Saya kerap mendengar bunyi dentuman kuat dipercayai dari arah meriam Tok Mengkudu ini dengan jelas kerana bunyinya berhampiran rumah Kak Asiah ini tiap kali hendak berlaku bah besar.

"Saya dan penduduk Segamat turut mengetahui kisah bunyi letupan meriam Tok Mengkudu petanda awal banjir dan sudah lali berdasarkan cerita mulut ke mulut oleh generasi waris keluarga terdahulu.

"Misteri pasti wujud di alam ini jadi kita hanya boleh berandaian dan jika tidak boleh diterima oleh mengikut akal fikiran, sudah pasti ini adalah ketentuan kepada Allah," ujarnya.

Terdahulu pada 24 Ogos 2025, warga Segamat digemparkan dengan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 skala Richter buat pertama kalinya bersama dentuman kuat dan disusuli dengan enam lagi gegaran susulan dalam tempoh satu minggu.

Kisah meriam Tok Mengkudu kembali menjadi bualan penduduk setempat dengan mengaitkan dentuman kuat tersebut datangnya daripada meriam Tok Mengkudu yang menjadi petanda banjir besar akan berlaku di daerah ini seperti sebelumnya. - KitaReporters

13
17
0
11
0
You will be interested