Siapa sangka amalan menyimpan air hujan yang dilakukan di rumah-rumah sebelum ini diteruskan untuk menjimatkan kos utiliti bagi sesebuah organisasi seperti yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Segamat (MPS) ini.

Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH)
Inisiatif mendapatkan bekalan air menerusi sistem penyimpanan air hujan sebagai sumber air alternatif ini membantu Majlis Perbandaran Segamat (MPS) menjimatkan kos pembayaran utiliti air.
Menurut Yang Dipertua (YDP) MPS, Mohd Helmi Dato Sha'ri @ Shangari, peratusan jumlah kos pembayaran bulanan utiliti air mampu dijimatkan dengan mengamalkan sistem penyimpanan air hujan.
"Air hujan yang dikumpul dalam bekas khas boleh digunakan semula bukan untuk minum tetapi untuk kegunaan domestik seperti mencuci lantai, siram pokok hiasan, mencuci tandas, bekas sampah dan lain-lain keperluan.
"Sejumlah air hujan yang tersimpan dan jika ia diaplikasi secara baik memberi manfaat besar ketika bekalan air terputus dan pihak MPS telah mengaplikasikan cara itu antaranya di tandas awam seliaan MPS sejak sekian lama.
"Amalan menggunakan tadahan air hujan ini turut dapat membantu menangani krisis air, sekali gus mewujudkan kaedah penjimatan air lebih baik dan membantu menjimatkan duit pembayar cukai untuk pembangunan lainnya serta tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber air terawat," katanya kepada KitaReporters ketika ditemui di tandas awam Dataran Segamat.

Menurut Mohd Helmi, peratusan air digunakan untuk siram tanaman, cucian lantai tandas dan sebagainya tidak perlu menggunakan air terawat.
"Walaupun MPS terpaksa mengeluarkan kos RM1,000 membeli bekas-bekas simpanan air hujan, saluran air tadahan air hujan dan kepala paip air tambahan, namun dari sudut jangka panjang menjimat kos utiliti.
"Oleh itu, pada masa yang sama, amalan MPS dapat mengurangkan permintaan air terawat kepada pihak pengendali air terawat," kongsinya.
Cara penyimpanan air hujan (tidak terawat) sudah diamalkan di banyak negara serata dunia berikutan kesedaran penjimatan penggunaan air terawat berkenaan. - KitaReporters
