Alam & Sains 03 Aug, 2022

Penduduk kecut perut! Ada 9 lagi kolam takungan di Gunung Inas, Kupang! Ada tanda-tanda nak pecah!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this



SETIAP kali cuaca berubah menjadi mendung, penduduk Kampung Iboi di Baling, Kedah kecut perut

Mereka sudah mengalami trauma, ketakutan selepas banjir kilat pada 4 Julai 2022 kerana bimbang baki sembilan (9) kolam buatan manusia yang setiap satunya, sebesar padang bola di Gunung Inas itu pula 'pecah'.

Kolam buatan manusia itu dibina untuk menyiram anak-anak pokok durian Musang King yang diusahakan oleh sebuah syarikat yang dikatakan ada jalinan dengan kerajaan negeri Kedah. 

Mereka dilaporkan meratakan bukit bukau untuk ditanam dengan benih Musang King dan sekali gus membina 10 kolam buatan manusia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kampung Iboi, Kupang


Salah satu kolam buatan manusia. Saiznya sebesar padang bola.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Persekutuan Kampong Iboi, Abu Hassan Samah, berkata banjir kilat yang melanda pada awal Julai 2022 lalu itu membabitkan satu kolam sahaja yang pecah

"Cuba bayangkan jika sembilan lagi kolam yang ada itu pecah serentak

"Hasil siasatan kami, sudah ada tanda tanah di kawasan pembinaan kolam itu retak dan bimbang jika ke depan hari, ditakdirkan berlaku lagi banjir itu membabitkan semua kolam itu pecah. Seluruh kampung kami akan tenggelam bersama kampung-kampung di sekitar Iboi ini," katanya. 

Kampung berkenaan diteroka sejak 100 tahun lalu dengan sebahagian besar penduduknya terbabit dalam pertanian, membuat sawah padi dan menoreh getah. Malah selepas pembukaan ladang durian berkenaan bekalan air kepada penduduk kampung turut terjejas.


Tanah jadi retak 


Abu Hassan berkata demikian ketika menerima kunjungan rombongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bantu Rakyat (BARA) Malaysia bagi Negeri Kedah yang dipengerusikan oleh Mejar (B) Rusli Mohd Romli dan BARA Selangor yang diketuai Rohaya Mohd Noor.

Mereka menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada mangsa banjir, manakala sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Noora Yusoff dan orang perseorangan turut memberi sumbangan. 

BARA turut menyumbangkan bantuan di dua kawasan lain dalam program Jelajah Asnaf di Kuala Muda Kedah. 

Turut sama menyumbangkan bantuan ialah Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf) diketuai Murniati Usman dan Kelab Ushawan Muslim Profesional yang disampaikan oleh Juita Hanapiah (Jue Abu).


Abu Hassan menerima sumbangan daripada Murniati Usman. Kanan sekali berbaju biru, Mejar (B) Rusli.


Pembukaan tanah di Gunung Inas yang setinggi 1,875 meter yang membabitkan 33,000 hektar dan setakat ini hanya 500 hektar saja gunung berkenaan ditereskan untuk dijadikan ladang terbesar di dunia.

"Usaha sama pembukaan ladang itu diluluskan ketika kerajaan Pas memerintah Kedah dan kemudian diteruskan oleh kerajaan selepas itu. Penduduk kampung sudah membuat bantahan sejak 2015 lagi tetapi tentangan kami tidak dipedulikan sehinggalkan kejadian banjir yang pertama kali pada 4 Julai 2022," katanya.

Katanya penduduk kampung ada juga diberi hak milik dalam ladang berkenaan dengan ladang rakyat yang ditanam dengan pokok getah. Dan kerajaan terdahulu membuat anggapan dengan membuka ladang durian itu bagi menggantikan pokok balak yang ditebang.

Abu Hassan berkata penduduk kampung itu sudah mengemukakan cadangan supaya ladang durian itu dilaksanakan mengikut pelan seperti Felda kerana pembukaan tanah itu dibuat menguntungkan kedua-dua pihak. Malangnya suara mereka diketepikan dan akhirnya tragedi korban banjir Gunung Inas itu kini menjadi trauma yang berpanjangan.


Terima kasih daripada penduduk kampung Iboi, Baling.


Sementara itu, Mejar (B) Rusli memberitahu pihaknya akan membuat kajian terperinci untuk mengumpul maklumat mengenai bilangan penduduk, pekerjaan dan kerugian untuk membolehkan tuntutan pampasan dikemukakan kepada pihak berkuasa.

"Ramai penduduk hilang rumah, harta, nyawa dan mereka tinggal sehelai sepinggang dan ada yang terpaksa berpindah ke tempat lain kerana rumah dan tanah sudah lenyap ditenggelami banjir," katanya. - KitaReporters


Selepas kejadian banjir. Sisa bongkah batu bukit dan kayu balak yang tertinggal.

12
5
0
18
0
You will be interested