Alam & Sains 05 Sep, 2024

Penjagaan kesuburan yang mesra wanita, patuhi syarak! Pusat Fertiliti Sophea lancar klinik keduanya!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Melissa Lee (kanan), Dr Salleha Khalid (tengah) dan Nicola Grigg merasmikan klinik Sophea Bangi.


Pusat Kesuburan Sophea (Sophea), jenama di bawah naungan Sunfert International, melancarkan pusat keduanya di Malaysia yang terletak di Bangi, Selangor. 

Menerusi pembukaan pusat kesuburan ini, Sophea meneruskan misinya dalam menerajui penjagaan kesuburan secara inklusif dengan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesuburan yang mesra wanita dan mematuhi hukum syarak. 

Majlis pelancaran berkenaan telah dihadiri delegasi peringkat tinggi dari New Zealand, termasuk Melissa Lee, Menteri Pembangunan Ekonomi dan Masyarakat Etnik serta Menteri Bersekutu bagi Perbadanan Pampasan Kemalangan (ACC), dan Nicola Grigg, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Wanita serta Menteri Bersekutu Pertanian. 

Delegasi berkenaan berada di negara ini sempena kunjungan rasmi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon ke Malaysia.

Lawatan delegasi New Zealand tersebut ke Sophea menyerlahkan pendekatan inovatif pusat berkenaan dalam penjagaan kesuburan yang menyepadukan kepakaran daripada Fertility Associates, iaitu penyedia perkhidmatan kesuburan terkemuka di New Zealand. 

Sophea menjadi penanda aras teknologi perubatan moden yang mampu disesuaikan untuk memenuhi keperluan masyarakat berbilang kaum. 

Pendekatan ini sejajar dengan fokus New Zealand pada penjagaan yang memberi keutamaan kepada pesakit, dan menteri berkenaan menzahirkan minat yang mendalam terhadap model pusat itu yang  mampu menyuntik inspirasi untuk melakukan inisiatif serupa.

"Kami berbesar hati menerima kehadiran delegasi New Zealand di sini bagi menyertai majlis pelancaran Pusat Kesuburan Sophea. 

"Sophea melambangkan komitmen kami untuk menyediakan penjagaan kesuburan yang menghormati dan menyokong nilai-nilai budaya dan agama pesakit kami. 

"Sejak pelancarannya, kami telah merawat hampir 200 pesakit IVF, yang telah menghasilkan hampir 100 kehamilan. Tahniah kepada pasukan atas permulaan yang begitu cemerlang. 

"Kerjasama antara Fertility Associates dan Sunfert membolehkan kami membawakan teknologi kesuburan terkini, dan kami berharap untuk terus melakukan penambahbaikan dari segi penjagaan pesakit," kata Alex Price, Ketua Eksekutif Fertility Associates.



Sophea menyediakan rangkaian rawatan kesuburan terkini, termasuk persenyawaan in-vitro (IVF), ujian genetik dan penilaian kesuburan menyeluruh, kesemuanya disampaikan menerusi rangka kerja yang menghormati nilai-nilai Islam. 

Keunikan pusat berkenaan terletak pada pendekatannya yang memberi keutamaan kepada pesakit, menawarkan pelan rawatan peribadi yang menangani keperluan perubatan serta aspek emosi, budaya dan agama dalam penjagaan kesuburan. 

Sophea turut menyediakan perkhidmatannya kepada pasangan bukan Islam yang memilih untuk mendapatkan rawatan daripada pasukan klinikal yang terdiri daripada wanita dalam suasana peribadi yang selesa dan saling menghormati. 

Melissa Lee berkata: “Fertility Associates merupakan sebuah syarikat inovatif New Zealand yang berjaya mengeksport teknologinya yang termaju bagi menyokong perkhidmatan kesihatan di Malaysia.”

Pada 2021, Fertility Associates meluaskan operasinya ke Asia Tenggara dengan memperoleh pegangan majoriti dalam Sunfert International Fertility Centre. 

Langkah strategik ini yang mendapat sokongan daripada konsortium termasuk New Zealand Super Fund, Pioneer Capital, dan Comprador Holdings, merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan yang lebih luas. 

Pemerolehan berkenaan membolehkan Fertility Associates memperkenal teknologi kesuburan terkini di Malaysia, yang meningkatkan kualiti penjagaan secara ketara di kemudahan milik Sunfert termasuk Sophea.

Nicola Grigg pula berkata: “Teknologi kesuburan telah membantu untuk melahirkan jutaan manusia di serata dunia dan ia ternyata menggembirakan untuk menyaksikan akses kepada teknologi berkenaan kian berkembang di Malaysia.

"Terima kasih kepada usaha komited daripada syarikat penjagaan kesihatan terkemuka dari New Zealand seperti Fertility Associates.”

Sesi dialog turut diadakan berkaitan usaha Fertility Associates untuk menyesuaikan dan menyetempatkan pendekatannya menerusi tiga jenama dan segmen yang berbeza, kejayaan mengatasi halangan pasaran dan menangani sensitiviti budaya. 

Ini diikuti dengan lawatan ke pusat tersebut yang diketuai Dr Salleha Khalid, Pakar Fertiliti di Sophea Bangi yang mengetengahkan kemudahan terkini, termasuk makmal canggih, bilik perundingan peribadi dan suite rawatan lanjutan.

Dr Salleha berkata, “Kami berhasrat untuk memupuk persekitaran yang mesra wanita, inklusif dan berlandaskan Islam yang mengutamakan perkhidmatan yang selesa dan berkualiti tinggi serta teknologi kesuburan terkini untuk hasil kesuburan yang lebih baik.” - KitaReporters/Kenyataan Media

6
6
0
9
0
You will be interested