Lindungi hutan kita dan pastikan alam sekitar terpelihara. Ini kerana hutan merupakan khazanah negara yang jika tidak dijaga boleh mendatangkan bencana kepada manusia.
Justeru itu, satu program Penanaman Pokok Bakau bersama Menteri Besar Perak atau Perak Mangrove Tree Action (Permata) anjuran Dewan Belia Perak dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Perak dan Pejabat Hutan Daerah Larut Matang dan Selama telah diadakan di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang di Kuala Sepetang dekat Taiping baru-baru ini.
Pengarah
program itu, Suri Hanani Omar berkata, program ini telah disertai 200 orang pelajar sekolah,
intitusi pendidikan tinggi dan belia.
Beliau berkata, antara pelajar sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang, SMK Matang, SMK Tengku Menteri dan SMK Dr Burhanudin serta Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping.
“Kita akan menanam anak pokok bakau minyak dan membuat semaian biji benih anak pokok tersebut. Tujuan program ini mahu menyedarkan pelajar betapa pentingnya menjaga hutan paya bakau, selain mendedahkan mereka dengan aktiviti kesukarelawan,” katanya.
Suri Hanani
berkata, pihaknya mendapati pelajar-pelajar tersebut berminat dengan aktiviti ini dan ia
sekali gus dapat mendidik mereka untuk menjaga alam sekitar.
Menurut
beliau, kerap kali kita mendengar berlakunya bencana kerana pengabaian terhadap
alam sekitar.
“Generasi muda perlu ditanamkan dengan aktiviti yang berfaedah kepada kepentingan menjaga hutan dan alam sekitar,” katanya.
Pada program
ini pelajar terbabit juga dibawa memasuki hutan bakau bagi melihat pelbagai
khazanah yang bernilai tinggi di hutan paya bakau ini di samping mendedahkan mereka
dengan ilmu mengenai hutan dan pelbagai hidupan di dalamnya.
Pusat Eko
Pelajaran Hutan Paya Laut Matang ditubuhkan pada tahun 1992 dan diuruskan oleh
Jabatan Perhutanan Negeri Perak .
Ia merupakan hutan paya laut dengan keluasan 40,000 hektar telah diiktiraf sebagai antara hutan yang terbaik di dunia dengan usianya 150 juta tahun.
Keunikan
habitat dan ekosistem, kepelbagaian bio membuatkan hutan paya laut
Matang terkenal sebagai kawasan ekopelancongan ddi samping sebagai pusat kajian dan
pendidikannya.
Selain itu, kawasan hutan ini juga menjadi tempat berkembangnya industri pembuatan arang yang terbaik. - KitaReporters