Alam & Sains 02 Oct, 2021

Kawan skeptikal, cabaran PKP! Pengusaha ikan laga tak patah semangat! Tekad kembang perniagaan!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Shahrizat Ahmad sedang memberi ikan laga peliharaannya makanan.


Antara ikan laga yang dihasilkan oleh Shahrizat.


SEORANG pengusaha perniagaan ikan laga di Felda Tenang, Labis, Johor boleh menarik nafas lega kerana usahanya memulakan perniagaan ikan laga sejak dua tahun lalu semakin berkembang ketika ini.

Shahrizat Ahmad, 30, berkata, dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran ketika mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan ini berikutan tidak mempunyai pengetahuan cara-cara membiak dan memelihara ikan laga.

"Ramai dalam kalangan rakan saya yang kurang yakin dan tidak kurang juga bersikap sinis apabila saya meluahkan hasrat untuk memulakan perniagaan ikan laga ketika itu, namun semua itu tidak mematahkan semangat saya, malah membuat saya lebih kuat berusaha untuk menjadikannya satu kenyataan.

"Dalam masa sama saya berusaha keras menimba ilmu berkaitan ikan laga ini dari pelbagai sumber termasuk secara dalam talian serta melalui pengusaha-pengusaha lain yang terdapat di seluruh negara," katanya ketika ditemui.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ikan

Shahrizat sentiasa memastikan ikan laga peliharaannya berada dalam keadaan terbaik sebelum dijual kepada pelanggannya.



Menurutnya, dia mula berminat dengan ikan laga yang disifatkannya sebagai unik dan 'comel' selepas dihadiahkan sepasang ikan laga oleh abangnya lebih dua tahun lalu dan mendapat idea untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan.

Katanya, melalui galakan serta bantuan abangnya yang juga seorang guru, dia tidak menoleh ke belakang lagi dan membulatkan tekad untuk menjadikan usaha tersebut sebagai kerjaya sepenuh masa.

Ujarnya lagi, pasaran ikan laga sebagai ikan hiasan di negara ini begitu luas kerana ikan laga menpunyai peminatnya tersendiri dan harganya yang boleh dianggap murah membuatkan bilangan mereka yang 'mengilai' ikan laga semakin bertambah dari semasa ke semasa.


Selain mendapatkan bekalan ikan laga dari Thailand, Shahrizat turut membiakkan sendiri ikan laga untuk dibekalkan kepada pelanggan.


"Ikan laga merupakan spesis ikan yang lasak dan tidak memerlukan penjagaan rapi, sebaliknya mereka yang berminat untuk memelihara ikan laga hanya perlu memastikan selalu menukar air serta memberinya makan mengikut kadar serta waktu yang sesuai.

"Walaupun terdapat puluhan mungkin ratus spesis ikan laga, namun asas penjagaannya tidak banyak berbeza, yang penting ada minat,"  katanya yang turut mengakui perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sedikit sebanyak turut merencatkan perancangannya untuk mengembangkan perniagaan tersebut.


Antara stok ikan laga Shahrizat yang sedia untuk dihantar kepada pelanggannya.


Katanya, bermodalkan wang simpanan berjumlah RM5,000 dia perlahan-lahan mengorak langkah mempelajari selok-belok pemasaran serta pembiakan ikan laga dan kini usahanya membuahkan hasil apabila mampu memasarkan ratusan ikan laga sebulan dengan harga bermula RM10 seekor bergantung kepada kualiti.

Menurutnya, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada peniaga ikan laga seluruh negara yang menjadi rakannya melalui laman sosial dan selalunya mereka akan membeli ikan laganya secara pukal.

Dia yang yang lebih menumpukan usaha membiakkan selain mendapatkan bekalan ikan laga spesis 'halfmoon' dari Thailand pernah ditawarkan harga RM250 untuk seekor ikan laga oleh peminat ikan laga pada tahun 2020.


Selain bentuk yang unik, warna yang menarik merupakan salah satu ciri yang menentukan nilai seekor ikan laga.


"Selepas agak kurang aktif beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan larangan merentas negeri dan sempadan, saya bercadang untuk mengiatkan lagi usaha memasarkan ikan-ikan yang saya biakkan ini sebaik kebenaran merentas sempadan dibenarkan nanti.

"Buat ketika ini saya menguruskan semua kerja secara bersendirian dan bercadang akan mencari pembantu sekiranya kerajaan membuka semakin banyak sektor ekonomi nanti," katanya.

Peminat ikan laga yang ingin berkongsi minat dengan Shahrizat boleh berhubung dengannya melalui laman sosial Facebook Falten Betta Concept. - KitaReporters


Sebahagian ikan laga yang dihasilkan oleh Shahrizat.




10
17
0
12
0
You will be interested