Alam & Sains 15 Jun, 2023

Kumpulkan alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai, tamat tempoh! Kempen #GiveBack GSK Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


GSK Malaysia mengambil peranan penting dalam pelupusan sisa perubatan yang bertanggungjawab menerusi fasa kedua kempen #GiveBack di seluruh negara, yang dilancarkan sempena Hari Alam Sekitar Sedunia. 

Kempen ini merupakan usaha Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di seluruh Malaysia untuk mengumpul alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai, tamat tempoh atau tidak diingini untuk pelupusan yang teratur dan selamat.

Ia menampilkan perkongsian diperbesar yang meluaskan jangkauannya dan meningkatkan bilangan pusat pengumpulan untuk memudahkan penglibatan ramai.

Dr Jonathan Pan, Naib Presiden & Pengurus Besar GSK Malaysia & Brunei berkata: “Sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap kemampanan global, GSK memberi sepenuh perhatian bagi mencapai impak sifar bersih ke atas iklim dan impak positif bersih ke atas alam sekitar menjelang 2030. 

"Kempen #GiveBack kami menyokong matlamat-matlamat tersebut dengan menawarkan kaedah mudah bagi orang ramai di Malaysia melupuskan alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai secara bertanggungjawab dan sekali gus mengurangkan kesan negatif terhadap bumi. 

"Pada bulan Jun tahun lepas, kami memulakan fasa perintis bersama rakan kempen pertama Big Pharmacy dan sekarang dengan pertambahan rakan-rakan farmasi dan kumpulan penjagaan kesihatan, kami teruja dengan perluasan program ini dan mengharapkan penglibatan rakyat Malaysia dalam #GiveBack.” 



Pada peringkat global, sistem penjagaan kesihatan menyumbang kira-kira 5.9 juta tan sisa pepejal kepada tapak pelupusan sampah dan lebih 4% pelepasan karbon. 

Antaranya ialah alat sedut pelega asma, yang sering dibuang sebelum ia kosong sepenuhnya. 

Penyedut seumpamanya mengandungi bahan dorong yang merupakan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global. 

Setiap satu penyedut berkenaan berpotensi melepaskan gas rumah hijau yang boleh memenuhi 300 belon, dan apabila digabungkan dengan mana-mana sisa perubatan, boleh menyebabkan kebakaran atau menyusup ke dalam alam sekitar. 

Maka itu, pelupusan teratur bahan sisa yang tidak diingini ini adalah sangat penting. Lagi pun, pembungkusan pek ubat terpakai lazimnya digunakan di dalam penyimpanan ubat menyumbang kepada sisa tapak pelupusan sampah, dan ubat yang tidak dihabiskan di dalam pek tersebut mendatangkan bahaya larut lesap ke dalam tanah atau saluran air. 

Profesor Amrahi Buang, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) berkata: “Kempen #GiveBack GSK ini sejajar dengan kempen ‘Memulangkan Ubat’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, dan kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk menyokong usaha ini dengan membawa alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai ke mana-mana pusat pengumpulan untuk dilupuskan dengan teratur. 

"Dalam bidang kerja kami, kami perlu mengimbangi keperluan menyediakan ubat yang dibungkus dengan selamat sambil mengakui kesannya terhadap alam sekitar dan melakukan apa yang kami mampu untuk mengurangkan jejak karbon kami."

Sebagai kaedah menarik penglibatan lebih ramai rakyat Malaysia kepada kempen ini, GSK telah menugaskan pemasangan seni kreatif menggunakan sisa pek ubat dan alat sedut pelega asma yang dibuang. 

Hasil seni tersebut, yang direka oleh pelajar dari The Design School di Taylor's University, menyerlahkan kepentingan pelupusan sisa perubatan yang teratur dan kesannya terhadap alam sekitar sambil turut memberi peluang kepada generasi akan datang untuk terlibat dalam advokasi alam sekitar. 

Hasil seni berkenaan akan dipamerkan semasa jerayawara GSK #GiveBack menggunakan lori paparan di lokasi trafik tinggi di seluruh Lembah Klang, bagi menyemarakkan kesedaran dan meningkatkan minat terhadap kelestarian alam sekitar.

Kempen #GiveBack akan terus menerima alat sedut pelega asma dan pek ubat terpakai di mana-mana tong pembuangan GSK #GiveBack yang terletak di farmasi dan hospital/klinik rakan kongsi di seluruh negara. 

Orang ramai juga boleh membuang sisa perubatan mereka semasa jerayawara Roving Truck dari 17-26 Jun 2023. 

Untuk maklumat lanjut tentang kempen ini, sila lawat farmasi/hospital berdekatan anda atau log masuk ke Instagram The Design School @ Taylor's University (www.instagram.com/taylorsdesignschool). 

Marilah berganding tangan menyokong kempen ini dan menyumbang kepada masa hadapan yang mampan. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
13
0
10
0
You will be interested