PENSYARAH dari Universiti Sains Malaysia (USM) menempa nama di luar negara apabila terpilih menerima anugerah Dr. Peter G. Lindner Award dari Persatuan Perubatan Obesiti (Obesity Medicine Association atau OMA) Amerika Syarikat.
Dr. Teoh Soo Huat merupakan seorang pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Pemilihan ini adalah sesuatu yang amat membanggakan bagi USM kerana OMA adalah persatuan terbesar dan dianggotai mereka yang pakar dalam bidang obesiti termasuk jururawat dan pembantu perubatan dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan awam yang terkesan dengan obesiti.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus USM
Dr. Teoh Soo Huat
Lebih membanggakan, Dr. Teoh adalah wakil tunggal dari luar Amerika Syarikat yang menerima anugerah tersebut dan ini adalah mengiktiraf sumbangan dalam bidang perubatan obesiti.
"Anugerah akan menjadi motivasi untuk saya terus memainkan peranan dalam bidang obesiti di Malaysia. Saya berharap dapat membangunkan bidang ini melalui khidmat klinikal yang berkualiti dan melatih doktor-doktor yang berminat.
"Ini adalah penghargaan saya kepada negara dan USM atas sokongan yang diberikan untuk saya ceburi bidang ini," katanya lagi.
IPPT berazam untuk membantu lebih ramai mereka yang terlibat dalam obesiti di Malaysia melalui rawatan berdasarkan bukti (evidence-based treatments).
"Kami menawarkan perkhidmatan rawatan kepada pesakit-pesakit obesiti seperti panduan gaya hidup sihat, nasihat perubahan tingkah laku, ubatan anti-obesiti dan perbincangan pembedahan bariatrik.
“Data pesakit-pesakit yang diperoleh juga dapat merangsang kerja-kerja penyelidikan untuk penambahbaikan rawatan-rawatan dan taraf perkhidmatan dalam bidang ini seiring dengan fungsi universiti sebagai menara ilmu," tambah Dr Teoh. - KitaReporters