Bunga tecoma juga dipanggil takoma adalah mirip dengan bunga sakura. - Kredit foto: teacher_Kelvin/Steve Tan
Musim bunga 'sakura' kembali lagi! Anda tidak perlu lagi pergi ke Jepun, Korea Selatan atau China semata-mata untuk melihat sendiri keindahan musim bunga (sakura) itu bermula. Setiap tahun, ketika musim panas dan kering bermula antara Februari hingga April, beberapa kawasan di Malaysia akan bertukar wajah apabila bunga tecoma mula berbunga mekar dan menggugurkan kelopak bunga yang cantik.
Pulau Pinang dan Kedah (Alor Setar) antara negeri yang terkenal dengan musim bunga tecoma sehingga menarik perhatian orang ramai berkunjung ke kedua-dua negeri ini. Namun begitu, pokok tersebut semakin banyak ditanam oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tempat-tempat lain negeri masing-masing,
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bunga-bungaan
Musim panas antara Februari hingga April setiap tahun adalah merupakan musim 'Sakura Malaysia' seperti mana terdapatnya di Jepun. - Kredit foto: teacher_Kelvin/Steve Tan
Pokok tecoma atau nama sainstifiknya 'tabebuia pentaphylla' kelihatan sangat mirip dengan pokok sakura dan ia berasal dari Amerika Tengah dan Selatan.
Pokoknya agak besar sehingga mencapai ketinggian empat meter dan kini menjadi pokok hiasan landskap di kebanyakan bandar-bandar besar seperti Putrajaya dan ibu kota Kuala Lumpur kerana menjadi tarikan pelancongan yang menarik.
Pada 2021, terdapat 10,030 pokok tecoma telah ditanam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Daripada jumlah itu, 1,173 pokok ini berada di pinggir-pinggir jalan sekitar bandaraya ini.
Di Pulau Pinang misalnya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil inisiatif untuk menanam kira-kira 3,047 pokok Tabebuia spp (tecoma) di beberapa kawasan seperti Tanjung Tokong, Jalan Sultan Ahmad Shah, Batu Ferringhi, Bayan Lepas dan Balik Pulau.
Bandar raya Georgetown kini semakin indah dengan penanaman pokok tecoma. - Kredit foto: teacher_Kelvin / Steve Tan
Pokok ini biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk membesar sehingga mengeluarkan bunga pertamanya untuk kembang dan mekar. Kebanyakan pokok tecoma mempunyai bunga berwarna putih,ungu dan merah jambu. Namun terdapat juga warna lain seperti kuning, merah, magenta dan lavender.
Proses untuk berbunga akan berlangsung selama satu bulan dan ia akan mekar selama satu hingga dua minggu. Penduduk tempatan (Pulau Pinang) memanggil pokok ini sebagai 'pokok tisu'.
Dipercayai terdapat lebih 100 spesies dan variasi seperti pentaphylla (ungu), rosie (ungu), impetiginosa (ungu), roseo alba (putih), chrysantha (kuning) dan lain-lain.
Di samping mengeluarkan bunga yang cantik, pokok tecoma juga amat sesuai dijadikan pokok peneduh di sepanjang jalan-jalan raya. - Kredit foto: teacher_Kelvin/Steve Tan
Salah satu kebaikan menanam pokok 'cherry blossom of Penang' ini adalah ia umpama seperti 'canopy' atau sebagai pokok teduhan; dan dipercayai boleh menurunkan suhu panas di bandar-bandar negara kita.
Selain negeri di sebelah utara, kita juga boleh melihat pokok bunga ‘Sakura Malaysia’ ini di Lembah Klang, terutama di Jalan Sentul menghala ke Batu Caves dan susur keluar Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) ke Gombak, Kuantan, Melaka, Terengganu dan Johor. - KitaReporters
Pokok bunga tecoma kini semakin mendapat perhatian oleh setiap PBT negeri dalam mencantikkan landskap kawasan masing-masing. - Kredit foto: - teacher_Kelvin/Steve Tan
Sumber:
Foto Kredit: teacher_kelvin / steve_tan_0531
https://www.facebook.com/penangkini/photos/pcb.3541321596105300/3541321466105313
https://www.hmetro.com.my/santai/2021/04/690111/indahnya-musim-sakura
https://www.mstar.com.my/travel/destinasi/2021/03/28/tak-payah-ke-luar-negara-malaysia-pun-ada-musim-
https://akuanakpahang.blogspot.com/2014/04/info-bunga-sakura-malaysia-tekoma-tacoma.html