
Anita Yusof ketika berada di Damoy point, Antartika. - Kredit photo: FB Anita Yusof
Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, yang merupakan pengembara solo wanita negara, Anita Yusof, 57, mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menjejakkan kaki ke Antartika dalam misi jelajah dunia Global Dream Ride 2.
Anita yang memulakan ekspedisi solo bermotosikal
mengelilingi dunia, berada di benua paling selatan itu selama 17 hari, bermula
15 Januari hingga 31 Januari 2025.
Anak bongsu daripada tiga beradik kelahiran Batu Pahat,
Johor itu, berkata perjalanan ke sana bukanlah sesuatu yang mudah, malah beliau
terpaksa mengharungi cabaran getir ketika merentasi Drake Passage, salah satu
laluan laut paling berbahaya di dunia.
Dalam perkongsian dalam media sosialnya, Anita menceritakan
pengalaman menempuh laut bergelora ketika menaiki kapal layar sepanjang 50 meter
menuju ke Antartika.
“Berbeza dengan kapal persiaran besar yang lebih stabil, perjalanan menggunakan kapal layar memberi kesan besar terhadap keadaannya, terutama ketika perairan itu bergelora,” katanya.
Ketika dalam perjalanan, kapal beliau terperangkap dalam siklon, ia sangat menakutkan apabila kapal terhuyung-hayang tanpa belas kasihan.
Pinggan mangkuk di dapur kapal itu yang sudah dipasang kemas pun berterbangan dan dia mengalami mabuk laut yang teruk sehingga membawa kepada tekanan perasaan.

Menurutnya, pengembaraan itu mengambil masa lima setengah hari, dengan 75 peratus daripadanya berada dalam keadaan laut bergelora, menjadikannya antara cabaran paling sukar sepanjang misi Global Dream Ride 2.
Beliau turut berkongsi bahawa keadaan fizikal dan mentalnya
benar-benar teruji sepanjang perjalanan itu, tetapi tekadnya untuk
menyempurnakan misi lebih kuat daripada kesulitan yang dihadapi.
“Namun, segala kesulitan itu terubat dengan keindahan luar
biasa Antartika yang digambarkan sebagai tempat paling indah pernah
dijejakinya.
“Saya sudah menjelajah ke seluruh dunia dua kali, tetapi tiada apa yang dapat menandingi kecantikan Antartika, ia begitu magis, terutama apabila cuaca baik keadaan suasana terlalu cantik,” katanya lagi.
Anita turut menekankan kepentingan menjaga kelestarian benua putih itu dengan menghormati hidupan liar seperti penguin, burung laut dan singa laut.
Katanya, pelancong tidak dibenarkan menyentuh haiwan atau membawa pulang sebarang objek, termasuk batu sebagai cenderamata.
Selain keindahan landskapnya yang luar biasa, beliau turut berkongsi pengalamannya melihat fenomena semula jadi yang menakjubkan, termasuk gunung ais raksasa yang berubah warna mengikut pencahayaan matahari, serta keheningan luar biasa di persekitaran jauh dari peradaban manusia.
Menurutnya, di Antartika tiada pencemaran bunyi, tiada manusia yang menetap secara kekal, ia benar-benar tempat yang membuatkan dia berasa begitu kecil di hadapan kebesaran alam.

Anita bersama motosikal yang digunakan untuk mengembara ke Antartika.
Tambahnya, ekspedisi itu bukan sekadar untuk memenuhi impian peribadi, tetapi juga bagi membuktikan bahawa wanita mampu menakluk dunia dengan keberanian dan tekad yang tinggi.
Beliau berharap pengalamannya itu dapat menjadi inspirasi
kepada golongan wanita dan rakyat Malaysia secara keseluruhan supaya tidak
takut mengejar impian, walaupun kelihatan mustahil.
Anita Yusof, yang sebelum ini diiktiraf sebagai Duta Global GIVI, terkenal dengan keberaniannya mengembara ke pelbagai pelosok dunia secara solo.
Misi Global Dream Ride 2 merupakan pengembaraan dunia kali kedua, dengan matlamat bukan sahaja menjelajah tetapi turut berkongsi pengalaman dan inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau turut berhasrat untuk menulis buku mengenai pengalamannya di Antartika serta menganjurkan sesi perkongsian bagi memberi gambaran lebih mendalam mengenai cabaran dan keindahan benua putih itu.
“Perjalanan ini mengubah perspektif saya mengenai kehidupan dan alam, saya ingin berkongsi pengalaman itu dengan masyarakat supaya mereka lebih menghargai dunia yang kita diami,” ujarnya.

Kredit foto: FB Anita Yusof
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Anita sebagai alumni UPSI yang berjaya mencipta sejarah tersendiri dalam dunia pengembaraan solo.
“Pencapaian Anita ini bukan sahaja membanggakan UPSI sebagai
institusi akademik yang melahirkan individu berkaliber, tetapi juga menjadi
inspirasi kepada pelajar dan graduan universiti ini.
“UPSI sentiasa menyokong alumni yang membawa nama baik
universiti ke peringkat antarabangsa dan berharap kejayaan Anita akan menjadi
pendorong kepada lebih ramai graduan untuk meneroka peluang di luar kebiasaan.
“Kejayaan ini selaras dengan semangat universiti dalam melahirkan individu yang berani meneroka, berdaya saing dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat serta dunia, kami berharap kejayaan Anita akan membuka mata lebih ramai anak muda untuk berani mengejar impian mereka,” ujarnya. - KitaReporters

Anita bergambar sambil memegang bendera UPSI ketika berada di pangkalan González Videla, Antartika.