Keselamatan kanak-kanak dan wanita dalam alam siber menjadi fokus utama apabila Malaysia sedang mempertimbangkan had usia 16 tahun untuk pendaftaran akaun media sosial, bagi memastikan penglibatan belia dalam teknologi digital tidak menjejaskan keselamatan mereka.

Dr. Hajar El Haddaoui, Ketua Pengarah Digital Cooperation Organisation (DCO), Dr. Hajar El Haddaoui berkata isu keselamatan siber bukan sekadar soal “akses atau sekatan”, tetapi bagaimana perlindungan kandungan dan tadbir urus digital dapat menjamin kesejahteraan kanak-kanak dan wanita dalam talian.
Beliau menjelaskan bahawa salah satu usaha utama ialah Online Content Integrity Initiative (Inisiatif Integriti Kandungan Dalam Talian atau OCII), yang mengumpulkan pembuat dasar, belia, dan CEO platform media sosial seperti Snapchat dan TikTok.
Inisiatif ini bertujuan memastikan kandungan digital selamat dan berintegriti, sambil memberikan akses sewajarnya kepada teknologi baharu.
“Langkah Malaysia selaras dengan pendekatan ASEAN dan standard global seperti GDPR atau General Data Protection Regulation di mana 83 polisi serantau menekankan perlindungan kandungan dalam talian bagi belia dan gadis.
“Ini menunjukkan komitmen untuk membina persekitaran digital yang selamat, inklusif, dan bertanggungjawab bagi golongan muda dan wanita,” katanya kepada media pada Persidangan Momentum 2025 di Riyadh, pada 11 Disember 2025.

Dr Hajar El Haddaoui
Momentum 2025 adalah persidangan antarabangsa, yang menumpukan kepada hala tuju pembiayaan pembangunan, dianjurkan oleh National Development Fund (NDF) dan berlangsung pada 9-11 Disember 2025.
Dr. Hajar menegaskan bahawa selain kawal selia nasional, pelaksanaan dasar digital yang harmoni antara negara adalah penting untuk memastikan kanak-kanak dan wanita tidak terpinggir dalam transformasi digital, ini membolehkan mereka terlibat secara selamat sambil membangunkan bakat baharu dalam teknologi secara lebih bertanggungjawab.
Beliau menambah bahawa pendekatan bersepadu melibatkan belia sendiri amat penting kerana mereka adalah pengguna utama platform digital.
Dengan menggalakkan penglibatan belia dalam merangka polisi dan membangunkan kandungan berintegriti, negara dapat memastikan teknologi dimanfaatkan secara selamat dan kreatif.

Selain itu, Dr. Hajar menekankan bahawa kerjasama serantau melalui ASEAN membolehkan perkongsian amalan terbaik, latihan dan standard keselamatan digital yang seragam.
Ini bagi memastikan setiap negara, termasuk Malaysia, dapat memanfaatkan pengalaman serantau untuk melindungi golongan terpinggir seperti kanak-kanak perempuan dan belia daripada risiko siber.
Kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, syarikat teknologi, ibu bapa, dan masyarakat tampil dengan membina ekosistem digital yang selamat, inklusif, dan bertanggungjawab, yang bukan sahaja melindungi kanak-kanak dan wanita, tetapi juga memupuk bakat baharu dalam ekonomi digital pada masa hadapan. - KitaReporters/Kenyataan Media