Alam & Sains 19 Sep, 2021

Larangan rentas negeri, nikah patuhi SOP! Pernikahan Noor Syawatul, Izzuddin guna Google Meet!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Mohd Noor Izzuddin Mohamed Nawi (kanan) mendengar penerangan sebelum akad nikah dilangsungkan.


BAGI memberi peluang kepada saudara-mara melihat majlis pernikahan anak sulung, seorang kakitangan kerajaan di Kota Bharu, Kelantan mengambil inisiatif menyiarkan majlis bersejarah itu menerusi pautan Google Meet berikutan pandemik Covid-19 pada 16 September 2021 lalu.

Sudahlah majlis itu terpaksa dilangsungkan dalam situasi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), manakala ramai saudara-mara khususnya keluarga adik-beradik pula tidak mendapat keizinan oleh pihak berkuasa untuk rentas negeri.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis akad nikah

Noor Syawatul Fitri Abdul Wahab dan Mohd Noor Izzuddin bersanding secara ringkas mematuhi SOP pandemik Covid-19 yang disaksikan oleh saudara-mara terdekat menerusi pautan Google Meet pada 16 September 2021 lalu. 


Norhayati Mohd Noor, berkata walaupun berasa agak terkilan dengan keadaan itu apabila mereka semua tidak hadir, manakala tetamu dihadkan kepada keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja, dia meminta adik iparnya untuk mewujudkan pautan Google Meet untuk majlis berkenaan.

Menurutnya, beliau sekeluarga akur dengan arahan pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan semua bagi menyekat penularan Covid-19 dan berasa terubat kesedihan apabila ahli keluarga dapat menyaksikan majlis itu menggunakan komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya.

Majlis pernikahan itu membabitkan anak sulung Norhayati, Noor Syawatul Fitri Abdul Wahab dan pasangannya Mohd Noor Izzuddin Mohamed Nawi. Pasangan itu bertugas sebagai guru di Perak.


Norhayati (kiri) terpaksa meminta bantuan adik iparnya, Nor Azian untuk mewujudkan pautan Google Meet bagi membolehkan saudara-mara yang tidak dapat rentas negeri menyaksikan pernikahan anak sulungnya.


“Jika sebelum itu dia sekeluarga boleh ke Kuala Lumpur dan sebagainya bagi memenuhi jemputan majlis pernikahan anak saudara tetapi kali ini ipar-duai dan adik-beradik tidak dapat hadir untuk memeriahkan majlis anak sulung saya.

Dengan pautan Google Meet itu mereka dapat menyaksikan majlis akad nikah, bersanding secara ringkas, upacara sarung cincin, edaran juadah secara pandu lalu dan sebagainya walaupun tidak semeriah jika diadakan secara bersemuka,” katanya.

Beberapa saudara mara dan ipar-duai Norhayati yang dihubungi turut berasa terkilan apabila tidak dapat menghadiri majlis pernikahan itu, bagaimanapun mereka terpaksa akur dengan ketegasan pihak berkuasa yang mempertimbangkan jika membabit kes kecemasan seperti kematian saudara terdekat khusus ibu bapa.


Norfakhrini Abdul Razab (kiri) bersama-sama bapa dan ibunya menyaksikan pernikahan Noor Syawatul Fitri menerusi pautan Google Meet dengan telefon bimbit di rumahnya.


Anak saudara Norhayati yang menetap di Kuala Terengganu, Norfakhrini Abdul Razab, berkata jika sebelum itu keluarga ibu saudaranya berkenaan dapat hadir pada majlis pernikahan dia beberapa tahun lalu tetapi kerana Covid-19 beliau tidak dapat membalas jemputan majlis pernikahan sepupunya.

“Saya bersama-sama ayah dan emak hanya dapat melihat majlis pernikahan Noor Syawatul Fitri bersama pasangannya menerusi pautan Google Meet selepas diuar-uarkan menerusi WhatsApp keluarga oleh emak saudara yang mewujudkan pautan berkenaan,” katanya.


Noraini Ismail (berkaca mata) melihat pernikahan Noor Syawatul Fitri dan Mohd Noor Izzuddin bersama-sama cucu dan menantu menerusi pautan Google Meet.


Kakak ipar Norhayati yang menetap di Cheras, Selangor, Noraini Ismail, pula berkata dia bersama menantu dan cucu menyaksikan majlis pernikahan itu menerusi telefon bimbit dan berasa sedih kerana tidak mendapat kebenaran untuk rentas negeri.

Menurutnya, pada kebiasaan majlis seperti itu amat meriah apabila semua adik-beradik dapat berkumpul untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara selain berpeluang bergotong-royong melakukan pelbagai persiapan terutama memasak lauk-pauk.


Nik Roslaini Nik Mohamed ditemani suami serta anak kembar beliau Aina dan Aini melihat majlis pernikahan anak saudara itu menerusi pautan Google Meet.


Bagi ibu saudara Noor Syawatul Fitri, Nik Roslaini Nik Mohamed yang menetap di Kuala Terengganu, berkata walaupun jarak ke Kota Bharu hanya 163 kilometer, namun terpaksa akur dengan larangan rentas negeri tanpa alasan munasabah.

“Saya seperti ahli keluarga yang lain hanya mampu melihat majlis pernikahan itu melalui pautan Google Meet menerusi telefon bimbit dan berasa sebak apabila tidak dapat bersemuka dengan keluarga Noor Syawatul Fitri,” katanya. - KitaReporters

42
16
2
4
0
You will be interested