Alam & Sains 17 May, 2021

PKP: Elak tertumpu di kedai besar! Mak Long Mart mudahkan pelanggan dapatkan barangan keperluan

@rahanamd
Bekas Wartawan Utusan Malaysia yang pernah bertugas di Majalah Wanita dan akhbar di Ibu Pejabat Jalan Chan Sow Lin dan biro Kelantan.

Share this

Bangunan pasar mini Mak Long Mart mudah dikunjungi dan mempunyai ruang parkir yang luas untuk membeli belah barangan keperluan harian dan keperluan dapur.


ARAHAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19 mendatangkan kesulitan kepada orang ramai untuk mendapatkan bekalan makanan. Selain daripada beratur panjang di pasar raya, hanya ketua keluarga yang dibenarkan keluar dan sukar pula mendapatkan barangan yang dihajati.

Enggan menjadikan masalah berpanjangan, situasi tersebut mencetuskan idea kepada Datin Hasnah Abd Samad, 47, untuk membuka sebuah kedai runcit atau pasar mini yang sebelumnya tertangguh beberapa kali.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasar raya

Hasnah Abd Samad di hadapan Mak Long Mart yang terletak di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.


“Saya berpendapat musim PKP ini adalah masa yang tepat untuk membuka Mak Long Mart, nama pasar mini yang saya usahakan di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.

Orang ramai boleh elak berpusu-pusu dan bertumpu untuk memperoleh bekalan makanan dari pasar raya besar atau kedai runcit utama yang berada di kawasan sekitar.

“Selain itu, penjarakan sosial juga mudah dipatuhi bagi mencapai matlamat memutuskan rantaian virus Covid 19,” ujarnya ketika di temui baru-baru ini.

Mak Long Mart menjual aneka barangan keperluan harian termasuk beras, tepung, gula, minyak, keperluan barangan basah antaranya daging, ikan, ayam, udang, sotong, sayur-sayuran yang kesemuanya segar dan dijual secara terbuka di hadapan bangunan kedai setiap hujung minggu. 

Selain iu terdapat juga makanan kering, minuman dan pelbagai makanan sejuk beku.

“Di sini pelbagai barangan terjual di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai membeli belah tanpa beralih ke kedai lain. Di sini juga terjual  bahan masakan untuk memudahkan kerja-kerja di dapur seperti cili, bawang merah dan putih , halia dan kunyit yang telah dikisar, rempah ratus, ikan bilis dan keperluan perencah dan perisa atas nama Mak Long.

“Sempena musim raya, kami juga mendapatkan bekalan kerepek, biskut dan kek daripada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS)  untuk meletakkan produk mereka di sini. Kami amalkan konsep berkongsi niaga,” ujarnya.


Halia, bawang merah dan putih, kunyit dan cili kisar sejuk beku antara yang terjual di pasar mini Mak Long Mart.


Mak Long Mart yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam dipilih sempena nama gelaran sebelah suaminya, Datuk Mohd Shahrul Nizam Mustapa, yang juga tulang belakang kepada perniagaan yang diusahakan.

“Anak-anak saudara suami memanggilnya dengan gelaran Pak Long dan saya Mak Long, lagi pun nama tersebut sangat akrab dalam kalangan komuniti kita.

“Nama Mak Long itu juga mewakili pemiliknya adalah wanita yang lazim lebih memilih melibatkan diri dalam perniagaan butik pakaian, kecantikan atau perhiasan diri.

“Saya mahu buktikan wanita juga boleh berjaya di sebuah pasar mini yang menjual barangan basah dan keperluan dapur yang dianggap oleh sesetengah pihak remeh dan renyah,” katanya.



Justeru katanya, sebagai pemilik Mak Long Mart beliau enggan menyerahkan 100 peratus kerja-kerja di pasar mini itu kepada pekerjanya semata-mata.

Lebih-lebih lagi beliau pernah mengalami kerugian lebih RM7,000 pada awal pembukaan akibat kesilapan percaturan. Peristiwa tu menyebabkan beliau tidak mahu sekadar memantau hanya di sebalik bilik kaca.

Katanya, ia berlaku kerana wakil pihaknya belum mahir mengendalikan tempahan sayur menyebabkan setiap satu jenis dihantar sebanyak 30 kilogram.

“Bayangkan lagi beberapa hari pembukaan, berlaku lambakan sayur aneka jenis, ada sawi, bayam, kangkung dan macam-macam jenis sayuran lagi dihantar pembekal yang penuh empat kenderaan pacuan empat roda.

“Saya berusaha tidak panik walaupun dalam hati mengelabah mahu diapakan sayuran yang banyak itu, kebetulan suami ditahan di wad jadi saya berusaha berahsia untuk menjaga kesihatannya,” ujarnya.


Hasnah melayan salah seorang pelanggan yang membeli barangan dapur di pasar mini miliknya.


Hasnah yang berasal dari Kapar, Klang menyambung dia berusaha melupakan peristiwa tersebut kerana hanya mahukan yang terbaik sahaja sebagai rekod namun mengakui agak terkilan kerana perniagaannya masih hijau.

Enggan berlama-lama melayan perasaan, beliau bangkit dan menjadikan peristiwa tersebut sebagai pendorong  untuk turut padang.

"Saya sendiri mencari pembekal barangan basah, buat pengiraan kos jual beli, perjanjian penghantaran dan juga memastikan bekalan barangan diganti tepat pada masanya.

“Bila bermula dari bawah saya mula mengenali hati budi pembekal dan juga pekerja. Siapa yang ikhlas bersama kita memajukan perniagaan dan sebaliknya. Pengalaman yang ditempa bersama mereka itu walaupun baru beberapa bulan tetapi impaknya sangat kuat terhadap kekuatan dalaman saya,” katanya.



Disoal apakah dia berpuas hati dengan perniagaan yang bermodalkan hampir RM600,000 tersebut, katanya beliau sangat optimis malah bercadang membuka cawangan lain.

“Saya merancang setiap tahun satu cawangan dan tahun hadapan akan dibuka di bangunan sendiri di Kapar. Selepas tiga tahun saya berhasrat untuk memberi peluang perniagaan francais.

“Walaupun memakan masa untuk mengecap keuntungan saya berpuas hati kerana perniagaan berasaskan makanan lebih mudah diurus sebab dalam apa juga situasi pelanggan tetap datang,” katanya yang pernah bekerja di DRB Hicom selama 19 tahun sebelum berhenti pada 2016.



Anak kelima daripada tujuh adik-beradik ini yang kehilangan bapa semasa berusia 12 tahun mengaku ketentuan takdir itu banyak membentuk dirinya hari ini. Sejak kecil dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan, kutip pucuk paku atau kangkung untuk dijadikan lauk dan pernah beras hanya dijadikan bubur untuk dicatu.

“Makan nasi sambal belacan atau merasa daging hanya pada raya korban sahaja menimbulkan keinsafan untuk berkongsi. Sebab itu saya wujudkan infak barangan kering (food bank) di hadapan kedai untuk sesiapa sahaja yang berhajat. Ambillah yang diperlukan kerana saya sangat memahami erti kesusahan. 

"Jika stok yang syarikat bekalkan habis, saya gantikan modal daripada poket sendiri dan balasannya, mohon doakan saya terus maju jaya,” katanya.

Menggunakan slogan Mak Long Mart - Semua Orang Boleh Beli turut menyediakan penghantaran ke rumah melalui Mak Long On Wheels menerusi talian 017 7206110. - KitaReporters


Menyasarkan sebuah cawangan setiap tahun dan memberi tempoh masa tiga tahun untuk menjadikan Mak Long Mart sebagai  perniagaan francais - Datin Hasnah.

0
5
0
0
1
You will be interested