Alam & Sains 29 Jul, 2020

Bomba dah bersiap siaga! Ops penyelamatan di dalam terowong

@nik naizi husin (allahyarham)
Former photographer and reporter with The Star newspaper.

Share this

INSIDEN orang awam yang mungkin melibatkan pelancong atau petugas, terperangkap dalam gua atau dalam terowong perlombongan adalah jarang sekali terjadi. Kalau ada pun, kejadian seperti itu adalah dalam bangunan runtuh atau tumbang seperti insiden Highland Tower di Bukit Antarabangsa, Ampang, Kuala Lumpur, atau dalam kejadian tanah runtuh. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan bomba;

https://kitareporters.com/search?search=bomba


Di negeri Pahang belum pernah ada laporan yang melibatkan kejadian akibat terperangkap dalam terowong walaupun ada sebuah tapak bekas lombong bijih timah di pekan kecil Sungai Lembing dalam daerah Kuantan. 

Aktiviti perlombangan bijih timah bawah tanah ini merupakan tapak perlombongan yang termasyhur di suatu ketika dulu dalam tahun 1800-an

Pada 1986, aktiviti itu dihentikan disebabkan harga bijih yang merudum teruk.

Bahkan penutupan aktiviti perlombangan itu menyebabkan pekan kecil Sungai Lembing menjadi sepi, tetapi masih menerima kunjung para pelancong luar terutama dengan adanya inisiatif kerajaan yang menjadikan beberapa kawasan bekas atau tinggalan terowong lombong yang telah dibaik pulih untuk tujuan tarikan pelancongan.

Penguasa Kanan Bomba, Ismail Abdul Ghani  


Kerana pembukaan semula terowong ini untuk kegunaan aktiviti pelancongan, pihak pasukan bomba Pahang  baru-baru ini telah mengadakan siri latihan menyelamat di dalam terowong sebagai persiapan sepanjang masa untuk misi menyelamat dalam sebarang kemungkinan berlakunya insiden.

Setidak-tidaknya mereka memandang jauh akan kebarangkalian berlakunya insiden yang akan membabitkan para pelancong di dalam terowong tinggalan itu.

"Ia juga sebagai persiapan kami untuk sebarang kemungkinan berlakunya tragedi yang tidak diingini bukan sahaja untuk masyarakat di Pahang, bahkan sebagai pasukan penyelamat bantuan untuk insiden-insiden di luar Pahang atau di luar negara," demikian apa yang dikatakan oleh Penguasa Kanan Bomba, Ismail Abdul Ghani selaku Komandan Zon Pantai Timur bagi Pasukan Taktikal, Operasi dan Penyelamatan Khas Malaysia (Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia) atau STORM.


Pasukan STORM ini baru-baru ini telah memperkenalkan siri latihan baharu khusus untuk operasi menyelamat dalam gua dan terowong serta insiden tanah runtuh di bekas lombong bijih di Sungai Lembing.

Seramai 80 anggota bomba dan penyelamat Pahang telah berkemah di kawasan terowong itu untuk selama empat hari untuk didedahkan dalam aspek-aspek menyelamat seperti kajian risiko, teknik menyelamat mangsa dalam runtuhan terowong, mengeluarkan mangsa yang terperangkap di kawasan atau dalam lubang yang sempit dan mengenal pasti masalah dihadapi ketika sesi latihan.

"Secara asasnya teknik penyelamatan ini adalah sama tetapi apabila berada dalam gua ini pertama kali dan yang pentingnya juga adalah, kita dilatih untuk mengelak dari tersesat laluan dalam gua atau terowong yang gelap ini.

"Kita perlu mengenal dan cam lorong yang kita lalui dan akan lalui dan kemungkinan lain adalah elemen kemerbahayaan yang kita tidak jangka seperti adanya binatang buas di dalamnya atau berlakunya keruntuhan tambahan semasa operasi," kata Ismail

  


Beliau berkata, latihan penyelamatan dalam terowong ini adalah kali pertama dilakukan dan Sungai Lembing dipilih sebagai lokasi latihan kerana ia adalah tinggalan aktiviti perlombangan bijih timah yang terbiar sebelum ini.

"Kerana ia sudah lama terbiar, sudah pasti ada pelbagai kekurangan termasuk strukturnya yang tidak teguh, kayu-kayu yang menjadi bingkai pintu keluar masuk mungkin sudah reput dan sebagainya," Ismail berkata.

"Sesuatu kejadian seperti runtuhan terowong atau gua bukanlah dapat kita jangka. 

"Apatah lagi kalau ada orang awam yang terperangkap walaupun sudah ada ciri-ciri keselamatan yang ditelah diusahakan oleh pengendali terowong ini untuk pelancongan.  

"Kita harus bersiap siaga untuk kes-kes menyelamat dalam kejadian seperti itu, terutama di kawasan bekas lombong di Sungai Lembing ini yang telah menjadi tempat kunjungan pelancong berikutan pembukaan sebahagian kecil terowong tinggalan itu sebagai produk pelancongan," tambahnya.

Ismail berkata walaupun segala aspek ciri-ciri keselamatan di dalam terowong ini telah disediakan oleh pihak kerajaan atau pengendali produk ini, namun setiap kemungkinan kemalangan perlu disusuli dengan kesiapsiagaan dalam usaha menyelamat.


Selama empat hari, seramai 80 anggota STORM ini telah bertungkus lumus menjayakan siri latihan ini. 

Lombong bijih timah di Sungai Lembing ini merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang terbesar dan terdalam di dunia pada masa itu, dengan mempunyai terowong sekitar 322 kilometer dan kedalaman 610 meter hingga 700 meter di bawah tanah.

Operasi perlombangan yang dimulakan dalam tahun 1886 oleh Pahang Consolidated Company Limited telah terpaksa ditutup operasinya pada tahun 1986 berikutan harga biji timah yang merudum teruk hingga menyebabkan syarikat ini mengalami masalah kewangan yang besar.

Penutupan operasi ini menyebabkan terowong-terowongnya terbiar dan pihak kerajaan berusaha menjadikan sebahagian kecil laluan terowong itu sebagai produk pelancongan dan ciri-ciri keselamatan untuk para pengunjung senantiasa diutamakan. - KitaReporters

4
0
0
0
0
You will be interested