Kredit foto: FB Noor Hisham Abdullah
APABILA virus maut Covid-19 mula menyerang negara kita sehingga mencetus pandemik, warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi antara pekerja paling sibuk 24 jam sehari.
Keadaan sedikit tenang ketika kita sama-sama berjaya melandaikan graf kes Covid-19 ketika gelombang kedua tahun lalu, iaitu selepas Mei 2020.
Pun begitu, pada September 2020 kes kembali meningkat sehingga mencipta gelombang ketiga yang makin mengganas sehingga ke hari ini.
Lagi cerita-cerita berkaitan kematian
Kredit foto: FB Noor Hisham Abdullah
Antara medium yang digunakan oleh KKM untuk memberi kesedaran, amaran dan maklumat berkaitan virus maut Covid-19 adalah melalui laman Facebook mereka.
Setiap hari, jutaan warganet Malaysia sentiasa menanti-nanti setiap perkembangan dan maklumat terkini dari KKM, terutama pengumuman mengenai angka kes harian.
Maka tidak terkejutlah apabila setiap status yang dimuat naik oleh laman facebook KKM mendapat komen dan maklum balas sehingga jutaan akaun Facebook dari warganet.
Yang pasti, setiap status facebook KKM yang dimuat naik pasti mempunyai makna tersirat bagi mendidik dan memberitahu akan bahaya virus maut Covid-19 khususnya.
Kredit foto: Facebook KKM
Sebagai contoh pada awal pagi 30 Mei 2021, laman Facebook berkenaan telah memuat naik status berkaitan jumlah kes yang dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi atau ICU di hospital-hospital Covid-19 seluruh negara.
"Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke ICU termasuk yang disahkan (confirmed), dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan (suspected and probable) telah mencecah hampir 1,200 kes, jumlah yang tertinggi sejak pandemik ini bermula tahun lepas (2020).
"KKM telah menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik ini. Terkini, dalam tempoh tiga minggu bulan Mei 2021 sebanyak 439 katil tambahan telah dapat disediakan. Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 (confirmed / suspected / probable) buat masa ini telah mencapai 1,114 katil," tulis Facebook KKM tersebut.
Perkembangan ini menyebabkan para pesakit biasa yang bukan Covid-19 mungkin tidak mampu diberi rawatan yang terbaik di hospital, akibat daripada kekurangan katil di wad.
"Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis. Keadaan ini sememangnya amat menggusarkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit-pesakit bukan COVID-19. Walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit COVID-19 telah ditambah, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100%. Ini menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa. Dengan pertambahan kes baru harian yang telah mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat," menurut Facebook KKM lagi.
Empat jam selepas status mengenai katil di wad ICU ini, KKM telah memuat naik status berkaitan kes kematian akibat virus berkenaan.
Tanpa boleh berselindung lagi, jumlah kematian yang dicatatkan akibat virus Covid-19 di negara kita telah meningkat kira-kira empat kali ganda pada tahun kedua (2021), berbanding tahun pertama (2020) kita berhadapan dengannya.
Kredit foto: Facebook KKM
"COVID-19 Sebanyak 471 kematian berlaku pada 2020 manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.
"Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei 2021 sahaja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan COVID-19 telah direkodkan," tulis kenyataan tersebut.
Secara tersiratnya, kita boleh katakan bahawa KKM sendiri sedang khuatir dengan trend kes harian Covid-19 di negara kita ini.
Sekiranya tiada langkah drastik seperti 'total lockdown' dan mengurangkan perkumpulan ramai orang di sesuatu tempat, Malaysia mungkin akan menerima nasib yang sama seperti di India.
Kita mungkin tidak nampak keseriusan senario kesan diserang virus ini, namun warga kerja KKM yang menjadi barisan hadapan kesihatan seperti doktor, jururawat dan pemandu ambulans akan nampak situasi sebenar betapa seriusnya kes Covid-19 di Malaysia.
Semoga kita sama-sama dapat memastikan 'total lockdown' yang akan bermula pada 1 Jun 2021 ini akan membuahkan hasil sehingga kita mampu mencapai sifar kes suatu hari nanti. Ayuh, kita mesti menang! - KitaReporters