Alam & Sains 13 May, 2022

Elak gangguan bekalan air berulang! Ranhill SAJ Segamat diminta sediakan pelan tindakan kecemasan!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

ADUN Bekok, Tan Chong (dua dari kiri) dab ADUN Tenang, Haslinda Salleh (kiri) mendengar penerangan pihak pengurusan Ranhill SAJ Segamat ketika meninjau projek naik taraf serta operasi LRA Ayer Panas C.

PIHAK Ranhill SAJ daerah Segamat diminta menyediakan pelan tindakan kecemasan bagi mengelakkan gangguan bekalan di beberapa kawasan di sekitar Labis pada musim perayaan daripada berulang pada masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong berkata, antara pelan tindakan kecemasan yang perlu diberi penekanan termasuklah menjalin kerjasama dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar menempatkan 'set generator' untuk beberapa hari di Rumah Pam Sungai Juaseh serta LRA Ayer Panas A dan C menjelang musim perayaan bagi memastikan tiada gangguan operasi sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Haslinda Salleh (kiri) dan Tan Chong ( dua dari kiri) diberi penerangan mengenai kemajuan kerja-kerja pembinaan tangki air baharu di Labis oleh pihak pengurusan Ranhill SAJ Segamat.
"Salah satu punca berlaku gangguan bekalan air ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini adalah disebabkan  gangguan bekalan elektrik selama tiga jam di LRA Ayer Panas A yang menyebabkan operasi LRA tersebut terganggu.
"Selain itu Ranhill SAJ juga perlu meningkatkan pengeluaran di kedua-dua loji rawatan air (LRA) Ayer Panas A dan C pada tahap maksimum bagi menampung peningkatan pengunaan ketika musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja naik taraf kemudahan sistem bekalan air di Labis pada 11 Mei 2022. 

Beliau bersama ADUN Tenang, Haslinda Salleh yang turut disertai Ketua Agensi Ranhill SAJ Segamat, Mohd. Salahuddin A. Rahman meninjau kerja-kerja menaik taraf LRA Ayer Panas C dan kemajuan pembinaan tangki air baharu di Labis yang dijangka siap pada Januari 2023 depan.


Tangki air baharu yang dalam pembinaan berkapasiti 4.5 juta liter air bersih yang dijangka siap Januari 2023.

Selain itu, sebagai usaha mengatasi isu berkenaan, kedua-dua ADUN tesebut turut mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Ranhill SAJ Segamat bagi mencari jalan penyelesaian isu gangguan bekalan air di Labis pada 10 Mei 2022.
Dalam masa sama Tan Chong turut menasihatkan agar pengguna yang mengalami masalah bekalan air sama ada terputus bekalan mahu pun tekanan air yang rendah termasuk ketika luar musim perayaan agar melaporkan masalah tersebut kepada pusat khidmat pelanggan Ranhill SAJ menerusi talian bebas tol 1800-88-7474 yang beroperasi 24 jam selama tujuh hari seminggu bagi membolehkan aduan mereka direkodkan di dalam sistem data serta diteliti bagi tujuan perancangan perlaksanaan penambahbaikan .
Menurutnya, dia dimaklumkan oleh pihak Ranhill SAJ ketika ini tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung masalah yang dihadapi pengguna di dalam sistem data mereka berikutan kurangnya aduan secara rasmi daripada pengguna kepada pusat khidmat aduan sekali gus menyebabkan pihak Ranhill SAJ tidak dapat mengenal pasti masalah sebenar untuk membuat perancangan yang lebih efektif bagi menangani masalah tersebut.

Pegawai operasi LRA Ayer Panas C menerangkan operasi LRA tersebut kepada Haslinda Salleh (kiri) dan Tan Chong (dua dari kiri) yang melakukan tnjauan ke LRA tersebut. 
"Selain itu salah satu perkara yang saya bangkitkan semasa perbincangan dengan pengurusan Ranhill SAJ Segamat pada 10  Mei 2022 adalah berkaitan notis pemberitahuan gangguan bekalan air yang perlu diedarkan oleh Ranhill SAJ di kawasan terbabit lebih awal agar pengguna boleh membuat persiapan awal.
"Saya mendapat aduan daripada pengguna di beberapa taman perumahan termasuk Taman Wawasan serta kawasan berhampiran yang kerap mengalami masalah terputus bekalan selepas pukul 12 tengah malam tanpa sebarang notis yang menyebabkan kebanyakan peniaga di kawasan terbabit mengalami masalah untuk membersihkan kedai mereka selepas waktu perniagaan," katanya.
Tan Chong berkata, perkara tersebut diakui Ranhill SAJ yang terpaksa menutup bekalan buat sementara waktu ke kawasan tersebut bagi tujuan meningkatkan paras air di tangki bekalan untuk mengelakkan berlaku ganguan bekalan pada waktu puncak.

Tan Chong ( tiga dari kiri) dan Haslinda Salleh (dua dari kiri) berpuas hati dengan operasi serta kemajuan projek menaik taraf LRA Ayer Panas C.
Dalam pada itu, dia turut melahirkan rasa puas hati dengan langkah jangka panjang yang diambil oleh pihak Ranhill SAJ untuk menaik taraf infastruktur sistem bekalan air di kawasan Labis yang sedang rancak berjalan dan dijangka dapat menyelesaikan krisis bekalan air di kawasan Labis menjelang tahun 2023.
"Walau bagaimanapun saya harap penduduk di kawasan yang mengalami gangguan bekalan ini dapat memahami situasi terkini yang tidak dapat dielakkan berikutan pertambahan penduduk yang pesat di Labis menyebabkan peningkatan pengunaan berbanding kemampuan bekalan ketika ini.
"Saya yakin isu ini akan dapat ditangani dalam masa terdekat berikutan perhatian serius dan usaha-usaha yang sedang dilaksanakan oleh pihak Ranhill SAJ dalam bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna di sini," katanya. -KitaReporters
DUN Bekok, Tan Chong ( tujuh dari kiri) dan ADUN Tenang, Haslinda Salleh ( lapan dari kiri) bergambar kenangan bersama kakitangan Ranhill SAJ ketika melakukan tinjauan ke LRA Ayer Panas C.
14
10
0
10
3
You will be interested