Alam & Sains 28 Nov, 2020

Bantuan banjir dihantar! Penduduk Tembeling dah siap sedia!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

SETIAP tahun Kerajaan Pahang membuat persiapan rapi dan berjadual penghantaran bantuan bencana alam apabila tiba musim pejur bermula pada bulan November dan dijangka hingga awal tahun depan.  Bantuan berkenaan terus dihantar ke pengkalan hadapan di perkampungan pesisir hulu Sungai Jelai (Lipis), Sungai Tembeling, Hulu Tembeling (Jerantut). : KitaReporters


Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ahli Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) sedang menurunkan barang keperluan dapur di sebuah pengkalan hadapan di Hulu Tembeling, Jerantut. - Kredit foto: Jabatan kebajikan Masyarakat Negeri Pahang


Lagi cerita-cerita berkaitan Pahang:

https://kitareporters.com/search?search=Pahang


Ini bermakna kerajaan negeri mengutamakan kebajikan dan keselamatan penduduk di pesisir sungai kawasan hulu yang umum sudah pun mengetahui kawasan berkenaan paling awal akan menerima musibah ketika air sungai utama melimpah masuk membanjiri kampung.

Selain persiapan lojistik iaitu pusat pemindahan banjir, bot, khemah sementara dan sumber tenaga manusia (pasukan beruniform), aspek makanan tetap diberi keutamaan.

Ini kerana apabila musibah banjir berlaku penduduk tidak dapat keluar berbelanja keperluan dapur dan sebagainya kerana seluruh kawasan terkepung banjir.  

Berasaskan kebenaran itu, Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah program Bantuan Prihatin Negara telah menghantar barang kering sebagai persediaan berdepan bencana banjir di lima buah perkampungan di Hulu Tembeling, Jerantut.

Lazimnya, penempatan penduduk di hulu, iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling, Kampung Gusai termasuk perkampungan Orang Asli etnik Batek merupakan 'penanda aras' bagi semua pihak membuat persediaan sekiranya kawasan tersebut berlaku banjir. 


MOHD ZAKHWAN AHMAD BADARDDIN


Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, perkampungan Melayu di Hulu Tembeling, Jerantut lebih dahulu  dilanda dibanjir sekiranya hujan turun tidak berhenti di kawasan hulu sehingga air Sungai Sepia dan Sungai Tembeling melimpah masuk ke kawasan penempatan. 

"Kerajaan negeri dan penduduk sememangnya sudah bersiap siaga menerima sebarang kemungkinan bencana ini berasaskan pengalaman berdepan dengan musibah ini tahun sebelum ini termasuklah kejadian bah merah 2014.

"Jadi, kita lebih awal menghantar bantuan keperluan dapur ke perkampungan di kawasan Hulu Tembeling ketika menjelang musim pejur bermula awal November hingga dijangka tahun depan," katanya di Kampung Pagi.

Menurut Mohd Zakhwan, penyerahan barang keperluan dapur seberat satu tan metrik disempurnakan penyampaiannya oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) tersebut sempena lawatan di bawah program Kembara Prihatin Negara di setiap buah kampung di Hulu Tembeling. 


Dr Sallehuddin Ishak (dua dari kiri) disaksikan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (dua dari kanan) sedang menyampaikan 'bantuan banjir' barang kering kepada wakil JKKK Kampung Bantal, Jerantut. - Kredit foto: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang.


Dr Sallehuddin Ishak (kiri) dan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (dua dari kanan) bersama Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris (kanan) melihat bantuan keperluan dapur di pengkalan hadapan Kampung Gusai, Jerantut.


Katanya, barang kering, iaitu beras, sardin, biskut, minyak masak, gula, kopi, garam dan teh uncang telah ditempatkan di setiap buah pengkalan hadapan kampung tersebut dan akan diagihkan kepada penduduk sekiranya banjir berlaku dan kawasan berkenaan terputus hubungan luar. 


ZAMRI MAT AMI


Bagi penduduk Kuala Tahan, Zamri Mat Ami pula berkata, penghantaran bantuan keperluan dapur atau bagi orang kampung lebih sinonim disebut 'bantuan banjir' merupakan amalan 'tradisi' kerajaan negeri apabila tiba musim pejur.

"Apapun, kami penduduk Hulu Tembeling dan Kuala Tahan sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak atas usaha serta amat prihatin dengan membuat persediaan awal sekiranya kemungkinan penduduk di sini berdepan musibah banjir," katanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook seorang penduduk, Kampung Bantal, Ijam Ijam yang juga disuarkan dalam Intagram INFO BANJIR PAHANG 2020, air Sungai tembeling telah melimpah masuk ke kawasan kedai kopi, pondok rehat dan rumah penduduk.

Air Sungai Tembeling telah melimpah masuk ke kawasan rumah penduduk di Kampung Bantal, Hulu Tembeling pada pukul 27 November 2020. - Kredit foto: Instagram INFO BANJIR PAHANG 2020


Beberapa hantaran mengenai kejadian pada pukul 3 petang, 27 November 2020 menunjukkan air melimpah masuk ke kawasan rumah dan bagi sesetengah penduduk Kampung Bantal mengambil peluang bersantai di kawasan yang mula dinaiki air.


Sebilangan penduduk sedang bersantai di pondok rehat yang sudah dinaiki air Sungai Tembeling (belakang) di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Jerantut pada 27 November 2020. - Kredit foto: Instagram INFO BANJIR PAHANG 2020

0
3
1
0
0
You will be interested