Alam & Sains 29 Jan, 2021

Gajet PdPR: Jual harga melampau! KPDNHEP Terengganu keluar 10 notis kepada peniaga komputer!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Penguat kuasa KPDNHEP menerusi Ops  Catu 8.0 memantau kedai menjual alat peranti elekronik seluruh Terengganu


PERMINTAAN yang tinggi dalam kalangan pengguna terhadap peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit berikutan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menyebabkan ada sesetengah pengusaha kedai peranti berkenaan mengambil kesempatan menjual harga barangan dengan harga yang tidak munasabah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang memandang berat terhadap trend semasa penjualan peralatan berkenaan sentiasa membuat pemantauan dan bertindak turun padang bagi mempastikan penjual tidak mengaut keuntungan segera.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan KPDNHEP:

https://kitareporters.com/search?search=KPDNHEP


Penguat Kuasa KPDNHEP mengeluarkan surat notis kepada peniaga komputer di Kuala Terengganu. - Gambar Ehsan KPDNHEP


Sehubungan itu, KPDNHEP Terengganu menerusi operasi yang dijalankan di seluruh negeri itu pada 28 Januari 2021 mengeluarkan sebanyak 10 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik kerana disyaki menaikkan harga jualan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, notis tersebut dikeluarkan kepada dua peniaga di bandar raya Kuala Terengganu,Kemaman dan Besut masing-masing tiga serta Dungun (dua).


Saharuddin Mohd Kia


Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 melibatkan peniaga di seluruh negeri yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit.

Beliau berkata, notis yang dikeluarkan mewajibkan peniaga untuk memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut, sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

"Peniaga berkenaan diberi tempoh masa selama dua hari untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut, " katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis 28 Januari 2021.


Kenyataan Media KPDNHEP Terengganu


Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan mulai 26 Januari sehingga 8 Februari 2021 bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Katanya, peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan. 



Beliau berkata, peniaga yang ingkar dalam perkara ini akan berhadapan dengan tindakan tegas di bawah Sekyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Saharudin berkata, jika sabit kesalahan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda  sehingga RM500,000.


Pemeriksaan harga jualan peralatan elektronik oleh Penguat Kuasa KPDNHEP di Terengganu


"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata tindakan tersebut bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan PdPR dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - KitaReporters

0
1
3
0
0
You will be interested