Alam & Sains 07 Aug, 2022

Jumpa nanti di Kemboja 2024! Malaysia lepasi sasaran 36 pingat emas! Sukan Para ASEAN 2022 ditutup!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Sesi penyerahan bendera APSF kepada wakil Kemboja yang bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Para ASEAN ke-12 yang akan berlangsung dari 3 Jun hingga 9 Jun 2024 - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube 


SUKAN Para ASEAN (APG) ke-11 atau dikenali juga Sukan Solo atau Surakarta 2022, yang berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos 2022 di Solo, Indonesia hari ini melabuhkan tirainya pada Sabtu (6 Ogos 2022 ) malam secara rasmi dalam satu majlis berwarna-warni dan penuh gilang gemilang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Para

PRESIDEN Joko Widodo hadir menyaksikan majlis penutupan rasmi temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 atau dikenali juga Solo 2022 di Stadium Manahan, Solo, Indonesia. - Foto kredit Bernama


Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau sangat berterima kasih kepada 1,200 atlet  dari 11 buah negara yang mengambil bahagian dalam temasya yang berlangsung selama lapan hari itu.

Tambahnya, dia turut berasa gembira dan berpuas hati selaku tuan rumah dapat mengendalikan APG dengan cemerlang ketika hadir penutupan rasmi temasya dwitahunan itu di Stadium Manahan, Solo, Indonesia.

Menepati ramalan, Indonesia jelas berada di kedudukan tangga teratas daripada sebelas (11) negara yang bertanding. 

Sekali gus melepasi sasaran (asal) 104 pingat emas berbanding 177 emas yang diperolehi kali ini bersama dengan 144 pingat perak dan 107 gangsa.

Negara garuda itu turut menguasai tujuh jenis sukan iaitu olahraga (57 emas), badminton (13), judo (9), catur (13), powerlifting (18), berenang (9) dan tenis meja (15).



Manakala, Malaysia menamatkan saingan temasya tersebut di tempat keempat di belakang Thailand (113-113-86) dan Vietnam (63-58-54) dengan kutipan 36 pingat emas, 20 perak dan 14 gangsa dengan 70 pingat secara keseluruhan.

Rekod kutipan pingat kali ini jauh merosot berbanding ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, apabila muncul naib juara dengan kutipan pingat 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa.

Cabaran Malaysia digalas oleh 72 atlet dalam 11 jenis sukan seperti badminton, boccia, bola tampar duduk, catur,  goalball, ping pong, olahraga, memanah. renang, powerlifting dan tenis berkerusi roda.


KIRI atlet para negara Mohamad Ridzuan (Dekwan), Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard mengibarkan Jalur Gemilang selepas mereka memperolehi pingat emas dalam sukan olahraga.


Datuk Abdul Latif Romly - Foto kredit Bernama


Amat membanggakan peserta-peserta negara, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru  F20), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (100m T36),  Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20), Eddy Bernard (Lompat Jauh F44/64)  dan pemain badminton, Cheah Liek Hou kekal menunjukkan prestasi terbaik mereka dengan merangkul pingat emas masing-masing.


Persembahan tarian Indonesia yang menampilkan keunikan adat resam, kesenian dan kebudayaan mereka di majlis penutup temasya tersebut. - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube


Selepas lebih seminggu berkampung di tanah Jawa, sejumlah 10,000 penonton diraikan dengan persembahan tarian kebudayaan Indonesia yang menampilkan ikon ‘Hanuman Putih’ dari Pura Mangkunegaran dan Sangkar Muncar Iswara.

Seramai 600 penari terdiri daripada mereka yang kurang upaya (OKU) dan normal mengambil bahagian dalam majlis penutup itu.

Persembahan tarian turut menampilkan negara Kemboja dengan 50 orang penari bergabung  dengan 20 penari Indonesia dalam satu kombinasi persembahan kebudayaan antara kedua-dua negara.

Tokoh Hanuman Putih dipilih kerana melambangkan ‘kembali putih’ untuk para atlet. Ia bermaksud tidak ada yang menang atau kalah, hanya matlamat dan keinginan untuk "Menggapai untuk Kebersamaan" atau ‘Striving for Equality’.

Persembahan penutup APG ke-11 agak unik dan berbeza jika dibandingkan  dengan majlis ‘pembukaan rasmi’ tempoh hari yang menampil kesenian dan kebudayaan lokal Solo bersama maskot ‘Rajamala’.


Maskot ‘Rajamala’. 


Upacara penutupan dimeriahkan dengan persembahan hiburan artis dan penyanyi terkenal Indonesia seperti Andien, Yovie & Nuno dan Yura Yunita.

Majlis diteruskan dengan persembahan bunga api yang dipancarkan memenuhi stadium dan atlet diiringi keluar padang menandakan majlis penutupan selesai sepenuhnya.

Kemboja bakal menjadi tuan rumah temasya Sukan Para ASEAN ke-12 yang akan berlangsung dari 3 Jun hingga 9 Jun 2024. - KitaReporters


Sebahagian penonton yang hadir dalam acara penutupan rasmi APG ke-11 atau Solo 2022 di Stadium Manahan, Solo, Indonesia. - Kredit foto: Tangkap layar video di YouTube


Sumber:

https://www.utusanborneo.com.my/2022/07/31/perasmian-sukan-para-asean-pukau-10000-penonton-dengan-percikan-bunga-api

https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2017/09/329406/para-kl2017-sukan-para-asean-2017-ditutup-secara-rasmi

https://www.flashsukan.com.my/sukan-para-asean-2022-kontinjen-negara-diraikan-bersama-10-negara-bertanding/

https://www.thesundaily.my/home/jokowi-closes-11th-asean-para-games-over-to-cambodia-next-EB9553574

https://sukanz.com/202218716/

video https://youtu.be/iCN1znPU8hM

https://www.youtube.com/watch?v=iCN1znPU8hM&ab_channel=ImranSports24

17
17
0
9
0
You will be interested