Alam & Sains 08 Nov, 2025

Usaha jamin habitat orang utan! Tanggungjawab semua! Hari Orang Utan Sedunia jangan sekadar sambutan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Sambutan Hari Orang Utan Sedunia (WOD 2025) di Zoo Taiping & Night Safari membuktikan habitat orang utan memerlukan perlindungan dan keprihatinan daripada kepupusan.



Ini kerana statitik menunjukkan lebih 50 peratus habitat orang utan di Sabah dan Sarawak kini berada dalam kawasan perlindungan dan sebahagian besar pembiayaan konservasi datang daripada hasil industri sawit sendiri melalui inisiatif seperti kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), Sawit Kinabalu dan syarikat-syarikat tempatan lain.

Oleh itu, sambutan Hari Orang Utan Sedunia setiap 19 Ogos bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu kenyataan bahawa Malaysia komited terhadap keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan biodiversiti.


Yusran Shah Mohd Yusof ketika merasmikan Hari Orang Utan Sedunia di Zoo Taping & Night Safari. 


Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata, orang utan bukan alat serangan terhadap sawit, sebaliknya bukti bahawa industri sawit mampan mampu menjadi rakan strategik dalam menjaga alam.

“Pemuliharaan orang utan bukan tanggungjawab Sabah atau Sarawak sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Sambutan ini juga menjadi jambatan kerjasama antara organisasi dan agensi di seluruh negara dalam menyokong pusat-pusat pemuliharaan orang utan.

“Sejak penganjuran pertamanya pada 2023, WOD telah menjadi platform utama MPOGCF menyampaikan mesej pemuliharaan melalui pendekatan kreatif dan interaktif bersama pelbagai rakan strategik,” katanya sempena Sambutan Hari Orang Utan Sedunia 2025 di ZTNS Taiping, Perak.


Yusran Shah Mohd Yusof (dua, kiri) menerima cenderahati daripada Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Hasmonaliza Hassan Basari

Lebih 500 peserta menyertai Fun Walk. Sambutan turut dimeriahkan oleh pameran daripada rakan strategik seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO); Malaysian Palm Oil Board (MPOB); Malaysian Palm Oil Council (MPOC); Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Semenanjung Malaysia, Wildlife Rescue Unit (WRU); Sawit Kinabalu; Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah dan FELDA.

Selain itu, Yusran Shah berkata, MPOGCF turut memperkenal inisiatif Orang Utan Diplomacy (OUDip), satu program pemuliharaan in-situ yang membolehkan orang utan bergerak bebas tanpa ancaman manusia, operasi perladangan mahupun aktiviti pelancongan.

“Baru-baru ini, MPOGCF menyalurkan sumbangan RM20,000 bagi pelaksanaan OUDip dan hasil jualan tiket Fun Walk hari ini juga akan disumbangkan ke tabung tersebut,” katanya.

Beliau menyeru terutama rakan industri sawit dan sektor korporat agar turut menyumbang ke tabung OUDip supaya kesinambungan usaha pemuliharaan ini terjamin.

Menurut beliau, setiap sumbangan adalah pelaburan untuk masa depan khazanah semula jadi negara.


Sebahagian peserta yang menyertai Fun Walk.


Katanya, usaha ini seiring komitmen kerajaan melalui Belanjawan Madani 2026 yang memperkasa pasukan renjer komuniti bagi melindungi hutan dan habitat hidupan liar termasuk orang utan.

“Langkah ini menzahirkan pendekatan inklusif di mana tanggungjawab pemuliharaan alam dipikul bersama oleh kerajaan, agensi, NGO, sektor swasta dan masyarakat.

“Dalam konteks global, kita harus sedar bahawa orang utan sering dijadikan simbol kempen alam sekitar oleh pihak tertentu yang mahu menggambarkan industri sawit sebagai punca utama kemusnahan hutan,” katanya.

Pada masa yang sama, pihaknya mengiktiraf usaha Zoo Taiping & Night Safari sebagai institusi pemuliharaan yang berjaya menggabungkan pendidikan, pelancongan dan konservasi.

“Kerjasama ini wajar dijadikan contoh kepada agensi dan organisasi lain dalam mempromosikan nilai kasih sayang terhadap hidupan liar,” katanya. - KitaReporters

16
15
0
15
0
You will be interested