Alam & Sains 19 Jul, 2020

Waspada, hati-hati! Hujan ribut melanda hingga akhir Julai!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
FENOMENA cuaca lembap yang boleh menyebabkan hujan lebat serta ribut yang berlaku di Malaysia sekarang dijangka berterusan hingga hujung Julai 2020 ini berdasarkan jangkaan intensiti Monson Barat Daya yang dikesan lemah berbanding biasa sehingga menyebabkan cuaca lembab berlaku pada Jun dan Julai kebiasaannya kurang hujan. : KitaReporters  


Ketua Operasi LZS MAIS Daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim melihat keadaan salah sebuah rumah yang musnah dalam kejadian ribut di Tanjung Karang, Selangor. - Kredit foto-foto: LZS MAIS, YIDE, Pusat Khidmat ADUN Permatang, Media Tanjung Karang dan UMNO Tanjung Karang.


Malahan hujan lebat yang berterusan dijangka mengakibatkan banjir di beberapa kawasan berpunca daripada penumpuan angin Tenggara dan angin  Barat Daya di Selatan Semenanjung serta angin Barat Daya dan angin Barat Laut di utara Semenanjung. 

Keadaan ini juga berlaku serentak dengan air pasang sejak awal pagi Isnin 13 Julai 2020, bagaimana cuaca lembab berkurangan menjelang petang. 

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon yang dipetik melalui laporan Bernama berkata, kawasan pesisir Pantai Barat Semenanjung berpotensi berlakunya hujan lebat dan ribut petir (garis badai) pada awal pagi akibat penumpuan angin Barat Daya, manakala di sebelah petang keadaan cuaca sama dijangka berlaku di kawasan pendalaman Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, katanya, MetMalaysia menasihatkan penduduk di kawasan rendah yang biasa dinaiki air lebih waspada jika berlaku hujan lebat serta menyimpan dokumen penting di tempat selamat dan mudah diambil sekiranya berlaku bencana serta segera berpindah ke pusat pemindahan disediakan jika diarahkan.
Sebarang maklumat lanjut berkaitan cuaca dan amaran cuaca, orang ramai boleh melayari laman web rasmi dan media sosial MetMalaysia atau melalui talian 1-300-1638 serta aplikasi myCuaca.

Salah sebuah rumah penduduk yang terlibat dalam bencana ribut di Tanjung Karang, Selangor.


Berikutan hujan lebat dan ribut petir yang melanda beberapa kawasan, di Selangor dilaporkan sejumlah 8 buah rumah setakat ini dikenal pasti ranap dan rosak teruk di sekitar kawasan Sawah Sempadan di Tanjung Karang, Selangor berikutan kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 2.50 pagi pada Isnin 13 Julai 2020 lalu. 

Bagaimana pun dalam kejadian itu tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) pada Jumaat 17 Julai 2020 yang diwakili kakitangan YIDE Cawangan Pusat Dialisis Kuala Selangor menziarai mangsa ribut berkenaan dan menyampaikan sumbangan bantuan wang tunai bagi meringankan beban keluarga yang terkesan akibat kejadian berkenaan.
Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar pada hari yang sama turut mengagihkan bantuan baik pulih rumah yang rosak kepada semua terlibat.

Sayu lagi sedih melihat keadaan rumah yang ranap dan musnah sama sekali dalam bencana ribut di Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor.


Terdahulu, pada pagi hari kejadian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Permatang, Rozana Zainal Abidin menghantar team Pusat Khidmat ADUN ke kawasan kejadian yang diketuai Pegawai Khas beliau Shahibudil Akmar bersama Tok Sidang Juraimi dan Tok Sidang Ahmad Aini.
Team tersebut juga mengadakan perbincangan dengan Ketua Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim bagi mengusahakan penempatan sementara mangsa kejadian.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Cabang Tanjung Karang, Helmi Sanusi dan teamnya turut berada di lokasi bagi melakukan kerja-kerja gotong royong.
Sementara itu, LZS MAIS juga pada pagi kejadian turut menyumbang bantuan semasa menyantuni keluarga yang terlibat dan diharap sumbangan disalurkan mampu meringankan beban yang ditanggung.
Sumbangan pihak ADUN, YIDE dan LZS MAIS yang disampaikan merupakan bantuan awal dan akan disusuli kemudian selepas bancian terperinci dijalankan.

Salah seorang wakil Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) memakai pelitup mulut dan hidung bertanyakan sesuatu kepada penduduk terlibat dalam bencana ribut di Sawah Sempadan,Tanjung Karang.


Musibah kejadian ribut pada Isnin 13 Julai 2020 itu yang berlaku di sekitar kawasan Blok P Sawah Sempadan, Tanjung Karang mengakibat rumah-rumah mangsa musnah ditimpa pokok selain bumbung diterbangkan angin, struktur binaan rosak teruk dan pelbagai kerosakan.
Bagi Azizah Ahmad, 54, dia bersyukur tiga ahli keluarga yang berada di dalam rumah semasa kejadian selamat. 

Akibat ribut itu sebahagian kediamannya ranap dan musnah kerana ditimpa pokok pulai yang berumur ratusan tahun setinggi 27 meter. 

Sebelum ini pokok berkenaan pernah dipanah petir dan beliau tidak menyangka akan menghempap rumah.

Ketua Operasi LZS MAIS Huzairi Ibrahim (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan kewangan kepada Azizah Ahmad salah seorang mangsa ribut untuk meringankan beban yang ditanggung.


Mohd. Faizal Rosli, 33, yang terselamat terjaga daripada tidur selepas mendengar bunyi ribut, namun belum sempat berbuat apa-apa rumah bergegar dan runtuh. 

Beliau truma dan mengigil sempat membawa keluar ibu, Azizah Ahmad dan adik perempuan Nor Asyikin Rosli, 13, keluar dari runtuhan kayu rumah berkenaan dan berteduh di rumah jiran berhampiran. 

Waktu kejadian cuaca gelap, hujan lebat berserta angin kencang.

Beliau, bagaimanapun bersyukur isteri dan empat orang anaknya berusia 5 hingga 10 tahun tidak ada bersama kerana semasa kejadian berada di rumah ibu mertuanya di Taliair 10, Pasir Panjang, Sekinchan.
Dalam kejadian itu, sebahagian besar rumah pusaka berusia 60 tahun peninggalan arwah neneknya ranap musnah sekelip mata selepas dihempap pokok. 

Empat bilik, ruang tamu dan bahagian dapur musnah sama sekali hanya tinggal tiang dan kayu struktur sahaja. Anggaran kerosakkan dan kerugian dialami lingkungan RM150,000.

YIDE merupakan agensi di bawah MAIS bertanggungjawab mengenai kebajikan dengan menyumbang bantuan berbentuk wang tunai kepada mangsa bencana alam termasuk yang berlaku di Sawah Sempadan, Tanjung Karang ini. Orang ramai boleh berkongsi maklumat jika berlaku musibah atau malapetaka di kawasan masing-masing dengan menghubungi talian hotline YIDE +6017 7569476 atau berhubung terus ke ibu pejabat YIDE melalui talian +603 5510 3931, email ke publisiti@yide.com.my atau layari www.yide.com.my.

Salah seorang mangsa bencana ribut di Sawah Sempadan,Tanjung Karang menerima sumbangan bantuan daripada Ketua Operasi LZS MAIS, Huzairi Ibrahim semasa beliau mengunjungi mangsa terlibat.


Sementara itu,Tan Sri Noh Omar semasa melakukan lawatan ke rumah mangsa ribut berkata, bantuan membaik pulih rumah untuk mangsa terlibat dianggarkan antara RM5,000.00 ke RM6,000.00 bagi sebuah rumah dan bantuan awal disalurkan pada hari kejadian.

Di samping itu, pihaknya juga  melantik sebuah kedai menjual barangan binaan bagi membekal serta membaik pulih rumah mangsa ribut berkenaan.

Katanya, bagi tujuan ini, pemilik rumah terlibat boleh datang ke kedai berkenaan untuk menggantikan kerosakan rumah dan pihaknya akan membayar dengan kos tertentu bergantung kepada kerosakan yang dialami.
Noh memberitahu, peruntukkan bantuan bagi penyediaan menambak tanah sebuah rumah mangsa yang ditimpa pokok jati berusia ratusan tahun dan pemiliknya terpaksa dipindahkan sementara waktu di sebuah inap desa yang dibiayai sepenuhnya LZS MAIS. 

Pihak lembaga zakat bersetuju membina sebuah rumah baharu kepada keluarga berkenaan tetapi penyediaan tapak perlu diusahakan oleh pemiliknya. - KitaReporters

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar (empat daripada kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut di Kawasan Sawah Sempadan Tanjung Karang, Selangor.

Mangsa bencana ribut di Sawah Sempadan,Tanjung Karang menerima sumbangan bantuan daripada LZS MAIS yang disampaikan oleh Ketua Operasi LZS MAIS Daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim.

Beginilah keadaan salah sebuah rumah yang terlibat dalam bencana ribut di Sawah Sempadan,Tanjung Karang.Selangor.

Ketua Operasi LZS MAIS Daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim (kiri) menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah seorang mangsa bencana ribut di Sawah Sempadan.

Wakil Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa ribut di kawasan Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

0
0
0
0
0
You will be interested