Alam & Sains 25 May, 2020

PKP: Nyanyian koir guru secara maya! Lagu Kami Guru Malaysia

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this
TARIKH 16 Mei setiap tahun pasti meninggalkan kenangan manis buat semua guru apabila mereka diraikan dalam pelbagai majlis sebagai penghargaan atas sumbangan bakti dalam mendidik anak bangsa. Jasa yang diberikan tidak terbalas kerana mereka adalah insan kedua selepas ibu bapa dalam mendidik anak-anak pelajar di alam persekolahan. Namun, tahun ini tiada sambutan diberikan hanya sebagai ucapan sebagai pengganti diri gara-gara COVID-19. : KitaReporters



Masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Guru 2020 kepada semua guru di Malaysia!!
Tetapi tahun ini suasananya berubah 100 peratus. 

Tiada sambutan diberikan gara-gara penularan wabak pandemik COVID-19. 

Ianya sekadar ucapan yang diberikan menerusi media sosial Facebook, instagram, twitter mahupun aplikasi WhatsApp. 

Sedih sambutan kali ini! 

Mungkin guru sekadar menerima jambangan bunga dan hadiah secara kiriman pos daripada anak murid mereka. Tiada sesi bagi-bagi cenderahati dan bergambar sebagaimana lazim dilakukan saban tahun.

Walaupun tanpa sambutan daripada anak pelajar kali ini, sebagai guru, golongan ini sentiasa mencari sesuatu yang menarik untuk dijadikan kenangan pada tarikh itu. 

Ada sahaja yang mereka lakukan untuk meneruskan keceriaan dalam menyambut hari guru. 

Bukan sekadar guru, pensyarah dan pesara guru juga mempunyai idea yang agak luar biasa sebagai memperingati tarikh keramat itu. 

Ada sahaja idea kreatif mereka.

Tidak bertemu bukan bermakna terputus hubungan. Banyak cara untuk 'mencantumkannya' semula. 
Koir dan lagu sebagai pengganti diri.


Ini dapat dibuktikan oleh 50 guru termasuk pensyarah dan pesara guru bekas  penuntut Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Cheras, Kuala Lumpur apabila mengambil peluang mendendangkan lagu keramat 'Kami Guru Malaysia'  secara maya. 

Menarikkan idea golongan pendidik ni?? 

Dah bersara pun masih nak terus menyumbang bakti.

Menariknya, lagu ini dinyanyikan secara koir dengan iringan piano yang dimainkan oleh Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.

Nyanyian koir secara maya oleh 50 pensyarah, pesara guru dan penuntut Institusi Pendidikan Guru Kampus Imu Khas


Senikata lagu Kami Guru Malaysia :

"Kami guru Malaysia

Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putera puteri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan"

Ketua Jabatan Muzik, Nik Rosalind Nik Hassan


Ketua Jabatan Pendidikan Muzik IPGKIK, Nik Rozalind Nik Hassan berkata cadangan itu, tercetus menjelang beberapa hari sebelum sambutan hari guru tahun 2020 kerana tahun ini sambutan tidak diadakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula sejak 4 Mei 2020.

Katanya, rakaman itu dilakukan dalam tempoh tiga hari secara dalam talian oleh 50 guru bekas penuntut kursus muzik di  IPGKIK , Cheras, Kuala Lumpur.
Alumni IPGKIK, Raja Nadiah Raja Zaharuddin Shah yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Penchala, Kualu Lumpur, berkata cetusan cadangan koir secara alam maya itu mendapat sokongan penuh daripada rakan alumni IPGKIK yang berada di seluruh tanah air.
“Kami berhubung dengan menggunakan aplikasi WhatsApp dan berbincang untuk mewujudkan koir hari guru secara alam maya itu. 
"Idea itu tercetus dari cadangan seorang guru di Ipoh, Perak dan disokong penuh oleh Ketua Jabatan Muzik , IPGKIK, Nik Rozalind Nik Hassan," katanya. 
Menurutnya, cadangan ini turut mendapat sokongan oleh Mokhzani yang sudi memainkan piano lagu 'Kami Guru Malaysia' kerana beliau juga adalah alumni IPGKIK dan bekas guru sebelum ke RTM. 

Amir Hamzah Nordin


Seorang pesara guru, alumni IPGKIK,  Amir Hamzah Nordin dari Jerantut, Pahang menyifatkan idea itu sungguh menarik. 

"Saya begitu seronok dan teruja apabila diundang oleh rakan lama untuk bersama-sama menyanyi secara koir dalam alam maya yang diadakan buat kali pertama ini.
"Saya tidak menyangka hasil rakaman yang dibuat dalam tempoh singkat itu berjaya mewujudkan koir alam maya pertama kali di Malaysia," katanya.
Semoga sambutan Hari Guru 2020 ini adalah yang pertama dan terakhir berpunca daripada COVID-19 dan tahun 2021 kita dapat raikan mereka secara realiti. 

Tahniah atas kejayaan anda mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia berguna untuk berbakti kepada negara tercinta.

Selamat Hari Guru dan Selamat Hari Raya Aidilfitri. - KitaReporters

4
1
0
1
0
You will be interested