Alam & Sains 21 Nov, 2020

Selamat Malam Utgiagvik, Alaska! Bergelap sampai 22 Jan 2021

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

JIKA pada setiap hujung tahun, kita di Malaysia akan berhadapan dengan musim banjir, sebaliknya pula akan berlaku di pekan Utgiagvik, Alaska kerana penduduknya akan ‘bergelap’ sepanjang tempoh 65/66 hari sehingga 22/23 Januari 2021. ‘Selamat Malam Alaska! : KitaReporters



Pemandangan bandar Utgiagvik pada hari terakhir matahari terbenam (gambar atas) berbanding sebelum matahari terbenam (bawah). - Kredit foto: Institut Geofizik Alaska Fairbanks.


Pelik bunyinya kan apabila kita harus mengucapkan ‘selamat malam’ walaupun hakikatnya bandar Utgiagvik atau dikenali sebagai 'Barrow' sehingga 2016, masih siang. 

Kenapa jadi begitu?

Menurut laporan portal weathernation,  pada hari Rabu 18 November 2020, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, merupakan detik  terakhir penduduk Utgiagvik dapat melihat matahari terbenam memandangkan bandar itu akan seterusnya diselubungi cuaca gelap walaupun pada masa itu waktu siang. 

Jangka waktu bergelap ini disebut sebagai ‘polar night’ atau dalam bahasa mudahnya ‘malam kutub’.

Berdasarkan penilaian kaji cuaca di Alaska, sebaik matahari terbenam pada 1.30 tengah hari pada hari tersebut, ia tidak akan muncul lagi sehingga 66 hari kemudian.


Bandar Utgiagvik di Alaska. - Kredit foto CNN Indonesia.


Wow! Lama itu pasti cuaca pada musim sejuk bertambahlah sejuk sebab tiada langsung hawa panas daripada terbitnya matahari waima penduduknya terpaksa pula berdepan dengan kegelapan bagaikan malam?

Kenapa terjadi demikian?

Kita harus melihat kecondongan bumi untuk memahami sepenuhnya musim sejuk yang panjang dan gelap ini.



Merujuk gambar kemiringan bumi (gambar atas) berbanding matahari, dapat dilihat bagaimana kedudukan Alaska di Utara pada 22-23 September 2020 berada di atmosfera ‘Autumnal Equinox” (Ekuinoks Musim Luruh) di mana ia terlindung jauh daripada pancaran matahari apatah lagi apabila ia bergerak ke ‘Winter Solstice’ (Solstis Musim Dingin), bandar Utgiagvik terus terlindung apabila bahagian Utara bumi condong ke kiri membelakangkan matahari.

Sementara itu,  jika diperhatikan dengan lebih dekat pada gambar kedua di bawah ini daripada satelit yang diambil pada 18 November 2020 di seluruh wilayah Lautan Pasifik, anda akan melihat bentuk Alaska dan bagaimana kawasan itu kelihatan sedikit lebih gelap daripada 90% pada bahagian bawahnya.



Pendek kata, kawasan gelap yang anda lihat di atas adalah disebabkan cahaya yang tidak dapat menembus bahagian Utara yang telah miring jauh daripada matahari.

Oleh itu, memang sesuailah kita ucapkan ‘selamat malam’ kepada penduduk Utgiagvik sepanjang berakhirnya tahun 2020 ini sehinggalah terbitnya kembali matahari pada 23 Januari tahun depan.

Sebaliknya, sebelum ini, Alaska Utara mengalami cahaya siang tanpa henti di sekitar 'Summer Solstice' (Solstis Musim Panas) di mana matahari tidak pernah terbenam selama berminggu-minggu.



Begitu pun dalam laporan terbaharu yang dikeluarkan melalui twitter NWS Fairbanks, tarikh sebenarnya matahari akan muncul kembali di Utgiagvik adalah pada 22 Januari 2021 dan bukan 23 Januari 2021 seperti laporan awalnya. Jadi hanya 65 hari sahaja penduduknya akan berada dalam situasi 'malam'.

Begitu kisahnya…berbelit juga lidah nak sebut nama bandar Utgiagvik ni kan? - KitaReporters

2
2
0
0
0
You will be interested