Alam & Sains 29 Dec, 2024

Jom bagi nama baharu anak badak air Zoo Taiping & Night Safari! Berusia 6 bulan! Nama samaran Jun!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Zoo Taiping & Night Safari mempunyai empat badak air.


ANAK badak air  (Hippopotamus amphibius), yang dilahirkan pada 5 Jun 2024 akan mempunyai nama tetap tidak lama lagi selepas Zoo Taiping & Night Safari mengadakan pertandingan bagi menamakan haiwan itu pada tahun hadapan (2025).

Buat masa sekarang, anak badak air itu yang berusia enam bulan hanya diberikan nama samaran iaitu Jun kerana dilahirkan pada bulan Jun.

Anak badak air itu dilahirkan induknya bernama 'Lek'. Lek berusia 32 tahun berasal dari Zoo Bangkok, manakala bapa haiwan berkenaan iaitu April berumur 22 tahun dilahirkan di zoo Taiping. 

Dr Muhamad Ridhwan Affendi


Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr Muhamad Ridhwan Affendi, berkata sebelum ini, Lek pernah melahirkan seekor badak air pada 2016 yang diberi nama Atan. Dengan kelahiran itu, Zoo Taiping & Night Safari kini mempunyai empat badak air.

"Kemungkinan besar anak badak air itu betina tapi pihak zoo belum dapat memastikan seratus peratus dan perlu menunggu sehingga haiwan itu membesar dulu sebelum dapat memastikan jantinanya.

"Buat masa sekarang nama samaran anak badak air itu ialah Jun tapi zoo Taiping berharap dapat menamakan haiwan itu tidak lama lagi apabila satu pertandingan menamakan haiwan itu diadakan pada 2025," katanya.

Anak badak air, Jun yang berusia enam bulan sentiasa bersama ibunya, Lek selepas dilahirkan Jun 2024.


Dalam perkembangan yang sama, Zoo Taiping & Night Safari turut menerima kelahiran 16 anak kura-kura Sulcata (Geochelone sulcata) yang dianggap kejayaan besar dan membanggakan bagi pembiakan spesies berkenaan di zoo itu.

"Zoo Taiping mengeluarkan telur kura-kura itu dari sarang dan melakukan pengeraman menggunakan inkubator untuk menetaskan telor-telor haiwan itu.  

"Kita akan tunggu kura-kura itu menjadi lebih besar dan sekarang saiznya kira-kira lima sentimeter panjang, alhamdulillah semuanya sihat. Haiwan itu yang mempunyai jangka hayat sehingga 60 tahun akan dipertonton kepada orang ramai tidak lama lagi," katanya. lagi.

Sebahagian dari 16  anak kura-kura Sulcata yang berjaya dibiakkan di Zoo Taiping & Night Safari.


Zoo Taiping & Night Safari juga menambah kelahiran dua ekor nyala, tiga ekor anjing hutan (Cuon alpinus); dua ekor kancil (Tragulus kanchil); dua ekor napuh (Tragulus napu); dan empat ekor agile wallaby (Macropus agilis);

"Dan, projek konservasi yang sentiasa berjalan ialah pembiakan 17 burung botak upeh (Mycteria cinerea). Selepas disahkan sihat dan matang, kami akan lepaskan burung terbabit di sekitar zoo Taiping. Dan, sekarang, ada 46 ekor burung itu bebas di luar zoo," katanya.

Bagi memberi nilai tambah kepada night safari, pihaknya akan menambah beberapa haiwan eksotik baru di kandang Amazon, antaranya kapibara kerana haiwan jenis rodensia yang banyak ditemui di benua Amerika Selatan itu belum pernah dipamerkan untuk pengunjung di zoo berkenaan. 

Burung botak upeh yang dibiakkan dalam program konservasi akan dilepaskan  di sekitar zoo Taiping apabila haiwan itu sudah matang dan sihat. 


"Kami juga ada cadangan menambah jumlah itik berlibis, spesies sloth dan burung toco toucan yang berasal dari Amazon kerana haiwan itu juga belum pernah dipamerkan sejak pembukaan zoo ini. Ini bagi menambah seri di kandang Amazon.

"Haiwan lain yang sudah memasuki zoo awal tahun 2024 ialah fennec fox atau rubah fennec. Kehadiran haiwan-haiwan nokturnal ini dapat menambahkan tarikan kepada kandang night safari, sekali gus meningkat kehadiran pengunjung untuk melihat spesies yang aktif pada waktu malam," kata  Dr Muhamad Ridhwan.

Ditanya mengapa Zoo Taiping & Night Safari tidak menggunakan pendekatan hiburan seperti diamalkan sesetengah zoo terutama di luar negara, katanya konsep itu tidak sesuai dan mungkin memberi mudarat dan menyebabkan haiwan terbabit tertekan. 

Kapibara antara haiwan dari Amerika Selatan yang akan ditempatkan di kandang Amazon. 


"Kami lebih senang dengan pendekatan konservasi,pendidikan dan latihan berbanding hiburan atau pertunjukan haiwan kerana zoo Taiping mahu memberi peluang pengunjung menikmati pengalaman berjalan kaki untuk melihat haiwan di setiap kandang dan jika penat, mereka boleh menaiki tram.

"Kami tidak berminat kepada konsep hiburan atau pertunjukan haiwan kerana zoo Taiping tidak mahu masyarakat menganggap hidupan liar boleh dibela atau dilatih untuk menjadi haiwan jinak.

"Kami mahu mengekalkan cara hidup asal mereka dalam hutan walaupun hakikatnya mereka tinggal dalam kandang tapi rasa lebih selesa dan pengunjung dapat melihat haiwan itu seolah-olah mereka menyaksikan di hutan dan habitat asal mereka," katanya lagi. 

Dr Muhamad Ridhwan berkata, sejak pembukaannya, Zoo Taiping & Night Safari lebih menekankan kepada konservasi dan alam semula jadi, malah baru-baru ini kami menanam 150 batang pokok sempena ulang tahun ke-150 bandar Taiping.

"Ini bagi menamah kecantikan landskap dan menambah baik pokok di zoo supaya memberi keselesaan kepada haiwan dalam kandang dan pengunjung yang datang setiap hari," katanya. 

Burung toco toucan yang belum pernah dipamerkan sejak pembukaan zoo Taiping akan menambah seri di kandang Amazon.


Beliau mengakui, sejak menjadi pengarah zoo pada 2022, matlamatnya ialah menjadikan Zoo Taiping & Night Safari contoh kepada taman haiwan lain di dalam dan luar negara selain meneruskan misi yang dibawa pengarah sebelum ini, Dr Kelvin Lazarus iaitu konsep pendidikan dan konservasi.   

"Cuma pendekatan kepada pelawat kita perlu ubah sikit kerana cita rasa sekarang berbeza berbanding 10 atau 20 tahun lalu apatah lagi zoo mempunyai kawasan terhad dan perlu digunakan dengan bijak bagi menambah baik kemudahan untuk keselesaan pengujung serta haiwan," katanya. 

Mengenai azam tahun baharu, katanya lebih banyak acara akan diadakan dan ia bermula seawal Februari 2025 kerana zoo Taiping tidak mahu masyarakat dalam dan luar negara melupakan taman haiwan ini sebaliknya terus datang setiap kali ke bandar tertua ini.


Kucing leopard cat antara haiwan yang aktif pada waktu malam dan menjadi tumpuan pengunjung Night Safari.


"Kami juga merancang projek konservasi untuk beberapa haiwan antaranya Harimau Malaya untuk mendapatkan pembiakan dan menambah populasi sedia ada kerana haiwan itu diambang kepupusan jika tiada usaha bersungguh-sungguh memelihara khazanah negara itu.

"Zoo Taiping pernah melahirkan tiga anak Harimau Malaya pada 2020 dan kini kami bekerjasama dengan beberapa institusi termasuk zoo di negara ini untuk melakukan pertukaran dan konservasi bagi pembiakan haiwan terancam itu.

"Melalui kempen "Selamatkan Harimau Malaya, insya-Allah apabila pembiakan haiwan itu berjaya, anak-anak harimau yang dilahirkan akan dilepaskan ke habitat asal supaya mereka dapat hidup seperti asalnya. 

"Tapi, proses itu akan melalui beberapa prosedur antaranya kesihatan, boleh mencari makanan sendiri dan dilepaskan di kawasan yang tidak menjadi ancaman kepada manusia tapi mempunyai cukup makan untuk mereka hidup seperti habitat asal," katanya lagi. - KitaReporters


Tiga anak Harimau Malaya yang dilahirkan di Zoo Taiping pada 2020, kini akan dibiakkan dalam projek konservasi bagi meningkat populasi haiwan terancam itu di negara ini.

13
10
0
15
0
You will be interested