Alam & Sains 11 Jun, 2022

3 bot nelayan Vietnam jadi tukun! Ditenggelamkan di perairan Pulau Kapas! 142 dah ditenggelamkan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Bot nelayan asing dari Vietnam yang dirampas Maritim Malaysia dan ditenggelamkan di perairan Pulau Kapas,Terengganu.


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Terengganu telah menenggelamkan tiga bot nelayan Vietnam yang dilucut hak untuk dijadikan tukun tiruan berhampiran perairan Pulau Kapas, Kuala Terengganu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot-bot berkenaan telah ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Nusa melalui Op Naga Barat dan Op Kuda Laut yang turut melibatkan penahanan 43 kru termasuk tekong warga Vietnam


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Maritim Malaysia

Muhammad Suffi Mohd Ramli 


Katanya, tiga bot nelayan Vietnam itu ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah pada tahun 2021 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Menurutnya, kesemua bot disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985, memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pegarah Perikanan Malaysia.

Mahkamah mengenakan denda sejumlah RM4.16 juta ke atas tiga bot ini, namun tiada sebarang denda dijelaskan oleh pemilik.

Berikutan itu katanya, mahkamah melucutkan hak tiga bot terbabit untuk dilupuskan serta hukuman penjara tujuh bulan bulan ke atas 43 nelayan Vietnam.

“Ini merupakan pelupusan siri keempat bagi tahun 2022 oleh Maritim Negeri Terengganu,” katanya pada majlis pelupusan bot terbabit pada 9 Jun 2022.

Hadir sama menyaksikan  majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan,Perladangah, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim.


Dr Azman (kiri) dan Suffi (kanan) menyaksikan proses menenggelamkan bot nelayan Vietnam.


Katanya, ketika ini sebanyak 40 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu.

Sehingga kini, Maritim Negeri Terengganu telah melupuskan serta menenggelamkan 142 bot nelayan asing dengan anggaran nilai RM213 juta, sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara, menggalakkan biodiversiti marin, meningkatkan sektor pelancongan terutamanya aktiviti rekreasi selam serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang serta membanteras kemasukan nelayan asing ke perairan negara terutamanya dari Vietnam,” katanya.

Program pelupusan bot berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Sehubungan itu, Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999. - KitaReporters


Bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan untuk dijadikan tukun

 

9
9
1
17
0
You will be interested