ADA pepatah yang berkata: ‘Mencegah lebih baik daripada merawat’ menjadi pendorong kepada penduduk di zon Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor untuk menyerbu Karnival Kesihatan anjuran Pelajar Perubatan Tahun Tiga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membuat saringan kesihatan.
Karnival yang bertepatan dengan aspirasi Keluarga Malaysia itu diadakan dengan kerjasama Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) dan Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Suadamai BTHO yang berlangsung di dewan KRT berkenaan selama tiga hari bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 5, 12 dan 19 Mac 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jiran Wanita KRT
Adibah Sukir (tiga dari kiri) bersama-sama sebahagian pelajar perubatan tahun tiga UKM yang terbabit dalam karnival itu.
Pengerusi Jiran Wanita KRT berkenaan, Adibah Sukir, berkata karnival itu bermatlamat untuk membina komuniti sihat dan terancang dari segi penyediaan kemudahan kesihatan demi melahirkan generasi cemerlang serta berjaya pada masa depan.
Menurutnya, karnival itu juga secara tidak langsung memberi kesedaran berterusan kepada komuniti mengenai bahaya penularan wabak Covid-19 yang tidak boleh diabaikan sebaliknya hendaklah meningkatkan tahap kesihatan termasuk dengan membuat saringan kesihatan ini.
Jelasnya, diari kesihatan Kospen akan diberikan kepada mereka yang membuat saringan kesihatan sebagai langkah memudahkan mereka membuat rujukan di pusat kesihatan berhampiran untuk rawatan selanjutnya bagi mencegah sesuatu penyakit itu daripada bertambah buruk.
“Kita juga mengambil langkah selamat mengadakan karnival di dewan ini bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pandemik Covid-19 dan kita bimbang virus boleh merebak jika saringan kesihatan percuma dibuat dengan mengunjungi setiap rumah penduduk,” katanya ketika ditemui di karnival itu.
Nur Arina Amira Harizal
Sementara itu, Ketua Program Intervensi karnival berkenaan, Nur Arina Amira Harizal, berkata sepanjang karnival saringan kesihatan yang dilakukan membabitkan pemeriksaan tekanan darah tinggi, berat badan, ketinggian, ujian darah, gula dan kolesterol.
Jelasnya, daripada kajian tahap kesihatan penduduk di BTHO itu yang dilakukan oleh 15 pelajar perubatan terbabit mengenal pasti paling serius membabitkan masalah penyakit darah tinggi, merokok dan lebih berat badan.
Nur Arina Amira (berdiri) melihat rakan pelajar perubatan merekod maklumat penduduk yang membuat saringan kesihatan.
“Dalam program intervensi tekanan darah tinggi akan datang penduduk akan diberi bimbingan dan penjelasan kesihatan dari segi mengawal penyakit dan sebagainya supaya langkah ini dapat dilakukan oleh mereka sebagai usaha pencegahan dari peringkat awal.
“Dari segi sambutan karnival ini berjaya mengumpul kehadiran penduduk yang amat baik untuk membuat saringan kesihatan apabila mencecah 100 orang termasuk dalam kalangan remaja yang semakin sedar pentingnya menjaga kesihatan diri,” katanya.
Ahli Jiran Wanita KRT Suadamai BTHO turut tidak melepaskan peluang membuat saringan kesihatan percuma bersama-sama penduduk.