Alam & Sains 05 Jul, 2022

10 rumah hanyut, seorang ibu dilaporkan hilang! Hujan lebat dan banjir mengejutkan landa Baling!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this


KEJADIAN banjir luar biasa berserta hujan lebat di lima kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang dalam kawasan Perlimen Baling yang berlaku jam 4.45  petang pada Isnin, 4 Julai 2022 telah menghanyutkan sekurang-kurang 10 buah rumah.

Penduduk memberitahu, kejadian banjir yang mengejut dan luar jangkaan ini berlaku turut menghanyutkan pokok-pokok balak dan harta benda penduduk terlibat.
Kampung-kampung terlibat ialah Kampung Iboi, Kampong Padang Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Bendang Becah dan Kampung Becah Tok Saba.


Sehingga malam tadi (Isnin, 4 Julai 2022) penduduk serta pihak polis dan bomba Daerah Baling melakukan gerakan mencari dan menyelamatkan seorang ibu yang mengandung yang dilaporkan hilang semasa banjir berlaku.

Turut diselamatkan ialah seorang remaja yang dihanyutkan oleh arus banjir di dalam sungai berdekatan kawasan yang dilanda dengan banjir.

 


Seorang penduduk yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Baling, Safioli Shaari, 46, memberitahu KitaReporters kejadian banjir mengejutkan dalam keadaan hujan lebat itu amat  mengerikan.
Menurut beliau, banjir selut (lumpur) dan potongan kayu balak turut melanda rumah-rumah mangsa.
Sehingga kini, keluarga-keluarga mangsa masih dalam kebimbangan kerana masih ramai mangsa banjir didakwa menyelamatkan diri denga naik ke atas bumbung rumah mereka.
Ketika ditanya punca kejadian, beliau enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, kejadian seperti yang berlaku petang itu tidak pernah berlaku sebelum ini.


Turut musnah dalam kejadian itu sebuah jambatan yang menjadi penghubung penduduk kampung-kampung terbabit dengan jalan utama kampung itu ke pekan Kupang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa diteruskan malam tadi (Isnin, 4 Julai 2022) dengan bantuan penduduk dan beberapa pertubuhan NGO.
Orang ramai bukan penduduk di sekitar kampung-kampung terbabit tidak dibenarkan memasuki kawasan terlibat sejak petang dan pihak polis terus mengadakan sekatan di kawasan berkenaan. - KitaReporters

15
10
1
6
0
You will be interested