Alam & Sains 27 Dec, 2021

Video| Idea kreatif! Bina rumah rakit atas darat! Waktu banjir terapung, selamatkan barangan!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Barang elektrik dan pelbagai barang penting dari rumah kediaman ini telah dipindahkan ke rumah rakit sebelum banjir dan terselamat daripada rosak. - Kredit foto-foto:  Aziela Baharudin


PELBAGAI ragam kisah dapat kita dengar serta saksikan pada musim banjir kali ini dan kalau dulu yang biasanya terdedah kepada bencana banjir setiap hujung tahun ialah penduduk di Negeri Pantai Timur Semenanjung. Namun tahun ini, penduduk di Pantai Barat Semenanjung khususnya Selangor, lebih teruk terkesan. 

Rata-rata penduduk terbabit di Selangor tidak menyangka akan berlaku banjir besar seperti sekarang.  

Bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai di Pahang, Kelantan mahupun Terengganu sudah lali dengan bencana banjir sehinggakan sudah bersiap sedia daripada awal dengan cara masing-masing. Sediakan payung sebelum hujan!


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan banjir


Bangunan yang kelihatan itu adalah rumah rakit yang dibina oleh Mohd Fadzli Baharudin yang terletak di hadapan kediaman mereka. 


Rumah rakit sewaktu proses pembinaan menggunakan tong sebagai pelampung.


Namun tidak semua bersungguh membuat persediaan seperti seorang penduduk di Kampung Seberang Jelai, Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang ini. 

Surut banjir baru baru ini, dia lega kerana barang barang penting terselamat daripada rosak kerana tidak terkena air, hasil usahanya membina rumah rakit yang diletak di hadapan rumah yang didiaminya.

“Tak sia-sia anak jantan mok buat (rumah rakit). Bernas gok idea dia. Banjir melanda, rumah rakit ada. Semasa tak banjir, dia (rumah rakit), duduk atas darat, jadi tempat lepak-lepak, masak barbeku dan stimbot. Apabila banjir, dia terapung atas air dan jadi tempat letak peti ais, mesin basuh, tilam, dapur dan pelbagai barang lain,” kongsi Aziela Baharudin dalam laman FB-nya.

“Anak jantan mok” itu merujuk kepada abangnya, Mohd Fadzli Baharudin.

Penat menghadapi risiko bencana banjir setiap tahun,  Mohd Fadzli nekad membina rumah rakit untuk menyelamatkan peralatan rumah terutama barang elektrik daripada rosak atau musnah ditenggelami air. Dia memang membina rumah rakit untuk tujuan itu.



Rumah rakit setelah dipasangkan lantai dan bumbung, ia berjaya disiapkan dalam masa empat hari sahaja. 


Tulis Aziela lagi, keluarganya pernah mengalami pengalaman memeritkan apabila dilanda banjir dan air naik secara mendadak sehingga mereka tidak sempat menyelamat harta benda lain.

“Awal Januari 2021 banjir paling besar pernah kami alami. Banjir waktu itu air naik mendadak, memang tak sempat nak selamatkan kebanyakan barang. Peti ais berenang-renang kat luar rumah, kita orang satu famili hanya mampu tengok dan gelak, reda. Abang saya fedup asyik kena angkut ke hulu ke hilir barang elektrik dan barang bengkelnya ke tempat selamat. Belum kira pakaian, tilam, bantal dan banyak lagi barang," katanya.

Sehubungan itu tambah Aziela, pada awal Mei 2021 abangnya mulakan projek membuat rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

"Walaupun kena gelak sebab buat rumah rakit di atas darat, “dia lantakkan je” (tak ambil peduli ejekan orang). Tak sangka Disember 2021 ni banjir sekali lagi, jadi bolehlah `test drive` rumah rakit yang disiapkan oleh abang dalam masa empat hari. 

"Menjelang banjir, barang-barang rumah semua diangkat dan letak di rumah rakit. Alhamdulillah terapung elok dan peralatan elektrik pun selamat, mesin-mesin bengkel abang pun selamat," lanjut Aziela.


Setelah siap rumah rakit di atas darat ini menjadi tempat lepak dan barbeku dan memasak stimbot, sewaktu tidak banjir.


Aziela ketika dihubungi menjelaskan, sewaktu banjir baru-baru ini mereka tidak terkecuali kena berpindah meninggalkan rumah tetapi tidak duduk di pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya mereka adik beradik sepakat menyewa homestay di tempat yang tidak terjejas dengan banjir, untuk keselesaan urusan penjagaan nenek mereka yang uzur.

"Empat hari juga kena duduk di homestay sehingga rumah siap dibersihkan," ujarnya sambil menambah, walaupun rumah rakit itu tidak hanyut, tetapi mereka tidak boleh tinggal di situ kerana ketiadaan bekalan air bersih.

"Banjir ni dah jadi macam acara tahunan pula di kampung kami ini," ujarnya. Bahkan tahun ini dua kali, iaitu di pada Januari dan Disember 2021. 


Keadaan rumah rakit dalam banjir.


Aziela berkata, dia sebenarnya tinggal di Bangi, Selangor tetapi berada di kampung sewaktu banjir kerana kebetulan balik kampung ketika itu, makanya turut terperangkap sebagai mangsa banjir.

Rata-rata netizen memuji usaha abang Aziela membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi banjir. Daripada komen netizen menunjukkan sebelum ini pun ada orang membina rumah rakit untuk menyelamatkan barang daripada banjir. 

"Keluarga mentua pelopor rakit di kampung. Sebab dulu tak ada PPS. Orang berpindah ke bukit. Sekarang ni alhamdulillah setiap rumah ada rumah rakit. Dapat kurangkan kos kerosakan barang-barang," komen salah seorang netizen.



Rumah rakit bukanlah asing kerana pada masa dahulu iaitu sekitar tahun 60-an dan 70-an masih ada orang tinggal di rumah rakit di Sungai Pahang.

Kalau dulu buluh diguna untuk membuat rumah terapung, tetapi sekarang ini lebih canggih, digantikan dengan bahan yang lebih kukuh dan tahan lama sebagai pelampung rumah rakit. - KitaReporters


 

16
11
0
13
0
You will be interested