Alam & Sains 04 Aug, 2021

Terengganu nafi 39 penduduk dijangkiti varian Delta! Hati-hati dengan berita palsu dan COVID-19!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Penduduk Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.


PENDUDUK Negeri Terengganu dinasihatkan jangan panik dengan berita kononnya terdapat 39 pesakit COVID-19 varian Delta menjangkiti penduduk di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu

Sebaliknya, Kerajaan Negeri menafikan berita yang tersebar menerusi media sosial itu termasuk menerusi mesej yang tersebar sejak berapa hari lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, dakwaan yang tular menerusi media sosial itu, bukan sahaja tidak benar malah tidak bertanggungjawab


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan varian COVID-19

Dr Alias Razak


Katanya, memang kita ada hantar beberapa sampel kepada makmal di Kuala Lumpur dan masih menunggu keputusan 'penjujukan genom' yang dijalankan oleh pihak terbabit.

"Sampel berkenaan penting untuk mengenal pasti sama ada masih berlaku jangkitan COVID-19 varian Delta di Terengganu selain dua kes yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.  

Dr Alias berkata, yang pasti dakwaan mengenai 39 pesakit varian Delta itu adalah tidak benar sama sekali.

Berikutan penyebaran berita tidak benar itu, beliau meminta orang ramai supaya terus berhati-hati dan tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelakkan apa jua kemungkinan selain memutuskan rantaian penularan COVID -19.


Sukarelawan membantu  menolak kerusi roda seorang warga emas dari Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu untuk menerima suntikan vaksin Program Mobilisasi Vaksin (MOVAK) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perpaduan Negara.


Penduduk negeri ini terutama di kawasan Kuala Ibai kini ketakutan selepas berita varian Delta tersebut tular dalam media sosial termasuk kumpulan WhatsApp yang mendakwa varian berkenaan sudah merebak di Kuala Terengganu

Maklumat yang tular itu mendakwa ujian saringan bersasar COVID-19 akan dilaksanakan terhadap seluruh penduduk Kampung Kuala Ibai dan perumahan Kondo Rakyat susulan penularan berita berkenaan,

Selain menyarankan orang ramai berhati-hati, maklumat itu turut mendakwa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kedua-dua lokaliti berkenaan. 

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu  (JKNT) dalam laporan harian mengenai penularan COVID-19 di negeri ini pada 3 Ogos 2021, Terengganu mencatatkan sebanyak 429 kes. - KitaReporters


 

4
1
1
0
2
You will be interested