Alam & Sains 20 Sep, 2023

Program pengayaan habitat Harimau Malaya! Projek ECRL laksana program CSR bagi konservasi harimau!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Pasukan Projek ECRL telah menjalankan aktiviti penanaman pokok di Pusat Konservasi Harimau

Malaya (MTCC).


Seramai 100 orang warga kerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) komited menjalankan aktiviti penanaman pokok bagi memperkaya kurungan (paddock) Harimau Malaya di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) pada 12 September 2023 lalu. 

Kira-kira 100 batang pokok beraneka jenis telah berjaya ditanam di MTCC, selaras dengan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Projek ECRL dalam memupuk kesedaran terhadap konservasi Harimau Malaya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’. 

Pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek ECRL, dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), sebagai kontraktor utama Projek ECRL, telah memberi sumbangan dalam menjayakan program ini. 

‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’ yang julung kali diadakan melibatkan tiga fasa, di mana fasa pertama merangkumi rawatan tanah, pengkapuran dan pembajaan, manakala fasa kedua membabitkan penanaman pokok renek, pokok teduhan dan pokok buah-buahan. 

Fasa ketiga bertumpu kepada penjagaan, pemangkasan dan pembajaan pokok-pokok di kurungan MTCC. 

Program ini dijangka membantu melengkapkan perancangan jangka panjang Jabatan Perhilitan dan MTCC dalam melindungi populasi Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) dan membantu usaha pembiakan spesies haiwan liar ini. 



Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Dato’ Seri Darwis Abdul Razak, berkata Projek ECRL berbesar hati dapat menyumbang dan memainkan peranan yang aktif menerusi program ini dalam membangkitkan kesedaran populasi dan pemuliharaan Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan di Malaysia. 

“Projek ECRL berharap sumbangan yang diberikan menerusi ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’ dapat membantu dalam mengukuhkan habitat yang sesuai, menjamin ketersediaan makanan serta meningkatkan kadar pembiakan Harimau Malaya,” katanya sempena perasmian ‘Program Kerjasama Pengayaan Habitat Harimau Malaya’ pada 12 September 2023. 

Darwis juga berkata bahawa Projek ECRL optimis dalam meneruskan langkah-langkah proaktif bagi membantu usaha Kerajaaan memacu konservasi Harimau Malaya ke tahap seterusnya, yang turut meliputi peningkatan populasi Harimau Malaya yang kini dianggarkan berjumlah sekitar 150 ekor sahaja di dalam hutan negara ini. 

Ketua Pengarah Perhilitan Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim berkata: “Pengukuhan kerjasama strategik antara Perhilitan dan pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik Projek ECRL, dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dalam pemuliharaan hidupan liar seharusnya menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan biodiversiti melalui penglibatan kolektif semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan. 

"Perhilitan berharap semua pihak meningkatkan amalan kelestarian dan memperbanyakkan usaha dalam memulihara biodiversiti yang tidak ternilai.” 


Darwis Abdul Razak (kiri), menyampaikan sebuah plak kepada Abdul Kadir Abu Hashim (tengah) semasa majlis pelancaran program tersebut.


Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi, berkata, "Sejak 2018, kami telah bekerjasama dengan pihak Perhilitan untuk memantau haiwan liar dan habitat mereka di sepanjang laluan ECRL, sejajar dengan Pelan Pengurusan Hidupan Liar. 

"Kami berharap aktiviti ini dapat melindungi alam sekitar semasa proses pembinaan. 

"Kami percaya bahawa pembangunan dan pemuliharaan haiwan liar perlulah berjalan seiring untuk komitmen ini, kami telah merancang untuk membina lebih daripada 20 lintasan hidupan liar pelbagai saiz sepanjang laluan ini, untuk memastikan haiwan liar dapat melintas dengan selamat. 

"Kami berbesar hati untuk mengukuhkan kerjasama dengan Perhilitan dan berganding bahu bersama MRL untuk menyumbang kepada pemeliharaan Harimau Malaya. 

"Pasukan kami di Pahang juga bersedia untuk memberikan sokongan kepada pihak Perhilitan dengan menyertai aktiviti penanaman pokok di sekitar kawasan tersebut." 

Pembinaan jajaran ECRL yang sepanjang 665km juga menitikberatkan aspek perlindungan alam sekitar, hutan dan hidupan liar. 

Satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) bagi Projek ECRL telah dimeterai antara CCC-ECRL dan Jabatan Perhilitan pada tahun 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran rel. 

Bagi mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan ke atas hutan semula jadi, sungai dan sumber air, reka bentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan 40 buah terowong, kira-kira 145km laluan bertingkat serta 27 lintasan hidupan liar (wildlife box culverts) di lokasi strategik. 

Pasukan Projek ECRL bersama Jabatan Perhilitan juga melakukan tinjauan hidupan liar dan memasang perangkap kamera di sepanjang jajaran rel untuk mengenalpasi populasi hidupan liar. 


Kong Qi (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Kadir Abu Hashim (tengah) di Pusat Pemuliharaan Harimau Malaya (MTCC).


MRL, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala CCC-ECRL merupakan kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek. 

ECRL akan merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

5
12
0
20
0
You will be interested