Alam & Sains 17 Mar, 2025

Video| Berhenti! Elak panaskan lauk guna bekas plastik dalam ketuhar mikro! Kita makan mikroplastik!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: akmar_mm@yahoo.com

Share this

Watch on TikTok

Rasanya ramai memilih jalan cepat untuk menyediakan juadah sahur iaitu dengan memanaskan kembali lauk lebihan berbuka puasa. Jarang sekali kita masak baharu lauk untuk bersahur berbanding berbuka puasa. Memanaskan kembali lauk mampu menjimatkan masa apatah lagi untuk keluarga yang besar.

Penulis sendiripun menggunakan kaedah tersebut. Ketika menyediakan juadah berbuka puasa, penulis akan masak lebih untuk dimakan ketika sahur. Jimat masa dan mudah kerana tidak perlu buat kerja dua kali.

Manakala memanaskan lauk bersahur bergantung kepada individu. Ada yang menggunakan kaedah konvensional iaitu memanaskan kembali lauk tersebut di atas dapur. 

Manakala kaedah kedua memanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro atau microwave oven. Pilih sahaja yang mana satu anda rasa mudah dan cepat.



Namun perlu diingat, sekiranya anda menggunakan microwave oven, elak daripada menggunakan bekas plastik. Mungkin ada yang tahu dan sebaliknya sebab apa kita tidak boleh memanaskan makanan menggunakan bekas plastik.

Bagi yang tidak tahu, apa kata kita dengar ulasan dan jawapan daripada Dr Hakim ini. Dia menggunakan media sosial untuk berkongsi pelbagai ilmu kesihatan kepada umum. Antaranya ialah berkenaan bahayanya penggunaan bekas plastik untuk memanaskan lauk menggunakan microwave oven.

“Hati-hati kerana anda mungkin telah makan berbilion mikroplastik tanpa sedar setiap hari. Terutama yang selalu panaskan lauk lebih masa berbuka menggunakan microwave oven untuk dimakan ketika sahur. 

Setiap kali anda panaskan makanan dalam bekas plastik, sebenarnya anda sedang tambah satu perisa rahsia dalam makanan itu.



“Apa dia, mikroplastik dan bahan kimia toksik. Mikroplastik ni ia macam zarah plastik yang kecil sangat. Biasa saiznya dalam lima millimeter sahaja. Lebih kecil lagi daripada biji beras dan ia terhasil daripada pecahan plastik yang lebih besar atau dihasilkan secara langsung dalam bentuk mikro.

“Kajian mendapati satu bekas plastik yang dipanaskan dalam microwave oven dengan suhu yang tinggi, boleh melepaskan daripada sejuta hingga ke berbilion mikroplastik dalam makanan kita. Sesetengah bekas plastik kita faham ada label microwave save. Tetapi itu sekadar tidak mencair atau merosakkan bekas plastik itu.



“Namun ia tidak menjamin sama sekali bekas plastik itu bebas daripada mikroplastik ataupun bahan kimia. 

"Bahan kimia dan mikroplastik daripada bekas plastik itu boleh mengganggu hormon, merosakkan sistem saraf dan bahayanya juga boleh tingkatkan risiko untuk dapat kanser serta kemandulan. Jadi, berhenti buat benda ini. Jangan panaskan makanan yang lebihan semalam menggunakan bekas plastik.

“Tukar dan keluarkan. Letakkan di dalam bekas seramik atau kaca yang tahan microwave untuk elakkan daripada mikroplastik dan juga toksik daripada masuk ke dalam makanan yang dipanaskan,” jelasnya.


Label ini tidak menjamin ia bebas mikroplastik dan bahan kimia.


Alhamdulillah perkongsian tersebut disambut baik oleh kebanyakan netizen. Namun ramai yang dilihat masih keliru dengan label microwave save. Mereka beranggapan label yang terdapat pada bekas plastik selamat digunakan. 

Sedangkan Dr. Hakim sudah menjelaskan label tersebut menandakan bahawa bekas plastik itu tidak cair atau rosak kalau digunakan untuk microwave oven. Namun, ia tidak menjamin sama sekali bekas plastik itu bebas mikroplastik dan bahan kimia.

“Kalau bekas-bekas Tupperware atau jenama lain yang ada logo boleh masuk microwave tu macam mana doktor. Boleh juga ke?” tanya salah seorang netizen yang keliru.

Justeru, marilah kita sama-sama mengelakkan daripada mengggunakan bekas plastik untuk memanaskan makanan. Tukar kepada bekas seramik atau kaca yang lebih selamat. Pilihan pada tangan anda! - KitaReporters


14
7
0
18
0
You will be interested