Alam & Sains 18 Feb, 2020

ARAH KUARANTIN DI RUMAH: 4 SEKELUARGA MATI

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

PELAKSANAAN polisi ‘kuarantin di rumah’ oleh kerajaan China sebagai usaha mengekang penularan penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19 pada peringkat awal ia tercetus, kini dipersoalkan sama ada ia satu langkah betul atau langkah yang membawa padah. : KitaReporters.com

CHANG KAI pengarah filem yang meninggal dunia bersama tiga ahli keluarga lain akibat COVID-19 ekoran arahan kerajaan China supaya 'kuarantin di rumah'. - Kredit foto: Today Online.


Walau pun polisi ini dimansuhkan awal Februari 2020, ia disifatkan sebagai sudah terlambat kerana telah memakan korban. 

Ini berikutan kematian empat sekeluarga yang mengkuarantin diri meereka sendiri di sebuah apartment di tengah bandar Wuhan, di mana COVID-19 mula dikesan.

Memetik laporan Caixin Global, seorang pengarah terkenal di Studio Filem Hubei, Chang Kai, 55, mati pada Jumaat, 14 Februari 2020 akibat serangan virus COVID-19. Wuhan terletak dalam wilayah Hubei.

Sementara bapa, emak dan kakak Chang pula mati di antara 28 Januari 2020 hingga 14 Februari 2020 akibat serangan virus sama.

Kematian empat sekeluarga ini menyerlahkan tanggapan betapa pihak berkuasa telah tidak mengendalikan kaedah pencegahan dengan betul apabila memperkenalkan polisi kuarantin di rumah, bukan di tempat khusus seperti hospital.

Langkah ini dikatakan diambil dalam usaha mengurangkan beban serta tekanan yang dihadapi oleh kakitangan hospital akibat terlalu ramai pesakit, katil tidak mencukupi dan kekurangan bekalan perubatan.

Walaupun polisi kuarantin di rumah itu mendapat bantahan kerana bahaya yang mungkin menimpa orang awam serta dibimbangi lebih membawa mudarat, kerajaan China memutuskan untuk meneruskannya.  

ZONG NANSHAN: Polisi kuarantin di rumah amat berbahaya. - Kredit foto Wikipedia


Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Huazhong, Wuhan, Chen Bo memberitahu, kuarantin di rumah berbahaya kerana ia boleh menular secara berkelompok di kalangan ahli keluarga dan jiran serta komuniti.

Apabila ini terjadi ia akan menyebabkan lebih banyak kematian kerana penularan dibiarkan berlaku dengan cepat tanpa sebarang rawatan.

Seorang epidemiologist  (saintis perubatan yang mengkaji jangkitan dan kawalan penyakit ) terkemuka China, Zong Nanshan, menegaskan dalam satu wawancara televisyen, adalah amat berbahaya untuk hospital  menghantar pulang mereka yang dikesan dijangkiti COVID-19  atau disyaki dijangkiti.

PEKERJA perubatan di Wuhan memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 di salah sebuah hospital di bandar itu. - Kredit foto: Caixin Global


Dalam pada  itu, bekas rakan sekolah Chang Kai memberitahu, bapa Chang dikesan dijangkiti COVID-19 pada 25 Januari 2020, iaitu hari pertama Tahun Baharu Cina.

Chang membawa bapanya ke beberapa buah hospital di Wuhan, tetapi setiap kali itu pula dia disuruh pulang kerana hospital kekurangan katil. Tiga hari kemudian bapa Chang meninggal.

Itu hanyalah permulaan tragedi yang menimpa keluarga pengarah filem itu. 

Pada 2 Februari 2020, ibu Chang pula meninggal akibat jangkitan virus sama.

Ekoran bantahan umum ini, pada 2 Februari 2020 itu juga pihak berkuasa Wuhan menamatkan polisi kuarantin di rumah dan mula mengkelaskan pesakit kepada kes disahkan dan kes disyaki.

Juga dikelaskan mereka yang diserang demam panas yang merupakan tanda bagi mereka yang dijangkiti COVID-19, serta mereka yang bergaul dengan pesakit berkenaan tetapi belum menunjukkan sebarang tanda dijangkiti.

Dengan polisi pengkelasan ini, pesakit diasingkan menurut kategori masing-masing dan diberikan rawatan sewajarnya berdasarkan kelas di mana mereka berada.

PEKERJA memakai pakaian keselamatan sebelum memasuki sebuah kompleks sukan yang menjadi hospital sementera pesakit COVID-19 di Wuhan. - Kredit foto Reuters.


Bagaimana pun perubahan polisi sudah terlalu lambat untuk keluarga Chang Kai. 

Selang beberapa jam selepas kematian Chang pada Jumaat, 14 Februari 2020, kakaknya pula menurutinya. Isteri Chang yang juga dijangkiti COVID-19 kini dalam keadaan kritikal.

Dalam notanya yang ditulis ketika terlantar di katil hospital, Chang meluahkan rasa kecewa diri dan keluarganya kerana gagal mendapatkan katil di hospital, kesedihannya di atas kematian ibu bapanya serta kesihatannya sendiri yang semakin kritikal.

Dalam notanya juga, Chang menulis kata-kata yang sangat menyentuh hati mengucapkan selamat tinggal kepada ahi keluarga, kawan-kawan  dan anak lelakinya di London. 

Beliau menulis: “Selamat tinggal kepada mereka yang saya sayangi dan mereka yang menyayangi saya.”

Rakan-rakan menyifatkan Chang sebagai seorang pengarah yang baik hati dan peramah. 

Mereka mahu kerajaan menyiasat tragedi yang menimpa keluarga Chang untuk mencari punca sebenar dan siapa yang bersalah dalam tragedi kematian empat sekeluarga itu. - KitaReporters.com 

3
1
5
1
0
You will be interested